Banyak kejutan
Sudah banyak pendedahan dibuat oleh akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia tentang salah guna dan penyelewengan agihan subsidi diesel dan petrol sejak awal minggu ini. Terlalu banyak kejutan. Rupa-rupanya ramai terlibat menjadi pengkhianat, yang melibatkan mungkin ratusan para pegawai serta petugas pelbagai agensi dan jabatan kerajaan.
Beberapa operasi untuk membanteras gejala itu disabotaj kerana mereka sudah disogok bertahun-tahun lamanya. 'Harapkan pagar, pagar makan padi'. Ada yang mempunyai jutaan ringgit wang dalam akaun hasil aktiviti gelap. Awang ucapkan tahniah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana mengambil langkah tegas. Dipercayai ramai lagi pegawai terutama agensi penguat kuasa terlibat. Siasat habis-habisan dan dakwa mereka ke mahkamah.
Apa yang berlaku ini, sudah lama membawa mudarat besar kepada ekonomi negara selain menjejaskan golongan sasaran sebenar. Bayangkan sebanyak 6 bilion liter petrol RoN95 dan 3.5 bilion liter diesel diseleweng dan salah guna. Awang percaya tiada negara lain yang menghadapi situasi seburuk ini. Ketirisan amat dahsyat, yang tidak boleh lagi dibiarkan dengan formula lama dan tidak berkesan. Jalan keluar terbaik, lakukan pembaharuan dengan mengkaji semula kaedah agihan bahan bakar itu. Ia jauh lebih berkesan daripada langkah-langkah lain, yang tidak akan banyak membantu. Dalam pada itu, Awang angkat topi kepada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengambil inisiatif membentuk gagasan Anti Seleweng Subsidi (GASS) bagi membantu menangani ketirisan subsidi petrol dan diesel.
Percayalah, akan terdedah banyak lagi penemuan dan kejutan. Memetik sumber pegawai kanan SPRM: "Gejala rasuah dan salah guna yang membawa ketirisan subsidi petrol dan diesel ini sangat menakutkan.'' Angkara penjawat awam, kerajaan yang menanggung akibat. Awang hanya mampu geleng kepala.
Oleh : Awang Selamat
No comments:
Post a Comment