KUALA LUMPUR - segelintir orang Melayu ketika ini yang tidak mempertahankan soal bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan agama Islam seperti yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan seolah-olah menunjukkan mereka sudah menolak asal-usul bangsa sendiri.
Presiden Persatuan Patriot Malaysia, Jamalee Bashah berkata, perkara ini terjadi apabila orang Melayu tidak lagi mementingkan sejarah asal-usul Melayu dan tidak memahami mengapa hak keistimewaan Melayu diperjuangkan satu masa dahulu.
"Melayu hari ini sudah menolak Melayu, mereka tidak lagi mementingkan mengenai sejarah Melayu sedangkan bangsa lain yang memperjuangkan Malaysia Baharu dan mahu Malaysia lebih terbuka masih tetap mempertahankan bahasa dan budaya serta sejarah masing-masing.
"Kalau sejarah tidak penting, mengapa selalu ada pihak yang cuba mempertikai dan mengubahnya, kalau orang Melayu tidak tahu mengapa mereka mendapat pelbagai jenis keistimewaan, kita tidak akan dapat mempertahankannya pada masa akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai salah seorang panel dalam Program 153: Merakyatkan Perlembagaan, Pencetus Revolusi Suara Anak Muda, di sini semalam.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu (MTEM), Yazid Othman pula menyifatkan orang Melayu pada zaman ini gagal mempertahankan bangsa Melayu sebaliknya sanggup mengorbankan hak sebagai bumiputera semata-mata untuk menjaga hati pihak golongan lain.
"Ada yang kata Melayu ini rasis, tetapi kalau perkara itu benar, kenapa orang Melayu membenarkan bangsa lain tinggal bersama di Malaysia, orang Melayu hidup bersama dengan kaum Cina, India, malah orang Bangladesh dan mualaf pun dibenarkan serta diperjuangkan nasib mereka.
"Sama seperti soal pendidikan, di negara ini tidak ada sekolah Melayu tetapi kita ada sekolah kebangsaan sebab kita nak bersatu padu dengan semua bangsa," katanya.
Sementara itu, Aktivis Concerned Lawyers For Justice, Aidil Khalid menyifatkan hak-hak keistimewaan orang Melayu yang diperjuangkan satu masa dahulu perlu diteruskan pada masa kini.
"Apa yang diperjuangkan oleh nenek moyang kita dahulu seperti Keranda 152 yang menyebabkan bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa kebangsaan tidak terhenti begitu sahaja, orang Melayu masa kini berperanan untuk mempertahankannya.
"Perjuangan orang dahulu sudah tamat, sekarang terpulang kepada Malaysia Baharu untuk meneruskan perjuangan itu, kita tidak boleh lagi bermain dengan sentimen selamanya sebaliknya lakukan sebuah reform atau pembaharuan yang benar-benar menguntungkan bangsa Melayu," katanya. - utusan online
No comments:
Post a Comment