nuffnang

Saturday, February 20, 2016

Siapa Melayu Bersikap ‘3B’?

PENULIS tidak berasa terkejut dengan kenyataan Presiden PAN, Mohamad Sabu atau Mat Sabu yang berkali-kali dalam ceramah di Sungai Petani menyifatkan orang Melayu khususnya golongan pertengahan yang menyokong Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum lalu sebagai ‘bodoh, bangang dan bahlul (3B).

Sebelum itu, Mat Sabu juga mencuri perhatian apabila mencampakkan mikrofon ketika menyampaikan satu ceramah di Selangor. Biasalah orang yang kemaruk sangat mahukan publisiti akan melakukan apa sahaja bagi tujuan berkenaan.

Tetapi kenyataan Mat Sabu menuduh orang Melayu yang tidak menyebelahi pembangkang sebagai bodoh, bangang dan bahlul agak melampau. Mat Sabu boleh dianggap pemimpin yang tidak pandai mencerminkan diri sendiri dan bermuhasabah, apakah sebenarnya kategori orang Melayu yang dianggap bersikap ‘3B’.

Malangnya sekali kerana arena politik negara terpaksa menerima mana-mana ahli politik yang begitu mudah mengecam rakyat dengan bahasa yang memualkan semata-mata kerana mereka tidak menyokong partinya, sedangkan pemimpin itu juga yang sering mendabik dada kononnya memperjuangkan demokrasi, hak asasi dan kebebasan bersuara.

Rakyat berhak memilih siapa sahaja yang mereka inginkan kerana itulah hak dan kuasa mutlak mereka dalam pilihan raya. Justeru apakah wajar hanya kerana ada orang Melayu tidak menyokong pembangkang maka mereka sewenang-wenangnya boleh dianggap bersikap ‘3B’.

Ahli politik yang tidak bersikap ‘3B’ dan matang dalam berpolitik akan memahami adalah menjadi hak rakyat untuk menentukan siapa yang mereka mahu menjadi pemerintah atau wakil rakyat mereka. Hak itu tidak boleh dipertikaikan.

Atas sebab itulah, kategori orang Melayu bersikap ‘3B’ yang diperkatakan oleh Mat Sabu boleh dipertikaikan apatah lagi apabila mereka menggunakan hak mereka dalam pilihan raya.

Berikut pandangan penulis berhubung siapa sebenarnya Melayu ‘3B’:

Melayu ‘3B’ ialah orang Melayu yang sanggup melakukan tindakan yang boleh memecahbelahkan parti disertainya semata-mata kerana terlalu tunduk dengan kemahuan sekutunya. Walaupun memahami sekutunya menentang perjuangan Islam tetapi Melayu yang tidak bangang dan bodoh itu sanggup bersekongkol demi mahu meraih kuasa.

Melayu ‘3B’ ialah sanggup menubuhkan sebuah parti lain semata-mata kerana tewas dalam pemilihan parti.

Melayu ‘3B’ ialah Melayu yang mempunyai jawatan paling kanan dalam parti tetapi sanggup memperlekehkan pemimpin sendiri dan paling malang bersedia untuk berkawan rapat dengan rakan politik yang menghina pemimpin tersebut.

Melayu ‘3B’ ialah berucap menggunakan bahasa kesat dan melampaui batas serta tidak mencerminkan identiti sebagai pemimpin Islam.

Melayu ‘3B’ ialah sanggup berdiri di hadapan kaum lain untuk mencaci bangsa sendiri semata-mata kerana golongan itu tidak menyokong parti atau pakatan yang dia sokong.

Melayu ‘3B’ ialah kelompok yang tidak tahu mengenang budi terhadap parti yang menaikkannya dalam dunia politik.

Melayu ‘3B’ ialah sentiasa bertindak bagaikan ‘badut’ dalam ceramah-ceramahnya.

Melayu ‘3B’ ialah bersedia melakukan apa sahaja semata-mata mahu meraih kuasa, biarpun mengetahui kuasa politik Melayu akan lenyap.

Melayu ‘3B’ ialah yang termakan dengan janji-janji manis bahawa mereka boleh melaksanakan Islam apabila mendapat kuasa bersama sekutu yang jelas-jelas menentang sebarang usaha memartabatkan perjuangan Islam.

Melayu ‘3B’ ialah yang bagaikan ayam jantan berkokok kuat tetapi ekor bergelumang dengan najis.

Hakikatnya, kita tidak perlu mengupas lebih lanjut siapakah kelompok Melayu yang boleh dikategorikan bersikap ‘3B’’. Biarlah rakyat menilai siapakah sebenar mereka itu termasuklah pemimpin yang melafazkan kata-kata tersebut.

Tetapi apa yang pasti, tidak pernah ada mana-mana pemimpin kaum lain yang sanggup memperlekehkan bangsanya sendiri di hadapan bangsa lain kecuali seorang pemimpin yang bertaraf ‘3B’.

Oleh : Zulkiflee Bakar

No comments:

Post a Comment