Jika bernostalgia mengenai lagu raya dan balik kampung menjelang Syawal, anak mungkin mempunyai persepsi lain. Apalah yang ada pada dendangan Tan Sri P Ramlee, Puan Sri Saloma, Datuk Ahmad Jais dan Sanisah Huri?
Apalah yang ada pada Syawal di desa selain makan ketupat, rendang, tengok sawah, ziarah kubur, duit raya dan jumpa nenek!
Mereka akan ketawa mendengar lagu raya era 60-an kerana iramanya dikatakan lawak dan mungkin aneh!
Mereka akan hairan memikirkan zaman orang tua yang sudah semakin sayup dan aneh kedengaran. Kanak-kanak sekarang sudah asing daripada persekitaran orang tua sendiri.
Mereka tidak tahu bagaimana memikat keciap di sawah atau membakar belalang dan ubi kayu ketika bendang semakin kontang. Ada yang terperanjat melihat etok direbus dan dikunyah pada petang Syawal.
Hidup sudah berubah dan zaman lalu tidak mungkin mengembalikan kesegalaannya.
Memang benar pengakuan Jane Healy menerusi Endangered Minds, bahawa kanak-kanak kini semakin kosong dan longlai. Mereka tidak kreatif dan kurang mesra alam. Semuanya berpunca daripada kehidupan moden di kota.
70 peratus kanak-kanak berada di kota dan kawasan urban. Mereka mangsa keadaan kerana segala bentuk permainan disediakan, bukan mencari sendiri seperti kita alami 30 tahun lampau. Mereka memadai dengan menekan alat kawalan jauh untuk memilih siaran paling menarik menerusi televisyen satelit.
Mereka dibesarkan dengan Ipad, Ipod dan telefon bimbit pintar. Permainan hanya di hujung jari, berbanding kita yang terpaksa ke sawah, pinggir bukit, menyelam di sungai dan tali air. Kita lasak mencari keseronokan zaman lampau, mereka bergasak menerusi permainan video digital!
Jangan ceritakan soal makan ubi bakar di kebun getah atau meratah sotong salai bersama rakan selepas sunat Tarawih, mereka akan ketawa kerana kehidupan kita yang dianggap membosankan.
Mereka menjadi mangsa keadaan, terperangkap dalam jeriji besi untuk tujuan keselamatan. Kanak-kanak kota sering ditetapkan waktu untuk belajar, bersukan, aktiviti kokurikulum, mahupun ke pusat beli-belah bersama keluarga.
Dunia mereka hanya di rumah dan sekolah. Mereka tidak mempunyai alam lain lagi. Mereka sejak bayi diasuh berada dalam kawalan bagi memastikan keselamatan kerana bandar besar seperti Kuala Lumpur selalu dikaitkan sebagai ganas, kejam, penuh jenayah dan terancam.
Golongan muda generasi Y dan Z menjadi pewaris Starbucks yang sentiasa melihat dunia dengan persaingan, bukan persamaan. Mereka ada hak eksklusif tersendiri untuk memiliki bilik tidur berasingan sesama adik beradik dan kurang mengerti dengan nasib yang dialami oleh jiran.
Mereka jauh berbeza generasi kita dulu yang mungkin lima jam berada di luar rumah semata-mata untuk mengaji al-Quran, memikat burung atau menjadi ahli dikir barat peringkat kampung yang tentunya memiliki perasaan kebersamaan erat.
Kita dulu menjadi milik masyarakat kampung dan jika pun melakukan kesalahan menghisap rokok di belakang kedai kopi, sesiapa saja berhak untuk mencubit atau menjentik telinga di khalayak ramai.
Keadaan kini sudah jauh berubah. Generasi pasca reformasi 1999 lebih akrab dengan digital, bersendirian ke dunia tanpa sempadan, melontarkan pandangan menerusi Facebook dan Twitter, sekali gus mereka sebahagian daripada empat juta pengundi baru dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
Mereka mempunyai sikap tersendiri. Tidak terlalu nostalgik. Mereka menerima propaganda dengan fikiran penuh tanda tanya. Generasi baru yang mungkin kurang kreatif seperti disuarakan Jane Healy tapi mempunyai sinikal tersendiri. Mereka kurang mengenang budi dan tidak semestinya berita yang disogokkan, diterima sepenuhnya.
Apabila timbul isu balik kampung menjelang lebaran, mereka sering bertanya apakah ayah dan ibu akan terus balik kampung jika nenek dan datuk tiada lagi?
Kini, giliran kita pula untuk bertanya kepada diri sendiri; apakah kampung masih ada di hati kita menjelang 2020?
Oleh : Imlan Adabi
No comments:
Post a Comment