nuffnang

Monday, May 5, 2014

Bahana Putus Tunang

BERTUNANG bukan wajib dalam Islam. Sebab itu ramai yang bersikap endah tak endah apabila berlaku putus tunang.

Kaum wanita sendiri masih kabur akan hak-hak mereka dalam kes putus tunang yang mana dalam terma undang-udang ia dikatakan kemungkiran janji untuk berkahwin.

Lagi pula masyarakat kerap melihat hal putus tunang sebagai remeh kerana beranggapan itu bukan perkara wajib berbanding nikah. Ada yang beranggapan bertunang sekadar adat. Jadi, apabila ada pihak yang mungkir, tidak ada apa yang perlu dibesar-besarkan.

Jadi, fokus kali ini adalah kepada pembatalan perkahwinan sebelum berlakunya akad nikah (pembatalan sebelum berkahwin) atau lebih kerap disebut sebagai putus tunang.

Walaupun bertunang itu tidak wajib kerana bukan satu akad perkahwinan yang sah, tetapi ia merupakan adat masyarakat Melayu yang diterima oleh Islam.

Pertunangan merupakan suatu ikatan janji antara pihak lelaki dan perempuan untuk melangsungkan perkahwinan. Cincin atau sesuatu hadiah yang diberikan semasa peminangan menjadi tanda ikatan pertunangan itu.

Jadi, apakah hak-hak wanita yang pertunangannya dibatalkan sebelum tiba hari perkahwinan?
Oleh kerana pertunangan merupakan satu ikatan janji antara kedua-dua pihak, dari aspek perundangan ia merupakan satu kontrak yang mengikat kedua-duanya.

Dalam Islam, setiap kontrak yang ditandatangani wajib dipatuhi selagi mengikuti prinsip syariat. Implikasi kontrak ini bukan sahaja ke atas hak sesama manusia, malah kesannya berkait langsung dengan hak Allah SWT.

Islam memandang serius aspek amanah dan mematuhi setiap perbutiran yang dipersetujui dalam kontrak termasuk dalam hal pertunangan.

Ini ditegaskan dalam firman Allah SWT:"Wahai orang yang beriman!Patuhilah setiap perkara yang kalian akadkan (terma yang termaktub dalam kontrak)".(Surah Al-Maidah: 1)

Dalam undang-undang sivil juga jelas wanita mempunyai hak untuk mendapatkan pampasan atau ganti rugi di dalam kes mungkir janji untuk berkahwin (Breach of Contract of Marriage).

Seawal tahun 1969 telah wujud tuntutan malu dan ganti rugi kerana kemungkiran janji untuk berkahwin. Merujuk kes Nafsiah lawan Abdul Majid, plaintif (Nafsiah) menuntut ganti rugi kerana defendan (Abdul Majid) mungkir janji untuk berkahwin dengannya.

Plaintif mengemukakan dokumen perjanjian bertulis sebagai bukti di mahkamah. Plaintif turut menuntut ganti rugi teruk (aggravated damages) kerana defendan telah menggodanya lalu menyebabkan dia hamil dan melahirkan seorang anak lelaki.

Plaintif menang dalam kes ini dan Hakim membuat keputusan dengan mengambil kira keadaan sosial di Malaysia, kebiasaan serta adat resam masyarakat lalu membuat kesimpulan terdapat kemungkinan besar plaintif dihina dan diaibkan kerana mengandung dan melahirkan anak tanpa menikahi bapa anak tersebut.

Mahkamah memutuskan tuntutan ganti rugi kerana mungkir janji untuk berkahwin (breach of promise to marry) sama dengan tuntutan ganti rugi kemungkiran kontrak (breach of contract). Hakim memerintahkan defendan membayar ganti rugi sebanyak RM1,200 kepada plaintif.

Orang Islam di Malaysia boleh menuntut ganti rugi berkiatan putus tunang di Mahkamah Sivil kerana Common Law mengiktiraf perjanjian untuk berkahwin sebagai satu kontrak.

Hak-hak wanita dalam kes seumpama ini meliputi ganti rugi kewangan dan juga bukan kewangan seperti maruah, penghinaan dan sebagainya.

Selain itu wanita juga berhak mendapat barangan perkahwinan seperti cincin dan hadiah perkahwinan sekiranya pihak lelaki tidak mematuhi keperluan perjanjian perkahwinan.
Wanita juga berhak memiliki secara mutlak sekiranya hadiah diberikan tanpa keperluan oleh pihak lelaki.

Bagaimanapun sekiranya kedua-dua pihak bersetuju untuk mengakhiri perjanjian atau pihak wanita yang membatalkannya tanpa sebab, barang tersebut perlu dipulangkan.

