Tuesday, January 26, 2016

Sultan, Raja Bukan 
Daripada Lanun

Pakar sejarah, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim berkata, tuduhan bahawa sultan dan raja-raja Melayu tidak lebih daripada ‘lanun’ adalah tidak benar sama sekali.

Menurut beliau, undang-undang British pada abad ke-19 telah menetapkan apa yang dimaksudkan dengan istilah lanun atau piracy.

Beliau berkata, istilah piracy merupakan satu jenayah yang hanya dapat dilakukan di kawasan laut lebih daripada tiga batu dari pantai, yang merupakan kawasan yang tidak bertuan.

“Bagi kawasan laut yang berhampiran dengan sesebuah kerajaan, maka adalah menjadi hak raja boleh menyerang sebarang kapal yang lalu jika pihak yang berkenaan tidak membayar tol. Tindakan ini tidak boleh dianggap sebagai piracy.

“Jadi tuduhan bahawa sultan dan raja juga tidak lebih daripada pirates atau lanun adalah tidak benar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Sorotan Kesultanan Melayu: Menyanjungi Agama, Negara dan Rakyat dalam Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini hari ini.

Majlis dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Menurut Kay Kim, pihak Bri­tish ketika menjajah negara sangat faham terhadap sistem kesultanan Melayu yang wujud sejak sekian lama sebelum mereka mula terlibat dalam hal ehwal kesultanan dan kerajaan Melayu.

Beliau berkata, salah seorang pegawai British yang mempunyai pengetahuan mendalam tentang masyarakat Melayu iaitu Frank Swettenham dalam bukunya menulis “umumnya orang Melayu adalah nature’s gentlemen tetapi tanpa sultan atau raja, the Malays will be just a mob”.

“Justeru, pihak British memang faham bahawa dalam masyarakat Melayu tradisi, orang Melayu disedarkan bahawa ‘di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’.

“Jika mereka tidak mahu tunduk kepada raja, mereka akan ‘ditimpa daulat’,” katanya.

Tambah beliau, sejarah sistem kesultanan atau beraja di negara ini sudah wujud turun temurun walaupun terdapat campur tangan kuasa asing sewaktu dijajah pada penghujung abad ke-19.

Menurut beliau, begitupun sistem tradisional ini dapat menyerap unsur-unsur baharu dan Malaysia kini mempunyai sistem monarki yang luar biasa.

“Sultan dan raja di Malaysia bukan hanya merupakan lambang keutuhan negara bangsa tetapi menjadi pelindung utama agama, negara dan rakyat jelata,” katanya. - http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment