Gara-gara gagal laksana tugas ragut rumput dengan berkesan
SALEM, Oregon - Sekumpulan kambing yang dibeli majlis perbandaran untuk memakan sejenis pokok yang tumbuh liar di sebuah taman popular di sini, dipecat serta-merta selepas didapati makan secara sembarangan tumbuhan di taman itu sekali gus meningkatkan kos operasi sebanyak lima kali ganda.
Menurut Majlis Perbandaran Salem, peningkatan kos sebanyak lima kali itu menyamai kos melantik seorang pereka landskap.
Lebih memburukkan keadaan, semua 75 ekor kambing jantan dan betina itu menjadikan taman awam tersebut berbau busuk dengan najis di merata-rata tempat.
Penguatkuasa taman bandar itu, Keith Keever berkata, kawanan kambing tersebut sepatutnya meragut pokok Armenian blackberry dan English ivy serta tumbuhan liar lain di kawasan sekitar 485.62 hektar di Minto-Brown Island Park dalam satu program perintis yang diwujudkan akhir tahun lalu.
Bagaimanapun Keever berkata, program itu terpaksa ditamatkan pada bulan November lalu hanya selepas enam minggu berlangsung ekoran kerugian yang ditanggung dan Majlis Perbandaran Salem tiada cadangan untuk menyambung semula program tersebut.
Laporan pekerja perbandaran kepada pihak berkuasa tempatan itu mendedahkan, projek tersebut menelan belanja AS$20,719 (RM87,434) antaranya termasuk AS$4,203 (RM17,736) sebagai kos air minum dan tandas pekerja serta AS$2,560 (RM10,803) untuk pemantauan.
“Kos itu hampir lima kali ganda daripada kos upah seorang kakitangan pengurusan biasa bernilai AS$4,245 (RM10,803) yang menggunakan seorang banduan bagi melakukan kerja-kerja tersebut,” ujar laporan itu.
Pemilik syarikat yang menawarkan khidmat sewaan kambing itu, Yoder Goat Rentals, Rachel McCollum berkata, ternakannya membuat kerja yang bagus dan sambutan orang ramai sangat menggalakkan.
“Kambing saya sangat dialu-alukan pengguna taman kerana selain menyenangkan mereka, kehadiran haiwan berkenaan turut mengindahkan pemandangan,” katanya. – utusan
No comments:
Post a Comment