Tuesday, May 20, 2014

Oh Bahasaku!

Sebenarnya soal perbahasan mengenai bahasa Melayu ini tak habis-habis lagi diperbincangkan. Mengapa ya? Apakah lemah sangat mutu bahasa Melayu ini? Atau mulai dipinggirkan? Sudah tidak dihormati? Atau sudah hilang daya saing?

Renung-renungkanlah...

Sasterawan Negara, Usman Awang tamat sekolah Melayu darjah 6; menulis dalam bahasa Melayu; karya dalam bahasa Melayunya diterjemahkan hampir dalam 10 bahasa.

Novel Salina ditulis oleh Samad Said dalam bahasa Melayu; turut diterjemahkan dalam 10 bahasa.
Paulo Coelho; menghasilkan pelbagai karya dalam bahasa Portugis. Novel tersohornya The Alchemist diterjemahkan ke dalam 67 bahasa mencapai jualan sekitar 150 juta naskhah seluruh dunia.

Kawan saya Mr. Katano cakap orang Melayu kurang berjaya sebab bila ada satu ilmu moden seperti kejuruteraan mahu disampaikan, maka orang Melayu majoriti tidak faham. Sebab Melayu yang tahu ilmu tersebut hanya boleh sampaikan dalam bahasa Inggeris kerana belajar di England.
 
Manakala orang Jepun yang pergi belajar di Jerman dan Amerika, apabila pulang mereka mengajar ilmu yang dipelajari dalam bahasa Jepun, maka majoriti orang Jepun fahamlah.

Kita sibuk bahasa Inggeris, bahasa Melayu mahu dicampak ke mana?

Bimbang, bahasa Melayunya tidak mencecah bumi; bahasa asingnya tak sampai ke langit.
Saya sokong sepenuhnya memartabatkan bahasa Melayu. Kepada orang Melayu yang kurang fasih bercakap atau menulis bahasa Melayu kena belajar lagi. Kita mesti tunjukkan kepada orang bukan Melayu bahawa orang Melayu pun kena mencuba dan terus belajar menguasai Melayu. Jangan marah kalau terasa. Nanti kena jual.

Tidak salah belajar bahasa, jangan taksub dengan budaya mereka. Pejuang bahasa Melayu pun rata-rata Inggeris mereka hebat. Masalah kita adalah mengamalkan budaya mereka lebih daripada belajar bahasa.

Isu bahasa akan terus berlarutan lama lagi, selagi sistem pendidikan negara masih ada pelbagai
cabang. Masing-masing kaum di Malaysia mengakui bahasa mereka lebih baik.
Mereka mendakwa, bahasa Cina dan India ditutur oleh berbilion orang. Siapa lebih hebat? Aduhai...

Oleh : Zaini Hassan

No comments:

Post a Comment