nuffnang

Sunday, February 26, 2012

Ustaz Hanya Penghalau Hantu?

FILEM seram semakin menjadi genre popular dalam industri perfileman negara kita. Setiap tahun, semakin bertambah jumlah filem seram tempatan di pawagam.

Tetapi umumnya filem-filem ini tidaklah seram sangat, cuma lebih kepada elemen tahyul dan masyarakat kita pula sangat mudah percaya tahyul itu.

Elemen hiburan yang wujud menerusi lawak bodoh seolah-olah ia memang berlaku dalam budaya kita. Idea filem juga dilihat kadangkala tidak masuk akal.

Tetapi apa yang ingin disentuh kali ini ialah kehadiran uztaz atau orang alim dalam kebanyakan filem seram Melayu. Sama ada penonton sedar atau tidak, kehadiran watak ustaz hanya sebagai penutup cerita sahaja. Kebanyakannya diberi tugas sebagai penghalau atau pemusnah hantu sahaja.

Kenapa perkara sebegini perlu ada dalam setiap filem seram Melayu? Apa kaitannya kehadiran watak ustaz yang hanya berfungsi sebagai penghalau hantu dalam kebanyakan filem seram kita?

Jika dibandingkan dengan beberapa filem seram terkenal yang datang dari luar negara, antaranya filem seram dari Korea dan Thailand, mereka langsung tidak menampilkan watak orang alim contohnya sami, namun eleman seram mereka masih menjadi.

Filem seram terkenal seperti The Shooter, One Miss Call dan The Call tidak memaparkan watak-watak orang kuat agama untuk menghalau hantu yang sedang memberontak. Namun perjalanan cerita tersebut masih berjaya membuatkan fikiran kita terbayang-bayang akan kisah seram yang dicipta.

Kebanyakan penonton boleh mengagak apa yang akan terjadi di penghujung cerita. Perkara ini amat klise setiap kali filem seram ditayangkan.

Adakah pengarah sudah muflis idea? Bayangkanlah betapa mengarutnya apabila mereka merendahkan uztaz sebagai penghalau. Sepatutnya ustaz atau orang alim membimbing masyarakat dan mengajar ilmu agama. Inilah songsangnya filem seram Melayu.

Kesan seram sebenarnya bukan sahaja tertumpu kepada kehadiran watak hantu. Cuba tengok beberapa filem seram Hollywood, kesan seram dicipta bagi menggambarkan suasana alam sama ada secara abstrak atau saintifik. Filem Happening arahan M. Night Shyamalan tidak ada hantu tetapi sangat seram.

Kebanyakan pengarah filem kita mendakwa filem seram mereka mempunyai nilai moral. Tetapi apa moralnya kalau orang alim jadi penghalau hantu? Lebih buruk lagi memperalatkan ayat-ayat al-Quran di permulaan dan penutup filem.

Ini tidak ada kaitan langsung dengan filem. Adakah meletakkan petikan ayat al Quran ini sebagai lesen untuk filem itu disumbat dengan segala kebobrokan? Filem seram mestilah mempunyai agendanya tersendiri, seram hanya kulit sahaja.

Kita harus memuji cara penghasilannya, Zombie Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah misalnya yang menceritakan permasalahan sosial dalam masyarakat.

Walaupun Mamat Khalid memilih genre seram namun mesej serta cara penyampaiannya cukup berkesan. Tiada petikan ayat al-Quran atau ustaz untuk menghalau hantu.

Lambakan filem serta drama seram ketika ini memperlihatkan tahan pemikiran penonton ditahap rendah. Kalau di tahap tinggi sudah tentu filem seram yang entah apa-apa itu tidak mendapat sambutan.

Saya setuju dengan Mufti Perlis Dr Juanda Jaya bahawa banyak filem seram sewenang-wenang mengaitkan dengan Islam dan sebagainya. Pandangan dan kritikan mufli ini perlu diambilkira. Jangan mencuci tangan mengatakan filem seram hanya hiburan, di sebalinya membawa banyak racun kepada penonton. Sebenarnya orang Melayu tidak sebodoh dalam filem seram Melayu.

Apabila Rasdan Berbicara

No comments:

Post a Comment