ANTARA karekter orang Banjar adalah mereka dikenali sebagai orang yang garang dan tegas. Mungkin gelaran itu diberi kerana dikatakan ada di antara mereka berperwatakan kasar.
Hal ini mungkin disebabkan faktor keadaan di wilayah Kalimantan Selatan yang sejak dahulu sering berdepan dengan peperangan dan pelbagai tekanan sehingga memaksa suku itu bersedia dari segi mental dan fizikal untuk mempertahankan diri.
“Namun bukan semua yang mempunyai karekter sedemikian. Banjar Karuak mungkin lebih tegas berbanding suku Banjar Alai yang lebih lemah lembut,” jelas bekas Pensyarah Antropologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Mohamed Salleh Lamry yang mengkaji mengenai masyarakat Banjar.
Katanya, Perang Sungai Manik di Perak yang berlaku sekitar 1940-an menunjukkan sifat orang Banjar yang tegas melawan musuh (komunis).
Orang Banjar juga terkenal dengan sifat berpegang teguh pada ajaran agama Islam, selain mengamalkan cara hidup yang sederhana. Maka tidak hairan ramai ulama-ulama dan tokoh agama lahir dari dalam kalangan masyarakat Banjar sejak sekian lama.
Selain berkemahiran dalam bercucuk tanam, orang Banjar mahir berladang dan berniaga kerana mereka tidak gemar bekerja makan gaji. Tetapi, di Malaysia, keadaan itu mungkin sudah berbeza memandangkan generasi orang Banjar kini sudah mempunyai pelbagai kemahiran lain, setaraf dengan kaum lain.
“Jika di daerah Banjar di Kalimantan Selatan, boleh dikatakan masyarakat Banjar rata-rata bertani dan melakukan aktiviti di air seperti menangkap ikan, berniaga dan sebagainya,” katanya.
Masyarakat Banjar di Malaysia sudah berkembang dan sama maju dengan masyarakat dan suku kaum yang lain. Mereka sudah tidak hidup berkelompok seperti dahulu lagi dan lebih terbuka serta bercampur gaul dengan semua lapisan masyarakat.
Pengkaji budaya Banjar yang juga seorang penulis, Wajidi Amberi berkata, kehidupan orang Banjar di Kalimantan Selatan lebih rapat dengan budaya sungai iaitu kehidupan yang berasaskan aktiviti di atas sungai.
Ini terbukti dengan kewujudan aktiviti dan pasar terapung yang sememangnya terkenal di wilayah itu.
Menurut Wajidi, kampung-kampung tradisional orang Banjar banyak terdapat di sekitar sungai besar ataupun kecil seperti di sepanjang Sungai Barito dan cabangnya Sungai Nagara, Sungai Paminggir dan Sungai Martapura. Malah, sepanjang Sungai Nagara, terdapat pula Sungai Tabalong Kiri, Sungai Tabalong Kanan, Sungai Balago, Sungai Batang Alai, Sungai Amandit dan Sungai Tapin.
Oleh itu tidak hairan Daerah Banjar dikenali sebagai kota seribu sungai sehingga kini dan kehidupan masyarakatnya tidak dapat lari daripada aktiviti di sungai. Sungai menjadi peranan yang penting bagi kehidupan masyarakat Banjar sehingga kini, malah kepada sebahagian besar penduduk Kalimantan Selatan.
Budaya pasar terapung pula kata Wajidi, terjadi sejak dahulu kala apabila pedagang dan pembeli melakukan aktiviti di atas perahu. Ia menjadi satu aktiviti perdagangan yang penting dalam menjana ekonomi masyarakat Banjar.
Namun menurut Wajidi, kini aktiviti pasar terapung semakin berkurangan kerana sudah ramai berpindah menjalankan perniagaan di pasar. - utusan
No comments:
Post a Comment