Penarik kereta bebas langgar undang-undang
SEJAK sekian lama, kegiatan penarik kereta didapati banyak melanggar peraturan dan ketetapan undang-undang tetapi jarang sekali pihak berkuasa terutama polis mengambil tindakan terhadap golongan ini.
Mungkin orang ramai atau pemilik kenderaan tidak menyedari perkara ini dan menganggap ia sebagai perkara kecil atas alasan ia adalah kesalahan sendiri (pemilik kenderaan).
Semuanya atas kesilapan pemilik kenderaan tidak menjelaskan hutang bank menyebabkan bayaran kenderaan tertunggak hingga beberapa bulan. Atas dasar itu, pihak bank mengeluarkan surat kepada penarik kenderaan untuk merampas kenderaan yang tertunggak bayarannya.
Penarik kenderaan pula dengan hanya berbekalkan surat bank terus bertindak menarik kenderaan terbabit dan kemudian membuat laporan polis seolah-olah tindakan itu tidak menyalahi undang-undang.
Apa yang ingin saya jelaskan ialah surat bank bukannya surat kuasa seperti surat arahan mahkamah. Perlu di ingat hanya surat mahkamah sahaja yang boleh diguna pakai jika sesebuah kenderaan itu hendak ditarik.
Namun, kerap kali penarik kenderaan tidak mempunyai surat daripada mahkamah sebaliknya menggunakan alasan mempunyai surat bank sahaja.
Tindakan menarik kenderaan itu juga memerlukan kehadiran wakil mahkamah yang bertindak memastikan tindakan menarik kenderaan itu perlu dilakukan mengikut peraturan.
Dengan kata lain, selain surat daripada mahkamah, perlu juga kehadiran wakil mahkamah ketika kerja-kerja menarik kenderaan dilakukan.
Ramai yang tidak sedar, tindakan menarik kenderaan atau mengalihkan kenderaan tanpa kebenaran pemilik kenderaan walaupun ada surat daripada bank, menjadi satu kesalahan yang boleh diambil tindakan undang-undang.
Pemilik kenderaan boleh membuat aduan atau laporan polis jika perkara ini berlaku. Pada masa yang sama, pihak polis sepatutnya perlu dan wajib mengambil tindakan undang-undang terhadap penarik kenderaan yang tidak mempunyai surat daripada mahkamah, umpama menyamar sebagai penjawat awam.
Timbul persoalan, kenapa polis tidak bertindak ketika penarik kenderaan membuat laporan polis selepas kerja-kerja menarik kenderaan dilakukan? Adakah kerana banyak kerja lain perlu dilakukan atau perkara ini dianggap sebagai remeh?
Yang pasti, tindakan penarik kenderaan itu melanggar peraturan iaitu tanpa memiliki surat mahkamah dan mengalihkan kenderaan tanpa kebenaran daripada pemilik kenderaan.
Ditambah pula penarik kenderaan itu sudah berada di depan mata (ketika datang ke balai polis membuat laporan), maka sebagai anggota penguat kuasa, polis boleh menahan orang terbabit kerana ‘mencuri’. Jika terus dibiarkan, kelak masyarakat akan menganggap polis turut bersubahat.
Jika perkara ini hendak dipanjangkan lagi, pemilik kenderaan boleh sahaja membuat laporan polis bahawa anggota balai tersebut turut bersubahat dengan penarik kenderaan.
Sebelum perkara sebegini berpanjangan, eloklah anggota polis bertindak dengan menahan penarik kenderaan tersebut. Seperkara lagi, pihak bank diminta lebih bertanggungjawab dengan mengingatkan kepada penarik kenderaan bahawa mereka tidak boleh sewenang-wenangnya menarik kenderaan pemilik tanpa kebenaran mahkamah.
Memang diakui untuk mendapatkan surat mahkamah sudah tentu melibatkan satu kos yang besar seperti khidmat peguam dan sebagainya. Namun, itu adalah ketetapan undang-undang dan peraturan yang sudah termaktub yang perlu dipatuhi semua pihak terbabit.
Di sini, saya mengesyorkan bahawa pemilik kenderaan perlulah mengetahui hak mereka dan gunakan undang-undang sedia ada jika perkara di atas berlaku terhadap mereka melibatkan penarik kenderaan yang melanggar undang-undang.
Oleh : Pemilik Kenderaan Kedah
No comments:
Post a Comment