Saturday, January 16, 2016

Lucunya Negaraku Malaysia.....!

Kenapa layan tentera jalankan tugas seperti penjenayah?
Adakah tidak terdapat di dalam Standard Operating Procedure (SOP) tentera untuk menembak mereka yang disyaki penjenayah atau dianggap boleh mengancam keselamatan negara?

Bukankah ia satu SOP tentera yang diguna pakai tentera seluruh dunia?

Justeru, kenapa perlu dilayan 2 tentera seperti penjenayah dan dibawa ke mahkamah dengan gambar disiar media bergari dan berbaju lokap.

Apakah negara sekarang sedang mengubah polisi iaitu melindungi penyeludup?

Amat pelik pula bila Panglima Angkatan Tentera muncul dalam berita televisyen mengatakan biarlah pihak polis melakukan siasatan dahulu walhal sebaliknya sepatutnya beliaulah yang pertama sepatutnya mempertahankan tindakan kedua anggota yang bertugas di sempadan.

Bukankah pihak kastam berulang kali mengumumkan semenjak beberapa tahun lalu negara kehilangan berbilion ringgit pendapatan akibat aktiviti penyeludupan? Apakah penyeludup kini bukan lagi musuh negara?

Tindakan menembak mati kenderaan yang enggan berhenti di sempadan patut dipuji kerana pihak tentera juga mengambil risiko kemungkinan ditembak kembali memandangkan keberanian pemandu kenderaan melanggar arahan berhenti tentera di sempadan. Ini bermakna mereka bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan.

Kita juga tidak boleh mencapai kesimpulan ia kenderaan penyeludup malah mungkin juga kenderaan pengganas yang membawa pelbagai senjata canggih.

Justeru, kesemua sempadan seluruh negara patut dikawal tentera kerana ia sempadan negara dan memang skop tugas tentera serta perbuatan menukarkannya dengan pihak polis bukanlah tindakan wajar kerana pihak polis berkemahiran cuma menentang penjenayah dalam tanah air kita sendiri bukannya dihantar berkawal di sempadan negara yang mempunyai pelbagai kemungkinan.

Bagaimanapun, perniagaan menyeludup adalah satu perniagaan besar dan pernah operasi pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di utara Semenanjung yang bersempadan dengan Thailand kira-kira 2 tahun lalu berjaya menahan pelbagai penguat kuasa termasuk pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang didapati membantu penyeludup minyak.

Malah laporan pihak tentera yang berkawal dalam hutan sempadan negara berbulan-bulan bersama nyamuk yang melaporkan mengenai aktiviti penyeludup ketika itu tidak diendahkan pelbagai peringkat penguat kuasa sehingga akhirnya satu operasi pembersihan dilakukan SPRM.

Malah SPRM patut lebih berani, bongkarlah siapakah sebenarnya mendapat faedah terbesar dari segala aktiviti penyeludupan ini bagi menyelamatkan pendapatan negara daripada terus hilang selepas pelbagai penjenayah kenamaan dalam negara menyamun habis-habisan juga tanpa sebarang tindakan berkesan langsung kecuali, “lip service”.

Justeru, kedua-dua anggota tentera ini jika terbukti tiada sebarang niat jenayah dan menembak kerana SOP, perlu dibebaskan segera.

Apakah kita semua lupa babak filem asal Bukit Kepong yang bukan versi dirosakkan dengan muzik latar gitar pekak dengan jelas menunjukkan babak Datuk Yusof Haslam berkawal sebagai anggota polis memarahi penduduk tempatan keluar malam ketika darurat dan sewaktu perintah “curview” dikuatkuasakan di mana mereka boleh menembak sesiapa sahaja yang gagal mematuhi arahan itu.

Dalam situasi di sempadan adalah menjadi tanggung jawab Panglima Angkatan Tentera mengeluarkan kenyataan yang tidak merosakkan moral pasukan ATM kerana ia boleh menyebabkan kemungkinan ramai mempertimbangkan untuk berhenti saja.

Manakala kedua anggota tentera yang digari dan dimalukan di khalayak umum ketika perintah reman diambil patut menyaman kesemua pihak berkaitan termasuk kerajaan Malaysia kerana tindakan menahan seumpama negara kini melindungi penyeludup dan seolah-olah tidak senang hati bila penyeludup yang melanggar arahan tentera untuk berhenti ditembak mati. Negara kita kini punyai masalah besar.

Mempertahankan diri dengan cara munasabah dan terhad bagi anggota pasukan keselamatan di bawah Seksyen 99 Kanun Keseksaan sebenarnya tidak berakhir di situ sahaja malah Seksyen 100 Kanun Keseksaan membenarkan pelbagai keadaan di mana penjenayah terpaksa dibunuh secara sah di sisi undang-undang oleh rakyat biasa.

Bacalah sendiri Seksyen 100 dengan terperinci.

Justeru, sedangkan rakyat dibenarkan mempertahankan diri sehingga menyebabkan penjenayah terbunuh di bawah Seksyen 100 Kanun Keseksaan, apa lagi pula tentera yang sememangnya mempunyai SOP untuk mereka patuhi.

Kegagalan mematuhi SOP boleh menyebabkan bukan sahaja surat tunjuk sebab malah pelbagai tindakan lain dikenakan terhadap mereka seperti, ditahan selama beberapa bulan dalam kem tentera, ditahan kenaikan pangkat malah mungkin juga terpaksa menjawab tuduhan di Mahkamah Tentera.

Oleh itu, tindakan menembak mati penyeludup patut dihargai dan diberi pingat bukannya dilayan seperti penjenayah.

Jika keadaan seperti ini berterusan maka tidak perlulah lagi tentera berkawal menggunakan senjata api memadailah sahaja dengan lampu suluh panjang bersama cota sepertimana pihak keselamatan swasta yang menjaga kawasan kediaman dan taman-taman perumahan di seluruh negara.

Penjenayah sebenar masih bermaharajalela hingga memiskinkan negara tanpa rasa insaf maka segeralah tahan, siasat dan dakwa mereka, insha-Allah. Wallahualam. – 14 Januari, 2016.

* Dr Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar

No comments:

Post a Comment