Sambil duduk mendengar satu persatu ucapan, saya sempat merenung jauh dan mengimbas kembali kenangan 72 tahun yang silam. Walaupun saya belum lahir ketika itu, tarikh 2-4 Mac 1946 saya anggap tarikh keramat dan Padang Kelab Sultan Sulaiman juga ibarat padang keramat. Pada tarikh itu orang Melayu dari seluruh pelosok Semenanjung Tanah Melayu berhimpun, menyatakan kesepakatan mereka menentang seteru utama mereka ketika itu.
Seteru mereka ketika itu ialah pemerintah Inggeris dan agenda penentangan mereka ialah penubuhan Malayan Union. Masuk akallah mengapa orang Melayu ketika itu berhimpun membantah dan siapa yang mereka tentang.
Pada 28 Julai 2018 sekali lagi orang Melayu berhimpun di padang yang sama dan membantah. Mereka membantah usaha cuba mengiktiraf kelulusan UEC. Itu juga masuk akal. Yang tak masuk akal ialah Melayu yang berhimpun itu menentang pemimpin Melayu sendiri.
Yang mereka bantah ialah pengiktirafan UEC oleh pemimpn Melayu. Pengiktirafan kelulusan UEC tidak menjadi isu jika tidak kerana pemimpin Melayu sendiri yang cuba menjuarainya, bukan oleh pertubuhan pendidikan Cina. Pemimpin politik Melayu yang mempolitikkan isu pengiktirafan UEC ini dengan harapan mereka dapat meraih undi kaum Cina.
Beberapa pemimpin IPT diterajui Melayu yang mengkomersialkan isu ini dengan harapan dapat menarik minat pelajar lepasan UEC melanjut pengajian ke IPT pimpinan mereka, orang Melayu. Berapa kerat sangatlah undi puak-puak cauvinis ini yang dapat mereka raih.
Yang pasti undi sokongan pengundi Melayu yang terlepas. Berapa sangatlah pelajar lulusan UEC ini yang berminat melanjutkan pengajian ke IPT diterajui Melayu, jika sekolah kebangsaan yang serba lengkap sedangkan mereka tolak, inikan pula IPT yang tak pun setanding dengan IPTS yang mereka kuasai.
Tidak dinafikan para penggiat pertubuhan pendidikan Cina adalah golongan yang cauvinis. Tak payahlah kita menghabiskan masa berdebat dengan mereka. Berunding dengan mereka pun tak perlu. Yang menggadaikan peruntukan Perlembagaan bukan mereka, kerana mereka bukan yang berkuasa atau memerintah.
Yang kita semua amanahkan melindungi Perlembagaan Persekutuan daripada dicemari olah mana-mana pihak, semuanya orang Melayu. Yang terjerit-jerit hendak UEC diiktiraf pun orang yang sama. Mereka inilah sebenarnya pengkhianat kepada negara sendiri dengan mencemari Perlembagaan Persekutuan atas kepentingan politik mereka yang sempit.
Perhimpunan 28 Julai itu pun saya perhatikan diwarnai lambang kehijauan, yang simbolik dengan warna salah sebuah parti politik dokongan orang Melayu. Malangnya kelibat lain-lain warna yang simbolik dengan parti-parti dokongan bangsa Melayu tidak kelihatan. Jelaslah pada saya bahawa lain-lain parti politik dokongan orang Melayu tak minat membantah isu pengiktirafan UEC ini.
Tidak salah jika saya mengandaikan mereka lebih ghairah mahukan UEC diiktiraf. Pengiktirafan UEC ini ibarat pertubuhan pendidikan Cina memalu gendang, orang Melayu bersilat bertikaman sesama sendiri. Boleh juga kita anggap, Melayu yang menyahut seruan UMMAH untuk berhimpun membantah pengiktirafan UEC bukan sekadar bertembung atau menuding jari kepada puak-puak cauvinis pertubuhan pendidikan Cina.
Maka, tidaklah perhimpunan itu boleh dilabel sesuatu yang berbaur rasis. Ia juga bukan satu tindakan untuk mendiskriminasi sistem pendidikan Cina oleh orang Melayu. Ia adalah satu perhimpunan orang Melayu membantah tindak-tanduk pemimpin Melayu, baik pemimpin kerajaan terdahulu mahupun semasa.
Pemimpin-pemimpin Melayu ini wajib sedar dan insaf, peranan institusi pendidikan di Malaysia adalah unik. Selain ia bertanggung-jawab mendidik dan membina perwatakan anak bangsa, pendidikan juga amat penting dalam memupuk dan menyemai benih-benih perpaduan antara kaum di negara ini.
Jika dapat mereka buktikan sistem pendidikan SJKC terutamanya dan penarafan sijil UEC menyumbang secara signifikan ke arah aspirasi penyatuan bangsa itu, pastinya kami tidak ragu-ragu mengiktirafnya. Hari ini, semua jari kami menuding ke arah bahawa sistem pendidikan persendirian mereka itu dan pensijilan UEC, menyumbang sebaliknya.
Buktinya jelas dan tanyalah para guru di sekolah kebangsaan yang mengajar di kelas-kelas peralihan bagi para pelajar dari sistem pendidikan SJKC ini. Sejak dibangku sekolah anak-anak ini telah disemai untuk menjadi keturunan yang kiasu dan cauvinis.
Mereka diajar dengan menggunakan buku-buku teks dan rujukan yang jauh menyimpang daripada fakta sebenar, terutama subjek sejarah. Tidak diragui pengajaran dalam subjek-subjek teknikal memang mereka hebat.
Saya pasti semua pemimpin Melayu baik dalam kerajaan sebelum ini mahupun dalam kerajaan baharu, amat arif mengenai perkara-perkra yang saya utarakan. Sungguh aneh, mereka tetap tergamak mengetepikan semua itu hanya kerana keghairahan mempolitikkannya.
Kerajaan sebelum ini sudah pun ‘diajar’ oleh pengundi akan badi apabila mereka menyemai benih mengagung-agungkan UEC ini. Kerajaan Pakatan Harapan sepatutnya mengambil iktibar daripadanya. Seandainyalah Kerajaan Pakatan Harapan pun sama macam kerajaan terdahulu, bertekad untuk terus membiakkan benih semaian itu dan berdegil untuk terus menjulang UEC, tahulah para penggerak UMMAH mencabut satu persatu benih-benih semaian itu.
Oleh : Hasan Mad
No comments:
Post a Comment