Monday, July 23, 2012
Mencari Semangat Ramadan
Siyam ataupun puasa dalam bahasa Melayu bermaksud menahan diri dari makan, minum dan perkara-perkara yang membatalkannya dalam waktu yang ditetapkan. Dari segi makan minum, perbezaan bulan Ramadan dibandingkan selainnya ialah bulan Ramadan muslim dilarang makan dan minum serta perkara-perkara lain yang membatalkan puasa. Ertinya, syiar ataupun suasana Ramadan bukanlah suasana pesta makan, sebaliknya ia adalah suasana muslim tidak makan melainkan hanya pada waktu malam. Namun, keadaan yang sebaliknya kadang-kala berlaku dalam kehidupan kita dalam bulan Ramadan yang mulia ini. Jika seseorang bukan muslim yang tidak tahu menahu tentang Ramadan, datang ke negara kita dan melihat kemeriahan makan dan minum yang wujud, lalu kita memberitahu dia bahawa ini bulan puasa bagi muslim, tentu sukar dia mempercayainya. Ertinya, dia akan gagal melihat suasana puasa yang sebenar.
Jangan Berlebihan
Kita seakan mengujudkan satu keadaan yang mengurangkan ataupun melonglaikan syiar ataupun semangat Ramadan (ruh Ramadan/the spirit of Ramadan) yang patut dibina. Orang berpuasa yang tidak makan dan minum, bukan kerana dia sakit sehingga tidak dapat makan dan minum, ataupun kerana ketiadaan makan. Sebaliknya, kerana dia mematuhi arahan Allah. Kita yang berpuasa ini sebenarnya dididik oleh syariat Islam untuk menahan diri melakukan sesuatu yang dilarang sekalipun kita berkemampuan melakukannya. Inilah antara tarbiyyah Ramadan kepada jiwa insani. Maka, semangat ini sepatutnya dibawa terus apabila kita berbuka. Kita makan dan minum dengar kadarnya. Tidak berlebihan. Bukan kerana kita tidak mampu terus makan, ataupun tidak mampu membeli, tetapi kerana mematuhi arahan Allah: (maksudnya) “Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak suka orang yang berlebih-lebihan”. (Surah al-`Araf:31).
Moga semangat ataupun roh Ramadan ini dapat dibawa ke dalam amalan hidup kita. Kita cuba menahan diri dari melakukan larangan Tuhan, sekalipun kita mampu. Bukan kerana tidak berpeluang tetapi kerana roh yang dididik dan nafsu yang ditundukkan. Demikian juga agar kita tidak berlebihan ataupun melampaui batasan yang patut dalam sesuatu perkara. Tidak fanatik. Tidak berlebihan menghukum pihak yang berbeza. Tidak berlebihan dalam kemewahan. Tidak berlebihan dalam hiburan dan seterusnya.
Jangan Bid’ah
Demikian juga tidak berlebihan dalam ibadah sehingga terkeluar batasan yang patut, ataupun melakukan bid’ah dalam ibadah. Justeru, kita berpuasa dan berbuka. Sesiapa yang terus ingin berpuasa selepas masuk berbuka dia telah melakukan bid’ah. Dia tidak mendapat pahala sekalipun niatnya baik ingin mendapat pahala. Sebaliknya dia mendapat dosa kerana telah melanggar batasan yang ditetapkan, ataupun kaifiyat (cara) ibadah yang telah Allah tentukan. Dia menokok tambah apa yang tidak ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Seakan ajaran Allah dan RasulNYA itu tidak memadai. Ia seakan sikap tidak puas hati terhadap Islam yang asal.
Demikianlah sepatutnya roh ini dihayati dalam ibadah yang lain agar kekal cara yang asal yang ditunjukkan Nabi s.a.w. Sehingga baginda Nabi s.a.w mengingatkan kepada mereka yang ingin beribadah melebihi kadar yang baginda tunjukkan bahawa dia akan terkeluar dari menjadi pengikut baginda. Lihat reaksi Nabi s.a.w kepada mereka yang berkata: “Adapun aku, maka akan bersolat malam selama-lamanya.” Berkata yang lain: “Aku akan berpuasa sepanjang masa dan tidak akan berbuka.” Berkata yang lain lagi: “Aku akan menghindari wanita dan tidak akan bernikah selama-lamanya.”Maka Rasulullah s.a.w datang kepada mereka dan bersabda: “Kaliankah yang mengatakan begini dan begitu? Ketahuilah! Demi Allah, sesungguhnya aku orang yang paling takut kepada Allah dan paling bertakwa kepadaNya dalam kalangan kamu. Namun, aku berpuasa dan berbuka, bersolat dan tidur, serta aku menikahi wanita. Maka sesiapa yang berpaling dari sunnahku maka dia bukan dari kalanganku.” (Riwayat al-Bukhari).
Jaga Pahala
Demikian semangat Ramadan juga menuntut untuk kita berusaha menjaga pahala puasa kita agar tidak berkurangan. Demikian sepanjang hidup kita patut berusaha mengelakkan ucapan dan perbuatan yang mengurang pahala. Ini kerana ramai orang yang beramal tetapi kehilangan pahala kerana terbabit dengan dosa terhadap orang lain. Nabi s.a.w mengingatkan kita dalam hadis baginda: “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Jawab mereka: “Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta”. Sabda baginda: “Orang yang muflis dalam umatku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka” (Riwayat Muslim).
Oleh : Dr Maza
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment