Ada agama yang memahami bahawa urusan agamanya adalah urusan peribadi semata-mata, kalau boleh jangan ada undang-undang daripada pemerintah mahupun norma-norma masyarakat yang masuk campur dalam urusan agama individu yang dianggap sebagai sangat peribadi sifatnya.
Falsafah agama itu “berikan hak Kaisar (raja) kepada Kaisar, dan berikan hak Allah kepada Allah”. Pemahaman ini sangat ganjil daripada pemahaman orang Islam terhadap agamanya tetapi itulah yang cuba dipaksa pakai kepada umat Islam. Bahkan tidak sedikit umat Islam yang terpengaruh dengannya.
Di dalam al Quran sangat jelas menerangkan bahawa Allah menguasai segala-segalanya.
“Sesungguhnya perkara itu semuanya tertentu bagi Allah, (Dia lah sahaja yang berkuasa melakukannya menurut peraturan yang ditetapkanNya).” (QS Ali Imran 154).
“Ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha Suci Allah yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam.” (QS al A’raaf 54)
Tiada istilah rahsia peribadi di sisi Allah.
Allah mengkehendaki kita memahami Islam ini bukan sekadar agama individu bahkan ia adalah agama bermasyarakat dan agama bernegara.
Ini bermakna setiap individu wajib memastikan hidupnya selaras dengan ajaran agamanya dan masyarakat boleh masuk campur tangan menolong individu dapat menunaikan kewajiban agamanya bahkan negara wajib menyediakan suasana yang kondusif untuk rakyatnya kekal beragama dengan taat bahkan berhak untuk menghalang sebarang usaha yang menganggu gugat rakyat dan ahli masyarakatnya daripada mengamalkan dengan selesa segala tuntutan agamanya.
Ini dapat difahami dengan mudah daripada beberapa nas al Quran mahupun al Hadith. Contohnya ayat: “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (QS al Hajj 41)
Dalam ayat ini sangat jelas memperuntukkan bahkan meletakkan tanggungjawab kepada pihak yang diberi kekuasaan untuk menjalankan kerja-kerja amar ma’ruf (menyuruh kepada kebaikan) dan nahi munkar (melarang kemunkaran).
Masyarakat berhak masuk campur untuk mengekang daripada maksiat sebelum ia berakar umbi dan membudaya kerana di dalam Islam kita mengimani bahawa maksiat dan kemungkaran itu membawa kesan kepada anggota masyarakat yang lain bahkan membawa kesan kepada kelangsungan bernegara.
Perhatikan firman Allah: “Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya.” (QS al anfaal 25)
Juga perhatikan firman Allah: “Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, padahal (umat-umat itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu, dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya, dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka mereka, dan Kami ciptakan sesudah mereka, umat yang lain?” (QS al An’aam 6)
Fahaman yang mengatakan jangan dikuatkuasakan “moral policing” undang-undang yang mengawal moral dan akhlak oleh agensi-agensi bertanggungjawab mahupun inisiatif masyarakat mahupun individu adalah bukan daripada fahaman kita sebagai umat Islam terhadap agama kita bahkan ia termasuk dalam perkara yang disuruh oleh Nabi SAW:
“Barangsiapa di kalangan kamu melihat kemungkaran hendaklah mengubah dengan tangannya, jika tidak mampu, maka dengan lidahnya dan jika tidak mampu, maka dengan hatinya dan demikian itu adalah selemah-lemah iman.” (HR Imam Muslim)
Membiarkan maksiat dan kemungkaran berlaku tanpa pencegahan atas alasan melindungi hak asasi manusia, membiarkan Islam dihina atas alasan hak kebebasan bersuara bukanlah daripada ajaran Islam tetapi berasal daripada agama lain yang cuba dipaksa pakaikan kepada umat Islam.
Oleh : Ustaz Hj Zamri Hashim
No comments:
Post a Comment