Sunday, February 14, 2016

Hari Kekasih Bukan Budaya Islam

“SAYANG, free tak malam ni? I nak bawa you keluar. Tempat special untuk celebrate Valentine’s Day. You nak join?,” mesej Kamal kepada Mia.

Sambil tersenyum mesej Kamal terus dibalas, “Eee…bestnya. Tapi datang lewat sikit, tunggu mak dan ayah masuk tidur. I tunggu you. Jangan tak datang!.

Hati Mia berbunga-bunga. Tak sabar rasanya menunggu malam tiba. Terbayang di mata Mia, Kamal akan memberinya sejambak bunga ros sebagaimana tahun sebelumnya. Tapi tahun ni mungkin agak special kerana Kamal merancang sesuatu tanpa pengetahuannya.

Tepat seperti dijanjikan, Kamal muncul di depan rumah Mia dan Mia menyusup perlahan-lahan keluar daripada rumah tanpa pengetahuan ibu bapanya. Ternyata malam itu cukup membuatkan Mia gembira. Bermula dengan pemberian sejambak bunga, Mia dihadiahkan dengan rantai emas.

Puas meronda, barulah Kamal membawa Mia ke tempat yang dijanjikan. Sebaik sahaja tiba, Mia dan Kamal disambut dengan meriahnya oleh kawan-kawan Kamal yang sudah sedia dengan pasangan masing-masing. Acara pun bermula. Muzik dipasang. Masing-masing mula merangkul pasangan masing-masing sambil menari mengikut rentak lagu. Mia hanyut dalam pelukan Kamal.

Tiba-tiba pintu kondominium yang disewa diketuk. “Kami pegawai pencegah maksiat,” kata seorang lelaki sambil menunjukkan kad kuasanya. Masing-masing terkedu, semuanya dicekup dan dibawa ke pejabat agama. Di situ bermulalah episod debaran di hati Mia tatkala pegawai bertugas mula menelefon keluarganya untuk datang mengambilnya. “Aduh! Bala apa lagi selepas ini,” bisik hati Mia sambil membayangkan apa yang akan dilakukan oleh ayahnya saat sampai nanti. Muka bengis ayahnya mula membuatkan hatinya kecut.

TIP KAUNSELOR

-Untuk menguruskan perasaan yang cenderung kepada nafsu, kekuatan dalaman bersifat keagamaan seperti keimanan dan ketakwaan amat diperlukan.


-Bagi menangkis hasutan perasaan negatif, agama menyarankan beberapa panduan seperti istiqamah dalam amalan kewajipan seharian seperti solat berjemaah, perbanyakkan membaca al-Quran, bergaul dengan rakan yang membawa kepada kebaikan dan menghadiri majlis-majlis ilmu.

-Pilih kawan yang akan membantu membuat pilihan betul apabila mahu melakukan sesuatu tindakan kerana mereka akan memantau pergerakan yang dilakukan berserta bimbingan dan nasihat.

-Elakkan daripada bersendirian dalam tempoh masa yang lama kerana ia akan memudahkan fikiran dan perasaan dipengaruhi oleh hawa nafsu yang sentiasa mencari peluang mempengaruhi perasaan dan pemikiran.

-Sibukkan diri dengan aktiviti kebajikan untuk golongan yang memerlukan seperti membuat kerja amal di rumah kebajikan dan membantu golongan yang kurang kemampuan.

-Buang fikiran negatif apabila mendapat nasihat daripada orang lain seperti ibu bapa, rakan-rakan atau orang dewasa, sebaliknya anggapnya sebagai kasih sayang mereka kepada kita. - : utusan

Jangan ikut budaya bercanggah Islam

AGAK buntu jugalah ketika diminta menulis pasal Valentine’s Day. Maklumlah, sepanjang usia yang sudah masuk empat siri ini, tidak pernah pula menyambutnya, justeru ‘feel’ untuk membayangkan kegembiraan meraikan­nya memang tiada, cuma berdasarkan pengamatan dan pembacaan.

Bagi saya, tidak perlulah kita terikut-ikut budaya yang langsung tidak ada kena-mengena dengan umat Islam, apatah lagi hukum menyambutnya adalah haram! Adat manusia, makin ditegah, makin suka pula me­lakukannya, biarpun tanpa menge­tahui di sebalik sejarah sambutan hari berkenaan.

Sedar atau tidak, jika seseorang meminta orang lain atau pasangannya “To be my Valentine?”, itu bermakna dia meminta seseorang menjadi ‘Sang Maha Kuasa’, dan hal ini sama dengan usaha menghidupkan kembali semangat budaya pemujaan berhala bagi kaum Rom kuno.

Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian dinamakan Lupercalia iaitu upacara penyucian diri yang berlangsung dari 13 hingga 18 Februari. Dua hari pertama mereka menyembah dewi cinta bagi kaum Rom kuno bernama Juno Februata.

Valentine’s Day untuk orang Kristian pula demi memperingati hari kematian paderi mereka St. Valentine yang telah dibunuh pada 14 Februari. St. Valentine dikatakan sempat menulis sepucuk surat cinta kepada seorang gadis yang bertandatangan ‘From your Valentine’ (Daripada Va­lentinemu).

Jelas sekali meraikan sambutan Valentine’s Day atau Hari Kekasih bertentangan dengan syarak, malah Panel Kajian Akidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memutuskan amalan itu haram dan bertentangan dengan ajaran Islam.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang dari 22 hingga 24 November 2005 juga memutuskan bahawa amalan meraikan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan Islam, apatah lagi roh perayaan itu bercampur dengan perbuatan maksiat!

Kebiasaannya pada hari berke­naan, pasangan bercinta saling bertukar hadiah, menghadiri upacara tari-menari, mengadakan acara makan malam dengan disinari cahaya lilin, bertukar-tukar perasaan dan melafaz ikrar cinta di tempat-tempat privasi sehingga berkucupan dan akhirnya sanggup menggadaikan kehormatan diri sendiri demi membuktikan kesetiaan cinta kepada pasangan masing-masing.

Masyarakat tentunya tahu akibat merayakan Valentine’s Day iaitu salah satunya kecenderungan melahirkan anak luar nikah akibat hubung­an intim pada hari istimewa itu, namun persoalan besar timbul ialah apakah yang menyebabkan gejala negatif itu terus berlaku?

Menurut Presiden Persatuan Pegawai Psikologi Perkhidmatan Awam, Dr. Abdul Jalil Hassan, faktor-faktor keseronokan dan kesa­kitan mendorong masyarakat khususnya remaja untuk menyambut Valentine’s Day yang telah dikomersialkan sebagai ‘jenama’ melahirkan rasa kasih sayang.

“Dalam diri manusia ada naluri untuk disayangi dan menyayangi, justeru ini menjadi satu tarikan kuat untuk masyarakat khususnya remaja menyambut Valentine’s Day, apatah lagi hari tersebut dikomersialkan sebagai hari istimewa buat pasangan kekasih,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, tidak salah untuk seseorang menyatakan rasa kasih terhadap insan lain, malah dalam Islam juga menuntut umatnya menyemai sifat-sifat pengasih dan penya­yang, namun yang menjadi masalah ialah masyarakat kita kerap menyambut sesuatu hari itu dengan niat bersempena sambutan tertentu. Malang­nya, kita ‘malas’ membuat penyelidikan dan gemar terikut-ikut budaya Barat.

“Sebagai contoh, kita merayakan Hari Ibu. Biarpun dalam Islam, sepatutnya menyayangi ibu bukan pada hari tertentu, namun Hari Ibu diraikan khusus untuk meraikan ibu kita pada hari berkenaan dengan lebih istimewa.

“Begitu juga kasih sayang. Tak salah mengingati seseorang yang kita sayang dengan meraikan hari istimewa bersamanya tetapi yang salahnya kita turut sama meraikannya pada hari yang sudah dikhususkan bagi memperingati peristiwa atau figura yang bertentangan dengan agama Islam,” katanya.

Kecenderungan mengagung-agungkan budaya asing menyebabkan ramai dalam kalangan kita terutama remaja terpengaruh dengan sambutan yang bercanggah dengan agama dan adat malah jati diri.

“Jati diri terbentuk ketika remaja berusia lingkungan 15 hingga 16 tahun. Dalam tempoh itu, mereka le­bih dekat rakan sebaya dan apa jua pengaruh daripada kumpulan akan membentuk jati diri dan identiti.

“Sebagai remaja, rasa keterpu­nyaan atau keterikatan dalam satu-satu kumpulan mendorong mereka mengikut apa yang dilakukan ahli lain, dan sambutan Valentine’s Day juga tidak terkecuali sebagai ‘jenama’ yang perlu diraikan walaupun adakalanya mereka sedar amalan itu bukan budaya kita,” jelasnya.

Oleh : Rajmah Hasan

No comments:

Post a Comment