nuffnang

Wednesday, February 17, 2016

Siapakah Orang Banjar?

Menurut pengkaji sejarah dan arkeologi Badan Penelitian dan Pengembangan Daerah Provinsi Kalimantan Selatan, Wajidi Amberi, asal-usul suku Banjar yang banyak mendiami bahagian Kalimantan Selatan masih belum dapat dipastikan memandangkan banyak pendapat hanya berdasarkan data-data yang masih belum disahkan.

Namun, Wajidi berkata, mengikut beberapa kajian yang telah wujud, etnik Banjar merupakan orang yang tinggal di Kalimantan Selatan dan terdiri daripada beberapa sub etnik Banjar iaitu Banjar Kuala, Banjar Hulu dan Batang Banyu.

“Bagaimanapun mengikut sejarah, etnik Banjar dikatakan merupakan hasil pencampuran yang berlangsung sekian lama antara suku Melayu Tua (Proto Melayu) yang mendiami daerah Kalimantan Selatan dengan suku yang datang kemudian iaitu Melayu Muda (Deutero Melayu) yang mendiami daerah-daerah pantai dan tepian sungai besar.

“Atas dasar pola genealogis masyarakat Banjar maka istilah Banjar sebenarnya bukan sekadar konsep etnik semata-mata, namun juga dikaitkan dengan konsep politik, sosiologi dan keagamaan,” katanya yang menulis di dalam blog https://bubuhanbanjar.wordpress.com.

Katanya, Banjar juga adalah sebuah nama kerajaan Islam yang pada awalnya terletak di Banjarmasin. Dalam proses pembentukan Kerajaan Banjar maka Banjar Masih dengan pelabuhan perdagangannya yang disebut sebagai Bandar Masih atau bermaksud bandar orang Melayu dijadikan ibu kota Kerajaan Banjar yang kemudian bertukar nama sebagai kota Banjarmasin.

Dalam Hikayat Banjar katanya, ada disebutkan bahawa proses ‘pembanjaran’ bermula daripada kedatangan seorang saudagar bernama Ampu Jatmika di Pulau Hujung Tanah. Keturunannya kemudian mendirikan Kerajaan Negara Dipa, Negara Daha dan Kesultanan Banjarmasin.

“Dalam hikayat itu ditemui istilah-istilah yang ada menyebut perkataan ‘Banjar’ yang pada umumnya bermakna wilayah kesultanan di mana kerajaan dan penduduknya dikenali sebagai orang Banjar dan rajanya disebut Raja atau Sultan Banjar,” katanya.

Kemudian katanya,pengaruh kesultanan Banjar telah berkembang meliputi gabungan seluruh wilayah yang pada hari ini dikenali sebagai provinsi Kalimantan Selatan, Kalimantan Tengah dan sebahagian Kalimantan Timur, bahkan ada yang melibatkan provinsi Kalimantan Barat. - utusan

No comments:

Post a Comment