nuffnang

Thursday, May 22, 2014

Hudud: Pas Dipermainkan DAP

KUALA LUMPUR - Pas dilihat sering dipermainkan oleh rakan sekutu mereka dalam pakatan pembangkang terutama DAP yang menganggap perjuangan parti itu untuk melaksanakan hukum hudud sebagai satu bahan mainan.

Ahli Pas kawasan Subang, Selangor, Mohd. Saad Yahaya berkata, lebih parah ada dalam kalangan pemimpin Pas sendiri suka dipermainkan apabila sanggup tunduk kepada desakan DAP biarpun membabitkan agenda perjuangan parti.

Jelas beliau, Pas sepatutnya bertanggungjawab memberi penjelasan kepada DAP berhubung pelaksanaan undang-undang Islam itu dan memahami perjuangan Pas itu jika mereka benar-benar menganggap parti itu sebahagian rakan dalam pakatan pembangkang.

Sehubungan itu, katanya, Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gelugor merupakan pentas terbaik untuk Pas memberi penerangan kepada kaum Cina di Pulau Pinang berhubung hukum tersebut yang mahu dilaksanakan parti itu
.
"Rakyat negeri di bawah kepimpinan DAP itu terutama Ketua Menterinya, Lim Guan Eng wajib memahami agenda perjuangan Pas itu jika mereka benar-benar menganggap parti itu sebahagian rakan dalam pakatan pembangkang
.
"Namun, pada saya mereka hanya anggap kita sebagai `rakan mainan'.

"Kita kerap dipermainkan, lebih parah ada dalam kalangan pemimpin kita suka dipermainkan, malah mereka juga tumpang bermain-main dengan perjuangan kita," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau amat kecewa isu pelaksanaan hukum hudud yang kembali panas gara-gara calon Bebas pada pilihan raya kecil itu, Mohamed Nabi Bux Mohd. Nabi Abd. Sathar mahu memperjuangkan undang-undang Islam itu menjelang 2020, telah `dimatikan' oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri.

Katanya, tindakan Abdul Hadi yang menangguhkan pembentangan Rang Undang-Undang Persendirian ber­kenaan pelaksanaan hukum hudud Kelantan di Dewan Rakyat mengecewakan hati ramai ahli akar umbi parti kerana beliau sanggup tunduk kepada desakan DAP yang selama-lamanya tidak pernah setuju dengan Pas dalam soal hudud.

"Kami (ahli) di bawah tidak pernah berubah, namun yang di atas kerap berubah fikiran mengikut arahan yang diatur oleh pemimpin DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
"Syabas Mohamed Nabi Bux walaupun keseorangan namun perjuangan anda dihargai. Kepada semua umat Islam di Bukit Gelugor, anda wajib mengundi beliau," katanya.

Oleh : Maisarah Sheikh Rahim

No comments:

Post a Comment