MASA adalah satu makhluk Allah yang ajaib. Ia tidak perlu menonjolkan dirinya bagi membuktikan kewujudannya di alam ini. Apabila jam berdetik, masa dinamakan saat. Apabila matahari jatuh di ufuk barat, masa dinamakan pula hari. Apabila kitaran bumi sudah lengkap mengelilingi matahari dalam kiraan 365 hari, masa bertukar nama menjadi tahun. Tiada siapa yang mampu terlepas daripada cengkamannya. Manusia yang dulunya muda belia menjadi tua lemah apabila diselubungi masa. Masa juga mampu mematangkan manusia dengan himpunan pengalaman.
Pun begitu, masa kadangkala boleh dikalahkan dengan ilmu. Manusia yang mempunyai ilmu mampu mengubah kuasa masa dengan kenderaan berkelajuan tinggi yang mereka miliki. Perjalanan dengan kapal terbang berbeza dengan memandu kereta. Prinsip isu ini disebut Allah ketika menceritakan mukjizat Nabi Sulaiman a.s. yang berkenderaan angin mampu memotong masa dari sebulan menjadi sehari. Saya kira kenderaan angin baginda boleh dikiaskan pada kapal terbang pada hari ini:
“Dan Kami kurniakan kepada Nabi Sulaiman kuasa menggunakan angin untuk perjalanannya: “sepagi perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan dan sepetang perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan,” (Saba’[34:12]).
Bukan setakat itu sahaja, para malaikat yang dicipta Allah daripada cahaya memiliki kemampuan bergerak pantas merentas masa. Seakan dikata, masa berurusan dengan teknologi malaikat dalam kerangka lain berbeza dengan kemampuan manusia:
“Para malaikat dan Jibril ke pusat pemerintahan-Nya (untuk menerima dan menyempurnakan tugas masing-masing, terutama) pada satu masa yang adalah tempohnya (dirasai oleh orang yang bersalah) sungguh panjang selama 50,000 tahun,” (al-Ma’arij [70:4]).
MAKHLUK TERAWAL
Masa juga antara makhluk awal ciptaan Allah kerana dalam banyak ayat Allah menyebut penciptaan awal langit dan bumi dalam enam masa: “Dan Dialah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam masa, sedang “Arasy-Nya, berada di atas air,” (Hud [11:7]).
Masa hanya di dunia dalam kiraan naik turunnya matahari dan munculnya bulan. Di alam barzakh lain pula halnya. Tiada lagi ukuran masa seperti di dunia. Oleh itu, manusia yang mati sejak zaman nabi Adam atau mati sehari sebelum berlakunya kiamat tetap berada dalam satu ruang masa yang sama bersesuaian dengan kuasa Allah selaku “Pencipta masa.”
Pernah saya terbaca dialog-dialog orang tabi’in (murid sahabat yang tidak sempat bertemu dengan Rasulullah SAW) yang bertemu dalam mimpi. Abdullah bin al-Mubarak berkata: “Aku bermimpi bertemu Sufyan al-Thawri (yang sudah meninggal dunia). Aku lalu bertanya kepadanya: Apa yang diperlakukan Allah padamu?” Sufyan menjawab: “Aku bertemu dengan Muhammad SAW dan puaknya (para sahabat),” -al-Ruh oleh Imam Ibn al-Qayyim al-Jawziyyah, hal 28). Apa-apa pun, mimpi ini tetap tidak boleh menjadi hujah.
Masa adalah makhluk Allah yang terikat dengan izin Penciptanya. Ia wajib akur kepada kehendak Allah sebagaimana sang api pernah akur ketika menyelamatkan nabi Ibrahim a.s.: “Kami berfirman: “Hai api, jadilah engkau sejuk dan selamat sejahtera kepada Ibrahim!,” (al-Anbiya’ [21:69]).
HAKIKAT MASA
Sepanjang sejarah manusia, kuasa masa pernah ditarik oleh Allah beberapa kali seperti dalam kisah tujuh pemuda soleh yang tidur dalam gua: “Dan mereka telah tinggal tidur dalam gua mereka: 300 tahun (dengan kiraan Ahli Kitab), dan (tambah) sembilan lagi (dengan kiraan kamu),” (al-Kahf[18:25]).
Walaupun masa sudah berlalu selama 300 tahun, jasad tujuh wali Allah ini kekal remaja seperti waktu awal mereka tidur. Begitu juga kisah pemuda Bani Israel yang tidur selama 100 tahun:
“Atau (tidakkah engkau pelik memikirkan wahai Muhammad) tentang orang yang melalui sebuah negeri yang telah runtuh segala bangunannya, orang itu berkata: “Bagaimana Allah akan menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya (rosak binasanya)? “ Lalu ia dimatikan oleh Allah (dan dibiarkan tidak berubah) selama 100 tahun, kemudian Allah hidupkan dia semula lalu bertanya kepadanya: “berapa lama engkau tinggal (di sini)?” Dia menjawab: “aku telah tinggal (di sini) sehari atau setengah hari”. Allah berfirman:” (tidak benar), bahkan engkau telah tinggal (berkeadaan demikian) selama 100 tahun. Oleh itu, perhatikanlah kepada makanan dan minumanmu, masih tidak berubah keadaannya dan perhatikanlah pula kepada keldaimu (hanya tinggal tulangnya bersepah), dan Kami (lakukan ini ialah untuk) menjadikan engkau sebagai tanda (kekuasaan Kami) bagi umat manusia; dan lihatlah kepada tulang (keldai) itu, bagaimana Kami menyusunnya kembali kemudian Kami menyalutnya dengan daging “. Maka apabila telah jelas kepadanya (apa yang berlaku itu), berkatalah dia: Sekarang aku mengetahuinya (dengan yakin), sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu,” (al-Baqarah [2:259]).
Kisah ini jelas menunjukkan penguasaan mutlak Allah terhadap masa. Jasad dan makanan lelaki ini tidak terjejas kerana masa tidak dibenarkan untuk menyentuhnya, manakala si keldai hancur menjadi tulang kerana Allah membenarkan masa mengenakan kuasa pemusnahnya kepada si keldai. Maha Suci Allah!
Sama perihalnya dengan Nabi Isa a.s. Pada perkiraan biasa, baginda sudah berusia lebih 2,000 tahun, tetapi keremajaan baginda kekal seperti waktu baginda diangkat ke langit. Baginda menjadi kebal masa dan tidak dimamah usia kerana Allah menghalang masa daripada menyentuh baginda.
Semoga bicara ringkas pada kali ini akan membuka luas mata hati kita betapa makhluk Allah yang bernama masa sebenarnya sangat ajaib. Inilah antara sebab mengapa Allah bersumpah menggunakan masa dalam al-Quran:
“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian - Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan dengan kebenaran serta berpesan dengan sabar,” (al-‘Asr [103:1-3]).
Manfaatkan makhluk Allah ini sebaik mungkin kerana ia akan menjadi sebab bahagia atau duka kita di akhirat kelak. Kita akan berbahagia jika bijak menggunakan masa bagi mengisi hidup dengan ketaatan kepada Allah, manakala kita bakal derita jika terlalu banyak membuang masa untuk aktiviti dosa yang tidak berfaedah.- utusan
No comments:
Post a Comment