
Kalau Siti adalah pengarah filem Melayu terutama yang gemar melondeh pelakon, sudah tentu Siti hantuk kepala ke dinding kerana malu. Siti malu kerana The Journey sebuah filem Cina, diarahkan oleh orang Cina dan dilakonkan juga oleh Cina tapi ia lebih Islamik berbanding filem arahan orang Melayu dan Islam.
Tapi sesetengah pengarah Melayu mana ambil pot semua itu. Entah-entah mereka tak menonton pun The Journey. Iyalah filem ini tak ada adegan bogel-bogelan atau londeh-londehan. Tak ada juga kisah sekular kerana filem ini tentang pelestarian budaya Cina walau di mana mereka berada.
Siti melihat dunia filem Melayu hanya banyak kecoh, kepoh dan riuh rendah termasuk berpesta-pestaan dan penuh dengan skandal sambil memperagakan pakaian mahal. Filem Melayu tidak membawa idealisme, yang banyak ialah gambar-gambar mati yang bergerak. Balik-balik cakap tentang mesej kononnya filem mereka menyumbang melahirkan manusia yang baik-baik. Tapi nak baik macam mana niat pengarah yang buat filem itu pun banyak yang tak betul.
Sebab itu Siti sakit hati dengan sebahagian besar filem Melayu. Siti bayar untuk menonton tapi tak setimpal dengan duit yang Siti keluarkan. Rasa macam nak lontar telur kemuruk saja kepada pengarah begini. Menyesal menonton.
Bila pertama kali menonton The Journey, hati kecil Siti berbisik, "Filem beginilah yang aku cari. Bukan filem sengal cinta-cintaan atau filem hantu yang setengah masak."

Ini menunjukkan penonton sudah memilih karya yang menjadi penawar, bukannya racun. Memang orang Cina banyak menonton filem The Journey dan mereka tidak menonton filem Melayu.
Siti fikir orang Cina menonton The Journey bukan kerana ia sebuah filem Cina. Sebabnya Siti sendiri tak merasakan The Journey sebuah filem Cina tapi sebuah paparan peradaban manusia.

Ini juga membolehkan kita membuat kesimpulan bahawa filem hantu dan kisah tahyul banyak ditonton oleh orang Melayu Islam. Sepatutnya perkara ini tidak berlaku. Malah orang Melayu Islam sepatutnya bercitra tinggi dan memilih filem yang baik.
Orang Cina pula menonton filem yang mengangkat peradaban bangsa mereka. Mereka menonton kisah kemanusiaan yang sejagat, merentasi geografi, budaya dan sosial. Mereka tahu menghargai filem yang baik untuk membina jiwa dan rasa kemanusiaan.
Filem The Journey mengenai seorang wanita Cina tempatan membawa pulang seorang lelaki Perancis ke rumah keluarganya di Cameron Highland. Mereka akan berkahwin dan peringkat awal lelaki Perancis itu tidak boleh menerima budaya Cina keluarga kekasihnya.

Siti melihat The Journey lebih Islamik berbanding filem Melayu yang dihasilkan oleh orang Melayu Islam. Sepatutnya bila orang Islam membuat filem, filem mereka tak menjadi perkakas menyebarluaskan budaya songsang dari Barat. Tapi ini tidak berlaku kerana banyak orang Melayu yang buat filem menjadi lebih sekular daripada Barat.
Siti menyimpulkan untuk menghasilkan sebuah filem yang baik, pembuatnya mesti seorang manusia dan pemikir. Kalau pembuatnya umpama robot yang tidak berperasaan, filem yang dihasilkan hanya layak dilontar telur kemuruk. Tak berguna langsung.
SITI JARUM : Sesetengah pengarah Melayu memang tak tahu malu.
No comments:
Post a Comment