Friday, May 16, 2014

Dunia Jika Tanpa Islam

TIDAK dinafikan, kejayaan Barat dalam memonopoli pelbagai bidang termasuk ilmu pengetahuan, teknologi dan ekonomi pada masa kini telah meletakkan mereka sebagai negara kuasa besar dunia.

Malah, menjadi fenomena yang dibanggakan jika terdapat dalam kalangan kita yang berjaya melanjutkan pelajaran atau berkhidmat di negara yang dianggap pencetus kepada pembaharuan tamadun dunia itu.

Sehinggakan secara tidak disedari, hakikatnya Islam yang telah mencipta tamadun dengan lahirnya ribuan ulama dan ilmuwan dalam pelbagai bidang seperti teologi, falsafah, sains dan teknologi mula terhakis secara perlahan-lahan dalam minda manusia.

Bahkan, semasa tamadun Islam berada di dalam era kegemilangannya iaitu pada abad pertengahan sehingga abad ke-14 Masihi, Barat masih lagi dalam zaman kegelapan. Barat ketika itu masih memusuhi sains dan melihat sains sesuatu yang bertentangan dengan agama.

Sarjana Barat juga didakwa giat berguru dengan ulama Islam seperti yang didedahkan oleh seorang penulis, Turki Fuat Sezgin, yang menerbitkan karyanya bertajuk Geschichte des Arabischen Schrifttums.

Ibnu Khaldun dalam kitabnya al-Muqaddimah memperkenalkan tamadun bermaksud sekumpulan manusia yang tinggal kekal di sesuatu tempat atau kota atau wilayah dan tanah pertanian yang akhirnya merintis kemajuan, kemakmuran dan pencapaian yang bersumberkan agama.

Peradaban manusia
Menyokong perkara itu, pendakwah antarabangsa, Dr. Isam Rajab berkata, kemajuan dan peradaban manusia berkemungkinan tidak akan sehebat pada hari ini jika tanpa sumbangan dan panduan agama Islam.

Ia katanya, selari dengan ajaran Islam yang menitikberatkan perihal akhlak dan keperibadian manusia yang bermula daripada dalam diri setiap individu
.
Justeru, tambahnya, garis panduan dan didikan bermula daripada akar umbi yang telah ditetapkan oleh Islam secara tidak langsung menjadikan tamadun manusia bertambah maju dan berkembang pesat sehingga ke hari ini.

“Islam menganjurkan kepada umatnya untuk bersaudara. Ia bermaksud kita dituntut untuk saling kenal-mengenali dan tolong-menolong antara sesama manusia, bukan hanya menjaga kepentingan diri sendiri atau membuat urusan sendiri.

“Islam juga menitikberatkan soal keadilan bagi menjadikan manusia sentiasa akan merasa selamat dan terpelihara tidak kira sebarang sentimen atau sebab. Islam telah menyediakan undang-undang yang Allah SWT jelaskan menurut al-Quran untuk menghukum pesalah dan membela kebenaran.

“Selain itu, pendustaan, hasutan dan fitnah sangat ditegah di dalam Islam. Perkara yang disuruh dan dilarang menurut Islam ini semuanya mempunyai hikmah yang diperintahkan," katanya
.
Beliau berkata demikian pada wacana Why People Need Islam: Now More Than Ever yang dianjurkan oleh Pertubuhan Kebajikan Al-Nidaa' Malaysia di TTDI, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Beliau berkata, kegagalan manusia dalam mengikuti garis panduan yang dianjurkan oleh Islam itu menjadikan manusia hidup dalam kucar-kacir dan dalam ketakutan, sekali gus membantutkan perkembangan tamadun dan kemajuan manusia.

“Manusia akan hidup dalam kegelapan. Sentiasa dalam ketakutan, rasuah, penipuan dan maksiat bermaharajalela di muka bumi ini. Ia apabila tiada lagi keadilan, kejujuran dan nilai kemanusiaan dalam diri seseorang.

“Kesannya, peradaban manusia akan semakin kucar-kacir dan tidak seimbang. Yang kaya akan terus hidup mewah, manakala golongan miskin terus ditindas dan tidak menikmati kebahagiaan hidup," jelasnya.

Kehadiran Islam
Kehadiran agama Islam katanya, memberikan kebahagiaan kepada manusia dan penyelesaian kepada segala masalah dengan hanya merujuk kepada al-Quran dan sunnah.

Memberi contoh kejayaan pemerintahan Islam pada zaman Rasulullah SAW dan sahabat, Rajab berkata, umat Islam hidup dalam kemewahan sehingga tiada siapa yang layak untuk menerima zakat.
Ia berikutan, kebijaksanaan pemerintah pada masa itu yang bertakwa dan berpegang teguh kepada Allah SWT dengan melaksanakan pemerintahan berlandaskan Islam.

“Yuran pendidikan adalah percuma, insurans, ansuran kenderaan dan rumah juga boleh dihapuskan sekiranya umat Islam yakin dan berpegang teguh dengan kaedah ekonomi Islam. Seperti yang diamalkan pada pemerintahan Islam terdahulu yang mengutamakan konsep wakaf.

“Bukan itu sahaja, malah manusia tidak perlu bimbang masalah sosial dan jenayah yang berlaku apabila ajaran Islam menjadi garis panduan amalan harian kita," katanya.

Oleh : Mohd. Shah Che Ahmad

No comments:

Post a Comment