TAK habis-habis pemimpin pembangkang buat onar. Ada sahaja perbuatan yang memalukan malah tidak terfikir dek akal.
Terbaru, seorang pegawai perubatan, Dr. Rahman Kadir mendedahkan perbuatan beberapa pemimpin pembangkang mempersendakan Raja-raja Melayu pada pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Rabu lalu.
Beliau yang bertugas semasa istiadat itu berlangsung, membuat pendedahan tersebut menerusi laman Facebook, yang kemudian disiarkan sebagai berita utama Utusan Malaysia, kelmarin.
Menurut Dr. Rahman, perbuatan itu paling ketara dilakukan apabila tetamu kehormat termasuk Raja-raja Melayu dan Yang Dipertua Negeri berjalan masuk ke dalam Balairong Seri.
‘‘Seolah-olah seperti kanak-kanak sekolah, mereka mentertawakan penampilan dan fizikal Sultan. Saya tidak tergamak hendak menulis di sini kerana ia sama seperti menghina baginda semua,’’ itulah antara lain kenyataan beliau.
Sehari selepas pendedahan itu, Dr. Rahman tampil sekali lagi mempertahankan kenyataannya itu. Malah menurut beliau ada beberapa saksi lain boleh mengesahkan kejadian tersebut.
Walaupun ramai yang tidak menduga sampai begitu sekali sikap beberapa pemimpin pembangkang, Awang tidak terkejut. Bukan kali pertama pemimpin pembangkang menghina Raja-raja Melayu. Sudah banyak kali kejadian seumpama itu berlaku.
Paling banyak ialah penghinaan yang dilakukan menerusi kenyataan dan ucapan. Bahkan, ada yang secara terbuka mempersoalkan keputusan dan titah Raja Melayu walaupun hal-hal di bawah bidang kuasa baginda sebagaimana tertakluk dalam undang-undang tubuh kerajaan negeri.
Kerap juga berlaku dalam bentuk wakil rakyat pembangkang tidak memakai pakaian istiadat ketika upacara perasmian sidang Dewan Undangan Negeri yang dirasmikan oleh Sultan. Lebih dahsyat daripada itu, Awang masih ingat bagaimana sekumpulan penyokong pembangkang membuat demonstrasi liar di depan istana dengan berbaring di atas jalan raya menghalang kenderaan Sultan Perak.
Belum pernah institusi raja mengalami asakan sedemikian. Semua ini makin ketara sejak pembangkang menang beberapa negeri pada Pilihan Raya Umum 2008. Hasutan demi hasutan dilakukan sehingga segelintir warga negara terdorong secara terbuka untuk memperlekehkan Raja Melayu menerusi portal, blog dan laman sosial. Dengan kata lain, penderhakaan dan pengkhianatan sudah menjadi-jadi. Apakah kita boleh sandarkan harapan kepada pakatan pembangkang bagi mempertahankan Perlembagaan negara dan institusi raja, yang jawapannya sudah tentu tidak.
Pada Awang, gejala tersebut sudah mencapai tahap ancaman kepada keselamatan negara. Ia adalah sebahagian daripada usaha terancang untuk menulis semula Perlembagaan dan akhirnya menjadikan Malaysia negara republik.
Seperti titah Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah ‘pencerobohan besar bermula dengan pencerobohan kecil’. Sedikit demi sedikit, asas kenegaraan mahu dirungkai. Kalau di negara beraja yang lain termasuk Thailand, keadaan ini tidak akan dibenarkan berlaku.
Sebagai warga negara yang bertanggungjawab, marilah kita bangkit untuk mempertahankan institusi raja. Berdiam diri dan sekadar mengeluh tidak akan membantu sama sekali. Ia hanya akan mengizinkan lebih banyak penderhakaan, yang akhirnya mengakibatkan institusi raja sudah tiada nilainya. Ancaman sudah di depan mata, apa lagi?
Oleh : Awang Selamat
No comments:
Post a Comment