Sebagai seorang Islam saya rasa terpanggil untuk memohon agar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am Pas, Datuk Haron Din menyahut salam silaturahim Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyatukan umat Islam yang telah lama berpecah.
Sebaiknya, adakan muzakarah antara UMNO dan Pas yang dicadangkan oleh beberapa ulama, pemimpin Islam dan tokoh agama.
Ia perlu dilakukan tanpa syarat dengan meletakan Islam teratas, demi perpaduan ummah. Bagi orang Melayu, inilah masa yang ditunggu dan inilah satu satunya wadah untuk menyatukan umat Islam di Malaysia dan umat Melayu amnya.
Lihatlah apa yang sedang berlaku di Timur Tengah, kebanyakan negara Islam di sekeliling Arab Saudi telah hancur.
Rakyatnya hidup melarat kerana Islam tidak bersatu dan kita perlu ambil iktibar daripada apa yang terjadi. Saya sering mengikuti ceramah serta kuliah Tok Guru di mana selalu menyebut Hablum minannas, iaitu hubungan sesama manusia seagama dan tidaklah Islam andainya kita memutuskan silaturahim.
Bertahun-tahun umat Melayu berpecah hingga tidak ada kesudahannya sampai hari ini,
Saya pasti ramai ahli Pas dan ahli UMNO akan menitis air mata kegembiraan andai kata Tok Guru ketepikan kisah lama, membuka lembaran baru, terima seruan ini tanpa menoleh kebelakang.
Biarlah yang berlalu itu tinggal hanya sebagai sejarah.
Dalam penyatuan ini, andai kata Pas berdiri atas nama Pas terimalah, pokoknya UMNO dan Pas bersatu untuk menegakkan syiar Islam.
Penyatuan antara Presiden UMNO dan Tok Guru putuskan ini, satu hari nanti akan dimasukan di dalam lipatan sejarah negara untuk anak cucu kita ingati.
Segala jasa Tok Guru akan lebih disayangi ramai dan dikenangi oleh semua umat Islam di negara ini. Hanya dengan cara penyatuan ini sahaja perjuangan dan kepentingan Islam dapat dibina dan dipelihara.
Pas tidak boleh lakukan apa yang dihajati secara sendirian, malah ia memakan masa dan biarlah masa yang akan menentukan.
Penyatuan Pas dan UMNO tidak akan merugikan bangsa Melayu, malah akan dapat berdiri satu saf untuk berjuang bagi menegakan agama dan bangsa, malah mendapat banyak kelebihan serta diredai Allah.
Orang UMNO juga Islam tapi mungkin ada sedikit pandangan dan acara mereka berlainan biarlah bersatu kemudian berbincang serta menuju ke jalan Allah. Selama ini perubahan yang dibuat oleh Pas pun lambat kerana mendapat tentangan dari DAP.
Soal Islam saya rasa Pas lebih selesa dan terbuka berbincang dengan UMNO berbanding DAP.
Keadaan ini membuat Pas keluar dari pakatan pembangkang di Pulalu Pinang, malah laungan azan pun dilarang di beberapa tempat di negeri itu.
Kebelakangan ini, tindakan DAP nampak jelas menghina Islam dan ini bercanggah dengan hala tuju UMNO, Pas dan Perlembagaan Negara.
Saya sarankan pengkongsian kuasa ini akan memberi kekuatan kepada Islam, ukhuwah serta penyatuan di waktu ini baik untuk kedua pihak. Kebelakangan ini terlalu banyak kumpulan yang tersimpang jauh daripada sasarannya, Amanah yang jadi jurucakap DAP, kumpulan pendesak G25 memansuhkan hukuman khalwat konon melanggar hak asasi manusia.
Isu-isu ini jelas menyentuh kepentingan serta institusi Islam, memansuhkan Jakim yang banyak menyumbang kepada pembangunan ummah.
Adalah menjadi harapan saya agar Tok Guru dapat menggunakan kebijaksaan yang dikurniakan Allah untuk berfikir bagi kebaikan umat Islam dan orang Melayu.
Memang kita semua bukan maksum dan tidak terlepas daripada membuat kesilapan, begitu juga ahli-ahli UMNO dan Pas.
Jadi, maafkanlah kesilapan yang lalu, hati kita menjadi lebih mulia apabila boleh memaafkan kesalahan orang.
Tidak salah untuk memaafkan antara satu sama lain dan marilah sama-sama kita pandang ke hadapan untuk kebaikan ummah serta anak cucu kita.
Dengan rendah diri, saya berdoa semoga Allah memelihara dan dapat membuka pintu hati Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tok Guru Haji Hadi Awang bagi maksud ini.
HAMBA ALLAH KERDIL
BB Bangi.
BB Bangi.
No comments:
Post a Comment