Monday, January 25, 2016

Apabila Privasi Diceroboh Dan Tiada Siapa Peduli...

Nombor telefon kita sepatutnya adalah hak kita. Kita mengawal maklumat yang keluar dan masuk. Tetapi kini keistimewaan yang satu ini diceroboh secara leluasa seperti tiada kawalan.

Sesiapa sahaja termasuk sindiket penipuan boleh mencero­boh telefon kita. Jika dulu mereka memanfaatkan e-mel bagi mem­per­daya orang ramai, kini mereka hiperaktif menggunakan SMS.

Yang berleluasa sekarang ialah SMS tawaran judi dalam talian. SMS dihantar siang dan malam. Sebahagian besar daripada kita rak­yat Malaysia rasanya sudah ter­biasa menerima SMS tawaran judi ini.

SMS menawarkan judi dalam talian ini sebenarnya tidak wujud. Ini hanya penipuan. Sindiket ini hanya bertujuan untuk mendapatkan wang, bukan perjudian. Sindiket ini dikatakan berkembang sejak akhir-akhir ini kerana ketegasan polis menyerbu pusat-pusat judi haram.

Yang menjadi tanda tanya bagaimana sindiket memperolehi nombor telefon kita memandangkan sebahagian penipu itu adalah warga asing. Mereka begitu berani, sebagaimana iklan-iklan yang ditampal di tepi-tepi jalan dengan memaparkan nombor telefon untuk dihubungi.

Benar, ada peralatan yang boleh mengesan nombor telefon secara rambang dan menghantar SMS yang mereka kehendaki. Juga barangkali benar, ada orang dalam syarikat telekomunikasi menjual nombor telefon pelanggan.

Tiada siapakah yang mahu bertanggungjawab untuk menangani hal ini? Isu-isu seperti ini menjadi semakin mendapat perhatian umum. Barangkali ini kerana tiada tindakan tegas daripada pihak berkuasa. Kalau pun ada, taring mereka dianggap tumpul. Tindakan penguatkuasaan pula dilihat hanya ikut musim. Tiada kesungguhan.

Isu data peribadi jatuh ke tangan pihak asing ini bukanlah hal baharu yang malangnya sehingga kini belum dapat ditangani secara tuntas. Ini tentu sahaja bukan tugas kerajaan tetapi pihak-pihak yang menyimpan data awam.

Contohnya hospital. Kes pesakit yang tiba-tiba dihubungi oleh pelbagai syarikat yang menawarkan ubat dan perkhidmatan selepas keluar daripada hospital kerap dibangkitkan. Sudahlah sakit, terpaksa pula berhadapan dengan pelbagai kerenah jurujual yang sebahagiannya tidak bersikap jujur malah banyak yang menipu.

Kes-kes seperti ini sangat serius. Bayangkan ada pihak mengaku boleh mengodam data pesakit sebuah hospital dalam masa lima minit sahaja. Bukan sekadar nombor kad kredit tetapi maklumat penyakit dan ubat-ubatan yang diambil.

Kita selalu dengar tentang prinsip hospital yang tegar melindungi maklumat tentang pesakit. Tetapi malangnya, prinsip itu gagal diterjemahkan dalam hal memastikan data pesakit disimpan dengan selamat sehingga terlalu mudah untuk digodam.

Barangkali ini kerana proses menyimpan data di tempat yang terjamin selamat memerlukan kos. Mengikut pakar keselamatan siber, tahap kesedaran terhadap keselamatan data masih rendah. Kebanyakan mereka tidak menganggap menyimpan data dengan selamat satu keperluan asas.

Begitu juga semasa keputusan peperiksaan SPM dan STPM mahu diumumkan. Tiba-tiba peti surat kediaman calon peperiksaan berkenaan penuh dengan brosur dan surat tawaran institusi pengajian tinggi swasta.

Anehnya, ejen atau institusi pengajian tinggi itu seperti tahu jika ada calon SPM dan STPM tidak mendapat sebarang tawaran mengikuti pengajian di universiti awam. Semakin melimpah-limpah brosur dan surat tawaran memenuhi peti surat.

Mungkin perkara ini ada baiknya untuk memudahkan mereka yang gagal ke universiti awam membuat pilihan lain. Tetapi sekali lagi apa yang dibimbangi ialah maklumat peribadi boleh bocor begitu sahaja kepada pihak-pihak yang tiada kaitan.

Secara umum apa yang lebih dibimbangi ialah tahap kejujuran atau integriti rakyat negara ini yang masih tidak berubah di tahap membimbangkan. Kebelakangan ini pula, pegawai yang ditangkap atas pelbagai dakwaan rasuah dalam kalangan mereka yang masih berumur muda.

Realitinya, masih banyak penguat kuasa yang diberi amanah, yang dibayar gaji untuk menguatkuasa undang-undang merelakan dirinya bersekongkol dengan penjenayah. Bayangkan sahaja, rancangan serbuan ke lokasi yang disyaki ada berlaku kegiatan jenayah boleh bocor. Jika tidak bocor pun, ada tonto yang begitu berani menghalang tugas penguat kuasa.

Ini cerita biasa di negara ini. Inilah yang menjadi punca kegiatan mesin judi haram, kebanjiran pen­datang asing dan ketirisan sub­si­di kerajaan umpamanya sukar diban­teras. Dalam setiap aktiviti yang berkaitan kuasa melulus dan berunsurkan keuntungan, ada sahaja penglibatan songsang tangan-tangan orang yang diberi amanah.

Di situ ada peluang penyelewengan, mereka dengan mudah menjual maruah diri untuk menerima habuan. Di situ ada peluang untuk mendapatkan habuan, mereka sanggup berbuat curang. Benarlah, kita terpaksa mengakui bahawa integriti dalam kalangan rakyat Malaysia terutama mereka yang diberi amanah masih pada tahap membimbangkan.

No comments:

Post a Comment