Lanjutan itu kedua-dua mereka berbalas kenyataan, Dr. Mohd.Asri menegaskan Zamihan mempunyai masa sehingga 17 Februari untuk berdebat dengan beliau manakala Zamihan pula mahu ia diadakan secara tertutup.
Kenyataan kedua-dua mereka disiarkan oleh portal berita propembangkang, Malaysiakini. Penulis tidak kisah soal kenyataan mereka tetapi apa yang dipersoalkan bagaimana tindakan Malaysiakini yang membenarkan komen-komen terhadap berita tersebut yang ada antaranya melampau.
Tindakan Malaysiakini melepaskan komen-komen tanpa tapisan telah membuka ruang kepada pelbagai pihak untuk ‘berdebat’, paling malang ia mencetuskan perbalahan antara umat Islam. Masing-masing mahu mempertahankan pendirian masing-masing. Kesudahannya berlaku perkara yang mendukacitakan, apabila ada antara komen-komen itu menghina pemimpin, mencaci ulama, mengecam mufti dan memaki para ustaz.
Berdasarkan ratusan komen berkaitan kenyataan Dr. Mohd. Asri dan Zamihan itu, ternyata segelintir umat Islam sudah terperangkap dengan mainan pihak tertentu untuk memecah belahkan mereka. Malah apa yang paling malang, ada juga yang mengambil kesempatan untuk memperlekehkan agama Islam.
Sebab itulah sejak awal lagi penulis sentiasa berpendapat, percanggahan pendapat atau khilaf antara ulama tidak harus dilakukan secara terbuka kerana ia tidak akan mendatangkan sebarang keuntungan kepada umat Islam.
Begitu juga apabila seorang ahli agama membuat kenyataan berkaitan ulama lain, ia hanya akan membuka ruang kepada ‘musuh-musuh Islam’ untuk mengambil kesempatan. Malangnya, segelintir umat Islam di negara ini masih belum sedar atau sengaja buat-buat tidak sedar. Perbincangan yang sepatutnya berteraskan kepada perbezaan pendapat dan dilakukan secara berhemah, sebaliknya dihiasi dengan kata-kata nista dan maki hamun.
Perbuatan itu terbukti jika kita mengkaji satu demi satu komen yang dimuatkan oleh portal berita tersebut. Semuanya dilepaskan tanpa tapisan biarpun mengetahui ia boleh memecah belah umat Islam.
Atas sebab itulah, dalam apa juga situasi dan berhadapan dengan apa juga isu, umat Islam sepatutnya rasional, bukannya emosional. Isu ber-kaitan hal ehwal Islam seharusnya diperbincangkan dengan penuh kesopanan dan kebijaksanaan.
Ia kerana musuh Islam hanya menanti masa sahaja untuk melemahkan umat Islam dengan mencetuskan perbalahan sesama mereka. Itulah yang berlaku dalam isu perdebatan antara Dr. Mohd. Asri dan Zamihan tersebut.
Persoalannya sampai bilakah umat Islam akan begitu mudah dihasut untuk bersengketa sesama sendiri? Tidak cukupkah selama ini mereka bertelingkah kerana berbeza fahaman politik? Kenapakah perlu dibiarkan isu fahaman pula mewujudkan ketegangan kepada mereka?
Pihak berkuasa perlu memandang serius perkembangan ini termasuklah menyiasat motif di sebalik tindakan Malaysiakini menyiarkan komen-komen berkenaan tanpa tapisan. Kalau betul Malaysiakini sebuah portal berita yang bertanggungjawab sudah tentulah mereka akan memahami bahaya komen seumpama itu.
Bagaimanapun hendak menya-lahkan portal berita itu sepenuhnya pun tidak boleh juga. Ia kerana segalanya berpunca daripada sikap umat Islam sendiri. Dalam kalangan kita masih’ jahil’ untuk berbincang atau berhujah secara berhemah. Kalau seseorang itu tidak bersetuju dengan pandangan kita, maka dia akan’ diserang’ habis-habisan sehingga sampai ke tahap mengkafirkan antara satu sama lain.
Mereka lupa kepada peringatan Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 19 yang bermaksud: “Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam. Tidaklah berselisih orang yang telah diberi kitab kecuali setelah mereka memperoleh ilmu, kerana kedengkian di antara mereka. Barangsiapa ingkar terhadap ayat-ayat Allah, maka sungguh, Allah sangat cepat perhitungan-Nya.”
Oleh itu, kalau benar, semua umat Islam memegang teguh ajaran Islam, sudah pasti setiap perbezaan akan diraikan dengan penuh kebijaksanaan termasuk- lah dalam berpolitik. Tetapi itu tidak berlaku. Apa yang sering kita saksikan adalah umat Islam mencerca sesama sendiri dan mahu menegakkan pendirian masing- masing sehingga mencetuskan permusuhan.
Kalau benar masing-masing berasa hebat sangat dalam ilmu agama kenapakah tidak mencontohi ulama-ulama besar walaupun mempunyai ilmu tinggi tetapi sentiasa sahaja menunjukkan kematangan dalam berhadapan dengan perbezaan pendapat.
Mereka sentiasa berpandu kepada al-Quran dan hadis serta tidak memaksa orang lain menerima hujah mereka dan sentiasa bersedia menerima perkara yang benar daripada sesiapa juga. Mereka tidak pernah menganggap pendapat yang dilontarkan sebagai paling tepat sehingga wajib untuk diikuti, dan menolak pendapat lain sehingga menganggapnya sebagai sesuatu yang bertentangan dengan agama.
Imam Syafi’i pernah mengungkapkan, ‘’Pendapatku benar, tapi memiliki kemungkinan untuk salah. Sedangkan pendapat orang lain salah, tapi memiliki kemungkinan untuk benar.”
Namun semua tela-dan yang baik tidak diikuti oleh sebahagian umat Islam di negara ini. Bagi mereka, kalau sesiapa yang tidak mengikuti pandangan mereka atau tidak berada dalam kelompok mereka, maka orang itu akan dilihat sebagai ‘musuh’. Keadaan itulah yang melemahkan umat Islam dan memungkinkan orang Melayu tidak mampu bersatu.
Sepatutnya mereka mengingati firman Allah SWT dalam surah Al-Maidah ayat 48 yang bermaksud;
‘Dan Kami telah turunkan kepadamu al-Quran dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, yaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan batu ujian terhadap kitab-kitab yang lain itu; maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu. Untuk tiap-tiap umat di antara kamu, Kami berikan aturan dan jalan yang terang.
Sekiranya Allah menghendaki, nescaya kamu dijadikan-Nya satu umat (saja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu, maka berlumba-lumbalah berbuat kebajikan. Hanya kepada Allah-lah kembali kamu semuanya, lalu diberitahukan-Nya kepadamu apa yang telah kamu perselisihkan itu.’’
No comments:
Post a Comment