Monday, April 9, 2012

Artis Bukan Role Model

TIDAK lama dulu sana sini heboh untuk menjadikan artis sebagai role model atau contoh kepada masyarakat. Tapi Siti sejak dulu lagi tidak setuju dengan kerja mengarut itu. Siti bukan prejudis terhadap artis tapi apa "model" yang hendak artis berikan kepada kita?

Ada juga artis wanita yang boleh dicontohi tapi mereka ini tak popular. Sebabnya mereka tak pergi majlis dengan berkemban saja kononnya fesyen dan tak bergambar kangkang koyak, skirt singkat nampak seluar dalam.

Memanglah boleh kalau dipaksa juga, misalnya disuruh artis bercakap pasal patriotik dengan menghulurkan "skrip" untuk dibaca macam burung kakak tua. Tapi orang tahu mana yang tulen. Kepada artis yang mempunyai pemikiran tinggi, penampilan dan isu mereka berbeza dengan artis yang hanya memperagakan skandal. Tapi yang ada pemikiran tinggi ini sikit sangat. Yang banyak jenis tak ketahuan.

Kalau tengok perangai sebahagian besar artis kita yang entah dari mana datangnya, janganlah nak mengarut menjadikan artis sebagai role model. Pengawal moral kita pun satu juga, sekarang ini pergaulan bebas artis dianggap sebagai biasa. Tak tahu apa yang "tak biasa" untuk membuatkan mereka membuka mulut menegur perilaku songsang artis.

Artis wanita Melayu sebahagian besar tidak tahu adab sopan. Negara ini bukan Amerika, ini Malaysia yang ada tatacara dan budaya sendiri. Tapi lagak sosial artis kita seolah-olah mereka berada di Amerika. Pergaulan lelaki perempuan melepasi batas adab sopan sebagai Melayu. Kalau nak tahu, moden macam mana sekalipun, adab sopan Melayu tidak pernah berubah.

Kadang-kadang Siti tertanya-tanya, apakah yang artis wanita Melayu fikir tentang diri mereka. Takkan soal pakaian pun tak tahu nak fikir. Apa pakaian yang sesuai untuk sesi fotografi, apa yang sesuai untuk majlis sosial dan apa yang sesuai untuk dalam bilik tidur. Siti lihat sebahagian besarnya yang sesuai untuk bilik tidur tapi dipakai untuk ke majlis.

Kalau tak percaya lihatlah apa yang dipakai oleh artis wanita kita di mana-mana majlis anugerah. Kalau tak percaya tengoklah gambar-gambar yang tidak disiarkan di majalah. Yang disiarkan pun sudah membuatkan masyarakat geleng kepala bagai nak tercabut, apa lagi yang tidak disiarkan.

Semua ini bukan dipaksa sesiapa tapi kesanggupan artis wanita itu sendiri. Kalau masyarakat kata pakai macam kupu-kupu malam di Chow Kit, ada yang melenting. Tapi apa bezanya kalau mereka juga tidak tahu adab sopan berpakaian di depan umum macam kupu-kupu malam.

Siti teringat tulisan pelakon yang Siti kagum, Bront Palare dalam kolum Pena Selebriti Pancaindera 25 Mac lalu. Tulis Bront, "Cukup dengan pengakuan "saya tidak seksi" sambil berskirt pendek dan baju ketat, artis mendedahkan apa yang mereka mahu dedahkan (pakaian, pemikiran atau kedua-duanya) dalam ruangan media." Siti percaya sebahagian besar artis wanita Melayu tidak kisah pun kalau diminta bergambar memakai baju dalam dan seluar dalam. Sebabnya sebahagian besar daripada mereka sudah bertaraf mat salih malah ada artis mat salih yang lebih bersopan daripada mereka ini.

Tapi artis yang berfikiran seperti Bront tidak ramai. Yang ramai macam kelkatu yang lalok tak sedar dunia bila nampak lampu gemerlapan. Kalau macam inilah artis wanita Melayu, role model apa kebendanya? Ironinya artis-artis wanita Melayu yang pergaulannya sangat bebas menasihatkan gadis-gadis jangan buang bayi. Tapi pergaulan bebas itu mereka sendiri yang promosikan. Siti sama sekali tidak percaya artis yang buruk perangai boleh memerangi perangai yang buruk.

Siti tak terkejut kalau banyak pihak mempunyai persepsi serong terhadap artis. Sebabnya kalangan artis wanita Melayu sendiri yang tidak mempromosikan adab sopan yang baik. Jangan salahkan masyarakat kalau menolak golongan artis terutama artis Melayu. Jadi tidak usahlah buat kerja sia-sia memberi "skrip" kepada artis untuk menyeru yang molek-molek. Orang tahu itu lakonan semata-mata. Itu bukan caranya membetulkan langkah sesetengah artis yang tempang.

Tambahan pula gaya hidup sebahagian besar artis tidak sesuai untuk ditiru, apa lagi dijadikan mereka sebagai role model. Banyak artis kita tak kira lelaki atau wanita banyak menghabiskan masa di kelab malam hingga lewat pagi. Apabila berlaku sesuatu kejadian, terbongkarlah rahsia si anu atau si ani melalok di kelab malam sampai ayam berkokok hari nak siang. Tapi esoknya berkokok pulalah si anu dan si ani berhujah mewajarkan kenapa dia ke kelab malam. Alah, jawapan klise dan malas nak dengar. Mereka bukanlah role model yang baik walaupun sering membaca "skrip" yang baik-baik.

Oleh : SITI JARUM
           pakai handphone model lama.

1 comment:

  1. artis yang terkenal menjadi ikutan orang ramai so artis terkenal perlu mengaji supaya tak tergelincir

    ReplyDelete