Tuesday, January 12, 2016

Hadi Mahu Padamkan Dosa Amanatnya

Ramai di kalangan orang PAS dan rakyat Malaysia mendakwa, amanat Hadi inilah titik tolak bermulanya kafir-mengkafir di negara kita terutamanya di Kelantan dan Terengganu.

Ramai yang tertanya-tanya. Apa sudah jadi dengan Tuan Guru Haji Hadi Awang? Kenapa berubah 180 darjah dalam pendirian politiknya hingga menyeret PAS dan Pakatan ke kancah perpecahan. Lebih-lebih lagi yang telah lama mengikutinya. Ketika itu beliau adalah ‘the Rising Star of PAS’. Beliau membina ikutan dengan kepetahan retoriknya dalam berceramah. Tidak kurang pula yang fanatik dengannya.

Bintangnya terus bersinar hingga membolehkan beliau menjadi ikon perjuangan Islam. Ke mana sahaja beliau pergi, ramai pendengar dan penontonnya. Ceramah dan kuliahnya di Rhu Redang menarik ribuan, malah adakalanya puluhan ribu. Begitu juga kuliah tafsirnya di Masjid Mujahidin Damansara Utama dinanti-nanti pengikutnya dan setiap minggu menjadi seperti pesta.

Popularitinya terus berkembang begitu juga ketokohannya yang dapat membantu beliau mengambil alih sebagai Presiden PAS setelah Almarhum Ustaz Fadhil Nor. Salah satu yang menyebabkan beliau begitu popular ialah Amanat Haji Hadi yang dirakamkan ketika ceramahnya di Bagol Peradong pada 7 April 1981.

Amanat itulah yang menjadi pegangan hampir semua pengikut PAS dan bukan PAS tapi condong kepada Islam ketika itu. Walaupun Hadi tidak pernah mengaku bahawa amanat itu amanat beliau, tetapi sudah cukup bukti beliau merestuinya lantaran beliau tidak pula pernah menolak dan menghalang sehingga poster dan kaset amanat itu dicetak dan disebarkan secara meluas.

“Saudara-saudara sekalian, percayalah! Kita menentang UMNO bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang BN, bukan kerana nama BN. Kita menentang dia kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan peraturan kafir, mengekalkan peraturan jahiliah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita berjuang melawan mereka.

Percayalah saudara – saudara! Perjuangan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad dan kerana kita berjuang dengan puak – puak ini, kalau kita mati kerana berlawan ini, mati kita adalah mati syahid, mati kita adalah mati Islam. Kita tidak payah masuk Yahudi, kita tidak payah masuk Kristian, kita tidak payah masuk Hindu, Kita tidak payah masuk Buddha tetapi kita menjadi kafir dengan mengatakan politik suku, agama suku”.


Ramai di kalangan orang PAS dan rakyat Malaysia mendakwa, Amanat Hadi inilah titik tolak bermulanya kafir-mengkafir di negara kita terutamanya di Kelantan dan Terengganu. Isteri berpisah dengan suami, orang PAS tidak solat berimamkan imam tertentu dan di masjid tertentu.

Kuatnya pengaruh Amanat itu juga menyebabkan majlis perkahwinan dan kenduri diboikot hanya kerana perbezaan parti dan kefahaman politik. Dan tidak ada usaha dari Hadi dan pengikutnya membetulkan suasana itu ketika itu. Dan ramai orang mendakwa kemuncak dari amanat tersebut ialah terkorbannya Almarhum As-Syahid Ustaz Ibrahim Libya dan 14 orang pengikutnya di Memali di tangan pihak yang berkuasa ketika itu.

Tapi kenapa sekarang Hadi berubah? Apakah sikap kerasnya itu kendur seusai usianya? Atau apakah Hadi berubah kerana Perlembagaan Malaysia sekarang tidak lagi Perlembagaan Penjajah? Apakah terdapat perbezaan Perlembagaan Malaysia tahun 80an ketika Tun Dr Mahathir berkuasa dengan perlembagaan sekarang ketika Najib berkuasa? Yang pasti Amanat Hadi itu seolah-olah menggambarkan Hadi tidak menerima Perlembagaan Malaysia yang sedia-ada, yang tidak berubah sejak merdeka hingga ke hari ini. Dan amanat itu mengajak pengikut PAS untuk menolak Perlembagaan Malaysia yang ditakrifkan sebagai Perlembagaan Penjajah, Peraturan Kafir, Peraturan Jahiliah.

Atau perubahan Hadi lantaran serangan jantung yang dideritai ketika di Turki? Atau kerana janji Najib untuk menyokong Hudud PAS? Atau Mungkin kerana Kerajaan Kelantan telah menerima royalti minyak daripada Najib? Atau imbalan-imbalan yang kita tidak tahu. Semua itu menjadi tanda tanya di kalangan ramai yang mengikuti perkembangan perubahannya yang mendadak itu.

Yang pasti tiada jawapan yang meyakinkan. Kalau hendak menjadi penasihat kepada kerajaan kenapa tidak dilakukan sejak dulu. UMNO tetap UMNO, BN tetap BN. Perlembagaan Malaysia tetap sama. Yang beza cuma dahulu Mahathir, sekarang Najib. Yang beza dahulu tak ada 1MDB, sekarang ada 1MDB sehingga terhutang RM47 bilion. Dahulu tidak kelihatan wang derma RM2.16 bilion masuk akaun peribadi seseorang, tetapi sekarang ada.

Dan tiada penentangan, teguran mahu pun nasihat dari Hadi tentang kedua-duanya itu. Orang yang berprinsip Islam pasti akan bersuara lantang dalam ruang lingkup amar maaruf nahi mungkar bahawa orang berjawatan awam tidak sepatutnya menerima derma sebegitu banyak dan dimasukkan ke dalam akaun peribadi. Hadi seharusnya menasihati Najib supaya berehat sementara dari menjadi perdana menteri supaya penyiasatan secara terbuka dan telus dapat dijalankan. Hadi seharusnya mengingatkan Najib kalau wang derma itu untuk UMNO, kenapa akaun UMNO tidak menunjukkan perkara itu di mesyuarat agung UMNO.

Ini yang memusykilkan ramai orang akan niat sebenar dan perubahan Hadi. Yang lebih malang, perubahan Hadi menggoncang kestabilan PAS dan kekuatan pembangkang yang mula dapat momentum sokongan rakyat sejak tahun 2008.

Ada pula yang mendakwa apa yang berlaku adalah untuk Hadi memadam dosa dari Amanat tersebut. Tapi mereka memperingatkan Hadi supaya tidak lupa kepada pengorbanan Almarhum As-Syahid Ustaz Ibrahim Libya dan pegikutnya dan ramai lagi pengikutnya yang telah menjadi mangsa kekejaman dan kezaliman pihak berkuasa lantaran perpegang teguh kepada amanatnya.

Mahukah dan mampukah Hadi memohon maaf kepada mereka dan waris mereka?

Oleh : Yunus Tasim

No comments:

Post a Comment