Sekiranya berlaku kemungkiran pertunangan tanpa alasan-alasan yang munasabah, sedangkan persiapan perkahwinan sudah dirancang, pihak-pihak yang terlibat boleh menuntut ganti rugi yang berkaitan di Mahkamah Syariah.

Situasi ini jelas diterangkan dalam peruntukan Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 dan Seksyen 15 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 iaitu, apabila berlakunya kemungkiran terhadap ikatan pertunangan yang telah dibuat antara kedua belah pihak sama ada secara rasmi atau sebaliknya, maka pihak yang memungkiri pertunangan tersebut bertanggungjawab untuk membayar segala ganti rugi yang telah dibelanjakan sama ada semasa pertunangan atau ganti rugi persiapan perkahwinan kepada pihak satu lagi. Tuntutan ganti rugi itu boleh dibuat dengan memfailkan tuntutan di Mahkamah Syariah.

Dalam kes Salbiah Othman lawan Haji Ahmad Abdul Ghani (2002), pihak perempuan telah dimungkiri janji untuk berkahwin telah membuat tuntutan ganti rugi keaiban dan ganti rugi perbelanjaan yang merangkumi persiapan untuk pertunangan dan persiapan untuk perkahwinan.
Pihak Mahkamah Tinggi Syariah Seremban telah meluluskan permohonan Salbiah terhadap sebahagian tuntutannya yang merangkumi kos baju pengantin, tempahan persalinan, tempahan langsir dan cadar, deposit khemah dan katil serta kos jemputan yang merangkumi barangan runcit dan basah.

Dalam kes Aishah lawan Jamaluddin (1978), pihak lelaki telah mungkir janji untuk berkahwin dengan pihak perempuan. Aishah menuntut pembayaran mas kahwin berjumlah RM25, belanja kahwin RM800 dan mendakwa dia berhak untuk terus menyimpan cincin pertunangan.
Kadi Besar Kedah ketika menjadi hakim bagi kes berkenaan memerintahkan Jamaluddin membayar ganti rugi mengikut perjanjian pertunangan dan Aishah juga berhak untuk terus menyimpan cincin pertunangan yang dihadiahkan kepadanya.

Hakim juga memerintahkan supaya Jamaluddin membayar kos baju pengantin kepada Aishah yang telah disiapkan untuk perkahwinan dan juga RM400 sebagai pembayaran untuk membaiki rumah yang dilakukan khusus bagi persediaan majlis perkahwinan.
Dalam satu lagi kes, seorang wanita dihukum penjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret Melaka, kerana menipu seorang lelaki dengan berjanji untuk berkahwin sehingga menyebabkan kerugian RM29,840.

Kes ini menerangkan bahawa menggunakan alasan janji untuk berkahwin bagi menipu dengan tujuan mendapatkan wang juga boleh mendapat pembelaan yang setimpal.

Kes-kes yang dipaparkan ini merupakan peringatan kepada pasangan yang telah bertunang supaya tidak bertindak memutuskannya secara sembrono.

Kes bakal pengantin tidak muncul ketika majlis akan nikad, dan perkahwinan dibatalkan pada saat akhir sebenarnya mempunyai implikasi undang-undang yang mana pihak yang mungkir janji perlu menanggung akibatnya.

Sebab itu, jika pasangan merasakan mereka tidak mampu untuk melanjutkan pertunangan itu ke alam perkahwinan, pembubaran harus dilakukan dengan cara yang baik.

Undang-undang keluarga Islam telah memperuntukkan hak-hak wanita Islam yang meliputi tuntutan hak milik pemberian pertunangan dan pampasan akibat kerugian yang dialami.

Apabila berlaku kemungkiran pertunangan tanpa alasan yang munasabah, pihak yang teraniaya boleh menuntut segala kos kerugian seperti persiapan perkahwinan dan pemberian pertunangan di Mahkamah Syariah berdasarkan peruntukan yang telah dinyatakan di atas.

Secara umumnya wanita berhak menuntut dua perkara dalam kes kemungkiran janji untuk berkahwin. Pertama pemberian semasa pertunangan menjadi hakmiliknya secara mutlak. Kedua, tuntutan gantirugi bagi persiapan perkahwinan akibat kemungkiran janji untuk berkahwin daripada pihak lelaki dengan sebab yang tidak munasabah.

Oleh itu, kita hendaklah memenuhi dan menunaikan janji-janji yang telah dinyatakan sebagaimana yang telah dinyatakan dalam al-Quran: "Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah akad-akad (perjanjian-perjanjian) itu." (Al-Maidah:1).

Sumber : utusan@Keluarga

No comments:

Post a Comment