SEPATUTNYA tiada lagi kedengaran hal sebegini - isu yang dikatakan tidak mahu guru Melayu mengajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).
Namun, insiden yang terjadi di SJKC Pai Chee, di Mersing, Johor baru-baru ini berhubung dakwaan seorang guru Melayu dibaling dengan buku dan alatan tulis oleh bapa seorang murid di situ, sewajarnya membuka mata semua pihak.
Bukan seorang guru Melayu di sekolah itu tetapi ada dua lagi guru Melayu di situ yang dikatakan tertekan dengan insiden ini. Dakwaan meminggirkan atau ‘menganaktirikan’ guru Melayu di SJKC bukanlah baharu di negara ini. Antaranya, bukan sahaja enggan menerima guru Melayu mengajar Matematik dan Bahasa Inggeris, hatta untuk subjek Bahasa Melayu pun kalau boleh mahu guru sebangsa.
Guru SJKC Pai Chee, Salina Daud, 49, mendakwa diserang bapa kepada muridnya di bilik guru.
Salina turut mendakwa, susulan kejadian itu, dia melaporkan perkara itu kepada pihak pengurusan sekolah tetapi tiada sebarang tindakan diambil.
Kementerian Pendidikan harus menyiasat dengan telus dan adil isu halau guru di SJKC Pai Chee ini.
Apakah benar guru besar sekolah terbabit pernah menghalau tiga guru Melayu di situ dengan mengatakan bahawa masyarakat Cina Pai Chee tidak mahu guru Melayu mengajar di situ? Malah disyorkan sekolah tertentu pula untuk ditukarkan?
Adakah benar juga dakwaan menyebut guru besar terbabit juga telah menemui PPD dan meminta supaya mereka dikeluarkan atas sebab-sebab kononnya tidak mampu mengajar dengan baik?
Benar, kita tidak mahu isu perkauman menjalar dalam dunia pendidikan di negara ini. Sepatutnya ia menjadi pemangkin kepada perpaduan antara kaum.
Jenuh sebelum ini ada dakwaan guru Melayu dimaki dalam bahasa Cina serta dijelir lidah oleh pelajar di SJKC. Pelajar turut membuat bising macam ‘pasar’ dalam kelas semasa guru mengajar sehingga guru terbabit tidak tahan dan berpindah sekolah.
Masalah perkauman di SJKC bukan perkara baharu kerana sudah banyak kali disuarakan oleh guru yang terkena ‘penangan’ ini.
Namun, tidak ada satu tindakan berkesan yang mampu memberi pengajaran kepada semua.
Kalau diteliti, insiden di SJKC Pai Chee jika benar berlaku, mirip salah satu tuntutan Gabungan Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Malaysia atau Dong Zong yang mendesak kementerian berkenaan memindahkan segera guru-guru yang dihantar ke SJKC pada sesi persekolahan beberapa tahun lalu yang tidak tahu berbahasa Cina. Ini termasuk guru-guru bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.
Kalau dibenarkan tuntutan Dong Zong ini, dikhuatiri nanti kita semua berpecah belah. Yang Melayu dengan Melayunya, Cina dengan Cinanya dan India dengan Indianya.
Malaysia satu-satunya di dunia yang ada sekolah vernakular. Di negara lain tidak ada. Di Singapura tidak ada sekolah Cina pun.
Jangan biarkan isu dan sentimen perkauman ‘merajai’ SKJC.
Oleh : Zulkifli Jalil
No comments:
Post a Comment