Sebaliknya mereka segera mengaktifkan telefon pintar sama ada untuk melihat berapa panggilan tidak terjawab atau panggilan ringkas serta WhatsApp yang masuk.
Keadaan ini menunjukkan semakin kurangnya masa untuk melaksanakan ibadah zikir, berdoa, bertasbih selepas solat disebabkan adanya telefon pintar. Dalam banyak kes masih terdapat makmum yang lupa menutup atau diletakkan dalam mod senyap telefon pintar milik mereka.
Ini menyebabkan terdengarlah pelbagai lagu ketika solat sedang didirikan. Penulis juga memerhatikan sekumpulan remaja yang segera berkumpul sejurus selesai imam mengakhiri solat di bahagian belakang di mana-mana masjid untuk menggunakan telefon pintar tanpa sempat bersolat sunat.
Keadaan ini berlaku terutamanya di masjid yang menyediakan kemudahan WiFi. Oleh itu, ada keperluan untuk memaparkan makluman di pintu masuk masjid supaya para jemaah tidak membawa telefon pintar ke dalam masjid. Sebaik-baiknya telefon pintar hendaklah ditinggalkan di dalam kereta atau di tempat yang selamat atau di rumah buat sementara waktu semasa menghadap Allah SWT.
Secara tidak langsung, dengan cara ini akan mendatangkan fokus seseorang itu untuk lebih khusyuk dalam ibadah kerana tiada gangguan daripada keinginan untuk mengaktifkan aplikasi telefon pintar milik jemaah berkenaan.
Pihak jabatan agama juga perlu memberikan satu pendekatan yang berkesan bagi mengurangkan penggunaan atau membawa telefon pintar pada masa ceramah, kuliah agama atau khutbah Jumaat terutamanya bagi golongan remaja.
Tidak dinafikan kewujudan telefon pintar pada masa ini adalah satu fenomena yang tidak dapat dihindari disebabkan fungsinya yang pelbagai. Bagaimanapun, kebaikan-kebaikan yang wujud akan memberikan implikasi negatif kepada penggunanya jika tidak dikawal dan diurus dengan baik.
Ibu bapa perlu prihatin dan mengawal penggunaan telefon pintar dalam kalangan anak-anak mereka secara berlebihan di tempat-tempat tertentu khususnya di masjid juga dalam rumah ketika bersama keluarga.
Mereka ini adalah kelas masyarakat yang banyak terdedah kepada rasa ingin tahu dan sering mahu mencuba sesuatu yang baharu sehingga akhirnya akan merugikan diri disebabkan penggunaan gajet itu pada dan tempat yang tidak sesuai selain merasa ketagih akibat keseronokan menggunakan telefon pintar.
Oleh : DR. YENDO AFGANI@EUSOF
No comments:
Post a Comment