Bahasa Melayu Bahasa Ke-5 Terbesar Di Dunia
BEIJING - CHINA. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bahasa
Melayu kini diangkat sebagai bahasa kelima terbesar di dunia, dengan lebih 300
juta orang penutur.
“(Ia) bermula seawal kurun ke-15, apabila Dinasti
Ming di China menubuhkan jabatan bahasa asing yang turut merangkumi bahasa
Melayu.
“Bahasa Melayu tersebar luas sehingga dipelajari oleh penutur dan
orang asing, dan usaha ini telah menyemarakkan proses pendidikan bahasa Melayu
pada peringkat antarabangsa,” katanya semasa merasmikan persidangan antarabangsa
'Pengajian Melayu 2014 Hubungan Malaysia-China' di Beijing Foreign Studies
University (BFSU), pada Jumaat.
Persidangan itu dijadual berlangsung
empat hari hingga 2 Jun. Najib berkata Profesor Wu Zungyu, tokoh bahasa
terkemuka dari BFSU China turut mengakui bahawa bahasa Melayu mempunyai jumlah
penutur yang besar di serata dunia.
“Oleh yang demikian, tidak hairanlah
Pengajian Melayu merupakan satu bidang yang semakin menarik minat orang ramai
dan tersebar luas ke seluruh dunia.
"Minat terhadap pengajian Melayu
bukan sahaja berada dalam lingkungan dunia Melayu, bahkan telah menjadi satu
agenda pendidikan hampir di serata dunia,” katanya.
Pada majlis itu Najib
turut melancarkan tiga buah buku - Kamus China-Melayu Dewan, Kajian Bandingan
Pantun Melayu dengan Nyanyian Rakyat Tiongkok dan Eksplorasi Pengajian
Melayu-China - terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka serta United Publishing House
Sdn. Bhd.
Kamus China-Melayu Dewan mempunyai 20,540 entri dan subentri
yang terdiri daripada kosa kata bahasa Cina kontemporari dan lazim dalam urusan
seharian.
Buku Kajian Bandingan Pantun Melayu Dengan Nyanyian Rakyat
Tiongkok pula adalah kajian perbandingan dari segi rima, pembayang dan maksud
pantun, penggunaan perkataan, dan pemikiran yang terkandung dalam pantun serta
nyanyian Melayu-Rakyat Tiongkok,
Buku Eksplorasi Pengajian Melayu-China
merupakan himpunan pantun mengenai Pengajian Melayu di China. - Bernama
No comments:
Post a Comment