DI kalangan sepuluh anggota ASEAN, Thailand adalah satu-satunya negara yang tidak dijajah oleh kuasa Barat.
Myanmar, Malaysia, Singapura dan Brunei ialah bekas tanah jajahan Britain. Vietnam, Kemboja pernah dikuasai Perancis. Indonesia oleh Belanda, dan Filipina pula dijajah Amerika Syarikat.
Maka dari satu segi, Thailand yang ketika datangnya kuasa-kuasa Barat itu berjaya mengelak dirinya daripada dijajah.
Malah semasa Jepun datang untuk menakluki Asia Tenggara, Bangkok tetap mempertahankan kedaulatannya.
Ketika mana Jepun menguasai bekas-bekas tanah jajahan Britain, Perancis, Belanda dan Amerika Syarikat di seluruh Asia Tenggara, Thailand yang dahulunya dikenali sebagai Siam memperoleh wilayah tambahan iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.
Jepun memberikan negeri-negeri ini kepada Siam memandangkan Bangkok tidak memihak kepada kuasa-kuasa Barat, sebaliknya memberikan kerjasama kepada Tokyo untuk menjadikannya sebagai pangkalan bagi menyerang Burma (kini dikenali Myanmar) dan Tanah Melayu.
Bagi Siam, empat negeri-negeri Melayu itu adalah miliknya sebelum kedatangan Britain ke Asia Tenggara. Bunga emas yang dihantar oleh raja-raja Melayu ke Siam adalah tanda kekuasaannya ke atas negeri-negeri itu. Bagi orang Melayu, bunga emas itu hanyalah hadiah tahunan.
Tetapi bayangkanlah kalau pada hari ini, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu adalah sebahagian daripada Thailand, maka bilangan orang Melayu di negara itu tentu besar. Maknanya ada lapan wilayah Melayu di dalamnya termasuk Pattani, Narathiwat, Yala dan Songkhla (Singgora).
Sememangnya sebelum kebangkitan Siam sebagai kuasa besar di Asia Tenggara, kerajaan Melayu yang besar di semenanjung ini ialah Kesultanan Pattani.
Tetapi kerajaan ini kalah dalam peperangan dengan Siam. Askar Siam memang dikenali sebagai lebih kuat dan ganas. Mereka bukan saja dapat mengalahkan Kesultanan Melayu Pattani tetapi juga menakluki kerajaan Khmer di Kemboja dan bertembung dengan orang Vietnam di sebelah timur, dan Burma di sebelah barat.
Bukan itu saja, Siam menganggap keseluruhan semenanjung termasuk Singapura (dahulu dikenali sebagai Temasik) adalah di bawah kedaulatannya.
Wilayah ini dalam bahasa Sanskrit dikenali sebagai Swarnabumi (atau Bumi Emas). Kini ia diabadikan pada nama Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di Bangkok.
Di Temasik, Siam bertembung dengan Majapahit dan berjaya mengalahkannya.
Apabila putera Melayu asal kerajaan Sri Wijaya, Parameswara membunuh Gabenor Siam di Temasik dan menubuhkan kerajaannya di situ dengan restu Majapahit, Siam menghantar kapal untuk memeranginya.
Parameswara kemudian berpindah dan menubuhkan kerajaannya di Melaka, Siam pun menghantar kapal perangnya hendak memusnahkan kerajaan baru ini daripada bertapak di Swarnabumi.
Tentera Siam berkhemah di Minyak Beku, Batu Pahat. Pertempuran berlaku di Pulau Sialu di Muara Sungai Batu Pahat. Askar Melaka di bawah pimpinan Laksamana Hang Tuah berjaya mematah serangan Siam daripada sampai ke Melaka.
Tetapi keadaan ini adalah sementara. Siam lebih berazam untuk memusnahkan kerajaan Melaka. Tentera mereka lebih kuat dan mampu mengalahkan hulubalang-hulubalang Melayu.
Raja Melaka terpaksa fikir cara lain untuk menyelamatkan negara. Kelemahan dari segi ketenteraan perlu diganti dengan strategi geopolitik dan diplomasi.
Hanya Islam mampu menyelamatkan Melaka daripada Siam. India sudah pun dikuasai oleh Islam melalui kerajaan Moghul. China di bawah Dinasti Ming dipengaruhi kuat oleh pembesar-pembesar Islam. Antaranya ialah Laksamana Cheng Ho.
Maka raja dan rakyat Melaka memeluk Islam dan meminta perlindungan daripada China bagi mengelak penaklukan daripada Siam.
Strategi ini berjaya. Maka Siam kehilangan seluruh semenanjung ini kepada kerajaan Melayu.
Namun setelah zaman berlalu, kuasa Islam di China musnah dengan kejatuhan Dinasti Ming, dan kekuatan Melayu lemah dengan kejatuhan Melaka ke tangan Portugis diikuti oleh Belanda, Siam bangkit menguasai kembali wilayah-wilayah Melayu di utara semenanjung.
Apabila Britain dan Perancis datang untuk menguasai Asia Tenggara, Siam terkepung. Di barat dan selatan ada Britain. Di timur ada Perancis.
Tetapi Siam terselamat daripada dijajah kerana kedudukan geopolitiknya. Ia dapat mengadu-dombakan Britain dan Perancis untuk menjadikannya negara penampan dan berkecuali.
Namun ia kehilangan juga wilayah-wilayah di Kemboja dan Laos yang dilepaskan kepada Perancis. Untuk menyelamatkan diri daripada dijajah, ia juga melepaskan Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu kepada Britain melalui perjanjian Bangkok.
Di bawah Jepun, negeri-negeri ini diserahkan kembali kepada Siam sementara negeri-negeri Melayu yang lain digabungkan dengan Sumatera di bawah satu pentadbiran.
Apabila Britain kembali, ia mengambil balik semua negeri-negeri Melayu dan bersama Melaka serta Pulau Pinang, ia menubuhkan Malayan Union. Kemudian gagasan ini digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu.
Britain kemudian melepaskan Tanah Melayu sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat pada 31 Ogos 1957.
Thailand menjadi antara negara awal yang mengiktiraf Tanah Melayu.
Bangkok mengiktiraf bahawa Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan adalah dalam kedaulatan Kuala Lumpur. Sementara Kuala Lumpur mengiktiraf negeri-negeri Melayu Pattani, Narathiwat, Yala dan Songkhla sebagai sebahagian daripada Thailand.
Sejak Malaya merdeka, Bangkok menjadi sahabat baik negara ini.
Mereka membantu usaha Kuala Lumpur melawan Parti Komunis Malaya (PKM) yang mendapat dokongan China. Bangkok juga menjadi tuan rumah bagi rundingan menamatkan Konfrontasi antara Indonesia dan Malaysia.
Untuk merapatkan kedua negara, Malaysia dan Thailand merintis sukan Semenanjung Asia Tenggara (SEAP) yang kini dikenali sebagai Sukan SEA.
Malaysia dan Thailand juga merintis penubuhan Pertubuhan Asia Tenggara (ASA) yang kemudian dibesarkan menjadi ASEAN.
Siam dan Melaka pernah berperang, tetapi persahabatan Thailand dan Malaysia menjadi asas kepada perdamaian di Asia Tenggara.
Oleh : Zin Mahmud
No comments:
Post a Comment