nuffnang

Thursday, February 23, 2012

Jangan Usik Perkara 121 Perlembagaan

MUTAKHIR ini terdapat usaha sesetengah ahli politik khususnya dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP yang mahu mengembalikan kuasa mahkamah sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan sebelum tahun 1988.

Pada tahun 1988 Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan dipinda dengan memasukkan perenggan 1A. Perenggan 1A ini mengehadkan Mahkamah Sivil tidak boleh mencampuri perkara-perkara yang berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Cadangan pindaan tersebut sebenarnya dipelopori oleh Allahyarham Prof. Emeritus Tan Sri Ahmad Ibrahim yang menyaksikan terlalu banyak campur tangan Mahkamah Sivil terhadap keputusan Mahkamah Syariah.

Campur tangan ini telah merendahkan Mahkamah Syariah dan meletakkan ia tertakluk kepada Mahkamah Sivil.

Pindaan yang dicadangkan sendiri oleh Perdana Menteri ketika itu iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad bertujuan memartabatkan mahkamah syariah.

Ia juga bertujuan membebaskan Mahkamah Syariah daripada belenggu Mahkamah Sivil.

Hal yang demikian amatlah logik kerana Mahkamah Syariah membuat keputusan berdasarkan jurisprudensnya sendiri yang berpaksikan kepada sumber-sumber hukum Islam manakala hakim Mahkamah Sivil pula tidak terlatih di dalam hukum Islam.

Jadi bagaimanakah Mahkamah Sivil boleh membatalkan keputusan Mahkamah Syariah yang dibuat mengikut hukum Islam itu.

Perenggan 1A kepada Perkara 121 menyatakan mahkamah sivil tidak mempunyai kuasa terhadap perkara-perkara yang terjatuh di bawah bidang kuasa mahkamah syariah.

Mahkamah sivil tidak boleh mengenepikan, menolak, mengakas ataupun tidak menghiraukan apa-apa perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah syariah.

Oleh yang demikian Mahkamah Syariah telah dikeluarkan daripada kekuasaan Mahkamah Sivil.

Sebelum pindaan ini dibuat terdapat banyak kes yang mana apabila mahkamah syariah telah membuat satu keputusan pihak yang satu lagi meminta mahkamah sivil membuat keputusan sebaliknya.

Umpamanya dalam kes hak penjagaan anak, apabila Mahkamah Syariah membuat keputusan hak tersebut diberikan kepada ibu, bapa pula tidak berpuashati dan mendapat perintah di Mahkamah Sivil pula.

Hasilnya konflik berpanjangan berlaku yang mana kedua-dua mahkamah mengeluarkan dua keputusan yang berbeza.

Sejak pindaan perlembagaan tersebut berkuatkuasa tiada lagi campur tangan mahkamah sivil kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah walaupun terdapat banyak cubaan oleh kalangan peguam yang menghujahkan sebaliknya.

Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah menjadi dua entiti yang saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain dan tidak lagi bersaing antara satu sama lain.

Dwisistem perundangan yang unik diamalkan di negara kita seharusnya menjadi kekuatan dan tunjang kecemerlangan pentadbiran keadilan di Malaysia bukan menjadi momokan dan hinaan pihak-pihak tertentu.

Sebagai seorang peguam yang beramal di kedua-dua Mahkamah Sivil dan Syariah saya tidak nampak berlakunya ketidakadilan terhadap mana-mana pihak jika kedua-dua mahkamah ini dihormati sewajarnya.

Banyak kes yang diputuskan selepas pindaan tersebut telah menghormati keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Syariah.

Ia merupakan suatu persefahaman yang baik antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.

Berbalik kepada cadangan mengembalikan peruntukan asal pada tahun 1988 iaitu dengan kembali kepada keadaan sebelum 1988, secara langsungnya ia akan merendahkan kembali taraf Mahkamah Syariah itu sendiri.

Hal yang sedemikian sebenarnya adalah sebahagian daripada tuntutan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Antara Agama (IFC).

Ia juga merupakan sebahagian daripada apa yang diperjuangkan oleh DAP yang mahukan Mahkamah Sivil lebih berkuasa daripada Mahkamah Syariah.

Alasan bagi mengelakkan campur tangan pihak tertentu seperti yang digembar-gemburkan itu mungkin merupakan suatu helah bagi merobek bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Saya amat tidak bersetuju dengan cadangan memansuhkan pindaan perlembagaan yang dibuat pada tahun 1988 ini kerana ia mempunyai implikasi yang besar terhadap kehormatan Mahkamah Syariah.

Lebih kuasa
Sepatutnya tindakan yang diambil adalah memberikan kuasa yang lebih kepada mahkamah syariah.

Ia seperti memansuhkan Akta Bidangkuasa Jenayah (Mahkamah Syariah) 1984 yang mengehadkan Dewan Undangan Negeri hanya boleh menggubal kesalahan jenayah syariah yang hukuman maksimumnya denda RM5,000, penjara selama tiga tahun dan enam kali sebatan bukan memansuhkan perenggan 1A kepada Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan.

Malah usaha yang jitu juga perlu dilakukan bagi menaik taraf mahkamah syariah dari sudut hierarki mahkamah serta perjawatannya.

Hierarki mahkamah dan perjawatannya perlulah sama dengan apa yang ada di Mahkamah Sivil. Barulah Mahkamah Syariah akan dihormati sebagaimana Mahkamah Sivil.

Janganlah menjadikan semua perkara sebagai modal politik yang mahu dijual bagi membeli undi. Pemansuhan perenggan 1A kepada Perkara 121 merupakan satu kesilapan yang amat besar jika ia dilakukan.

Sebagai salah seorang daripada ribuan anak murid Ahmad Ibrahim, perjuangan Allahyarham mesti diteruskan oleh anak-anak didiknya.

Saya berkeyakinan penuh perjuangan beliau bukanlah suatu perkara yang sia-sia. Pemikiran beliau jauh ke hadapan dan dapat menyelesaikan pelbagai kemelut yang dihadapi di samping meletakkan Islam di tempat yang sewajarnya.

Mungkin ramai yang tidak menyangka dengan memberi kuasa mutlak kepada Mahkamah Sivil ia akan menghakis kuasa Mahkamah Syariah.

Bagaimanapun, itulah hakikatnya jika garis sempadan pemisah antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah ini tidak dilukis dengan jelas ia akan menghasilkan pencabulan terhadap bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Kebebasan institusi kehakiman memanglah merupakan suatu elemen yang penting bagi mencapai keadilan, tetapi kebebasan tersebut hendaklah tidak sampai mengganggu gugat bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Kebebasan dan integriti mahkamah banyak bersandar kepada kualiti keputusan atau penghakiman yang dibuat oleh hakim-hakim. Kualiti inilah yang perlu disemai kepada para hakim di Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.

Jangan diusik Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan itu kerana ia akan menghakis kuasa Mahkamah Syariah.

Oleh : Zainul Rizal Abu Bakar

No comments:

Post a Comment