BERAHSIA demi kepentingan sendiri atau mendiamkan diri untuk menjaga hati pasangan anda? Apa juga alasan, pastinya setiap individu mempunyai sebab tersendiri berbuat begitu.
Biarpun kasih yang sudah lama terjalin atau cinta baru berputik, setiap orang menyimpan kisah tersendiri baik manis atau pahit. Kajian juga menunjukkan manusia tidak meluahkan rahsia hati kerana mereka malu dan bimbang jika luahannya tidak diendahkan.
Sesetengah individu berpendapat menyimpan rahsia adalah tindakan selamat bagi memperbaiki masalah dengan pasangan mereka kerana khuatir ikatan romantis yang terjalin bakal terputus akibat kisah silam selain ada juga yang enggan dilabelkan sebagai penipu. Tahukah anda sebenarnya rahsia boleh menyebabkan anda rasa cemas, tertekan dan membuatkan anda tidak selesa memandangkan perkara yang disembunyikan asyik timbul di kotak fikiran, lebih-lebih lagi bila menghabiskan masa bersama tersayang.
Sehubungan itu, pakar kekeluargaan yang juga Pensyarah Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datin Dr Noor Aziah Mohd Awal, berkata lebih baik pasangan bersikap jujur dan mengambil pendekatan berbincang sebelum benar-benar ingin menjalinkan hubungan ke peringkat lebih serius.
“Dalam ikatan yang serius, kita seharusnya jujur, yakin dan sentiasa menerima untuk mendapatkan hubungan kukuh. Jika salah seorang menyimpan rahsia atau memendam rasa, ia akan mengundang kekeruhan dalam hubungan mereka.
“Kita harus bersikap lebih terbuka dalam soal penerimaan atau ketika menjalani sesi perbincangan untuk mendapat keputusan lebih mantap. Malangnya, setiap insan berbeza pendapat dan ada juga boleh terima keadaan dengan fikiran rasional,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.
Sikap lebih terbuka membincangkan sejarah diri kepada pasangan baru dikenali juga cara terbaik agar tiada kekesalan atau perbuatan mengungkit pada masa masa depan. Namun, tegasnya, kejujuran meluahkan rahsia diri bergantung kepada keadaan dan seberat mana rahsia dan keupayaan pasangan untuk menerima kenyataan bakal diceritakan.
Bagi pasangan yang sudah berkahwin, mereka perlu sentiasa meyakini dan belajar menjalankan tanggungjawab masing-masing dan bijak mengatasi pelbagai cabaran dalam rumah tangga.
“Jika pasangan ikhlas berkongsi hidup, seharusnya lebih bersikap terbuka dan sudi melupakan perkara lampau dan belajar menerima seadanya pasangan masing-masing,” katanya.
Prof Noor Aziah turut menyifatkan, berbanding wanita, lelaki sebaliknya lebih bersikap terbuka kerana ia adalah fitrah dan sikap semula jadi mereka untuk melupakannya berbanding wanita lebih banyak mengenangkan cerita silam untuk dijadikan senjata merintih.
“Wanita, berjiwa halus mudah tercalar dan mereka lebih suka memendam rasa. Oleh itu, kita harus buang sikap suka mengungkit supaya ikatan perhubungan dapat diteruskan dengan lebih harmoni,” katanya.
“Ramai remaja sedang ‘mabuk bercinta’ suka menghebahkan hubungan mereka pada rakan menerusi laman sosial dan merakam gambar keintiman mereka dan merekod perilaku yang tidak sepatutnya dibuat sedang hubungan belum tentu hujung pangkalnya.
“Mereka tidak sedar hubungan sosial itu semua sebenarnya menjadi alat mengaib dan memudaratkan jika hubungan terputus di tengah jalan. Jadi, adalah eloknya jika mereka menghindari perkara yang tidak elok sebelum berkahwin jika tidak mahu dihantui pengalaman yang lampau,” katanya.
Oleh : Fatin Hafiza Mohd Shahar
No comments:
Post a Comment