Beberapa bulan lalu saya diajak menonton sebuah persembahan kesenian Tamil, juga di Petaling Jaya. Kali ini tiada nama-nama besar yang terbabit. Pelakon malam itu membawa gelagat hero filem Kollywood seperti MGR, Sivaji Ganesan, Rajnikanth, Vijay, Ajit Kumar, Kamal Hassan dan Arjun. Oleh sebab Sivaji The Boss yang dilakonkan oleh Rajnikanth (2007) masih hangat dalam ingatan, maka banyak sketsa malam itu berkisar di sekitar filem tersebut.
Sivaji The Boss bukan sahaja filem Tamil paling mahal dalam sejarah (kos pembikinan dikatakan RM67.9 juta) tetapi di antara filem paling laris. Walaupun Rajnikanth berusia 58 tahun ketika itu, tarikan box-office beliau tidak pernah pudar.
Saya mengikuti perkembangan Opera Cina atau pekji sejak saya di kampung lagi. Beberapa waktu kebelakangan ini saya melihat bagaimana National Arts Council Singapura menghidupkan semula tradisi wayang itu di sekolah. Seperti juga Bangsawan, Opera Cina yang saya kenal di kampung menggunakan setting yang mewah dan lakonan yang stylised. Seperti Bangsawan, Opera Cina hilang tarikannya. Bezanya Opera Cina ada kaitan dengan ritual agama dan masih dipertunjukkan pada waktu tertentu. Bangsawan nampaknya sudah hampir pupus, sekalipun usaha gigih Rahman B tidak membuahkan banyak hasil.
Kita harus ingat bukan sahaja Opera Cina melalui proses transformasi dalam masyarakat Cina tetapi ratusan persatuan seni budayanya menghidupkan tarian naga, gendang dan seni mempertahankan diri. Penaja pertunjukan Tamil tidak perlu menyeret artis terkenal ke dewan kecil dan pinggir. Mereka datang berbondong-bondong menyokong persembahan kesenian bangsa mereka. Persatuan seni budaya Cina hidup atas sokongan kaum Cina, tanpa bantuan kerajaan.
Saya bertanya diri saya apakah orang Melayu di Malaysia akan berbuat hal yang sama seperti kaum India dan Cina? Apakah mereka mempertahankan seni budaya mereka dengan penuh bangga? Apakah wujud sedemikian banyak persatuan seni budaya seperti yang berlaku dalam masyarakat orang India dan Cina di negara ini?
Tradisi kesenian orang Melayu adalah sebahagian cerminan nilai, minda dan pandang dunia (worldview) mereka. Seperti juga karya sastera, seni teater adalah hasil akal budi (istilah Profesor Diraja Ungku Aziz) orang Melayu. Sejak berzaman seni budaya bersemarak dalam masyarakat Melayu. Ada di antaranya didukung oleh sistem naungan istana dan berkembang sebagai warisan yang dibajai dengan baik. Ada juga yang berkembang secara pinggiran, dalam masyarakat bawahan, di luar dari kerangka kebangsawanan.
Dari manapun dukungannya, seni budaya orang Melayu mencorakkan kaum itu. Daripada menora hingga makyung, daripada wayang kulit hingga ketoprak, daripada gamelan hingga cempulingan, semuanya menjadi sebahagian ciri kemelayuan. Teater bangsawan dan sandiwara berkembang dan kemudian pudar. Hari ini sinema Melayu menjadi teras utama kandungan kreatif negara. Stesen TV melahirkan ribuan drama dan komedi sebagai pemindahan dari tradisi pentas ke skrin TV.
Malangnya, di sebalik kejayaan musika di Istana Budaya, pengaruh dan ikutan drama di TV dan kejayaan filem Melayu, seni budaya berteras teater dan lapangan nampaknya semakin menghilang. Saya mulai percaya bahawa orang Melayu membenci seni budayanya sendiri.
Bagi sesetengah kaum, seni budaya itu eksklusif dan terhormat. Bagi kebanyakan orang Melayu agaknya, seni budaya tidak lebih hiburan dan bahan berseronok. Tradisi pemikiran, kreativiti, inovasi dan keunikannya sering dilupakan. Pendeta Zaba, tokoh pemikir Melayu yang hebat sendiri pun mengkritik keras tradisi bangsawan. Dalam beberapa buah tulisan beliau wayang Melayu atau bangsawan dikatakan mempunyai jalan cerita kerap kali bodoh-bodoh dan tak banyak teladan dan pengajaran di dalamnya. Tapi beliau mengagumi karya William Shakespeare yang menjadi antara lain sumber wayang Melayu itu.
Agaknya ini krisis bangsa yang cuba melonjak dirinya untuk menjadi maju dan berjaya. Apa sahaja yang dianggap budaya leluhur dan tradisional ditolak ke tepi. Mungkin juga dalam banyak hal tafsiran agama menyempitkan ruang untuk seniman bergerak dan berkreatif.
Saya percaya dalam kita merayakan Syawal yang mulia ini, elok juga kita melihat secara jujur sikap dan pendirian kita terhadap seni budaya sendiri. Mungkin benar kata orang, orang India dan Cina menggunakan seni budaya secara berkesan sebagai teras perpaduan dan penonjolan identiti, orang Melayu mengesampingkan hasil terbaik senimannya kerana didorong oleh tarikan kebendaan melulu. Itupun tidak dicapai sepenuhnya oleh mereka.
Oleh : Johan Jaaffar
No comments:
Post a Comment