nuffnang

Tuesday, February 7, 2012

Sukarnya Menjadi Seorang Pemimpin!

Baru Zaid Ibrahim tahu langit itu tinggi atau rendah

BERCAKAP dan mengkritik itu mudah. Bila sampai giliran kita menjadi ketua atau pemimpin barulah kita tahu langit itu tinggi atau rendah.

Inilah yang berlaku kepada Zaid Ibrahim presiden Parti Keadilan Insan Tanah Air (KITA). Semasa menganggotai Kabinet selaku menteri di Jabatan Perdana Menteri (Portfolio Undang-Undang) beliau banyak melakukan tindakan yang dilihat tidak selari dengan parti yang disertainya. Kononnya untuk menegakkan keadilan dan sebagainya. Dalam banyak hal kenyataannya cukup lantang dan melihat orang lain semuanya tidak betul dan tidak pandai.

Akhirnya beliau keluar dari UMNO dan meletakkan jawatan sebagai menteri. Satu tindakan yang dilihat berani dan berprinsip. Alasannya kerana tidak dapat membetulkan kerajaan dari dalam. Selepas itu beliau memilih untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan diberi jawatan yang penting dalam parti.

Peringkat awal penyertaannya, beliau disanjung dan dianggap sebagai pejuang tulen keadilan. Setelah sekian lama belang sebenar Zaid Ibrahim yang berminat menjadi ketua ini mula ketara. Dikritiknya dasar parti secara terbuka dan sebagai mana biasa semua orang tidak betul.

Ringkas cerita, beliau keluar PKR sebagai tanda protes dan memimpin parti KITA. Akhirnya beliau berjaya menjadi seorang presiden. Inilah jawatan yang dicarinya selama ini. Allah maha kaya. Mungkin Allah SWT mahu membuka minda dan mata seorang yang bernama Zaid Ibrahim ini bahawa menjadi ketua ini bukannya mudah.

Setelah menjadi presiden parti selama setahun lebih barulah beliau mengerti betapa sukarnya tugas seorang ketua. Antara luahannya ialah beliau gagal menarik sokongan ahli, dana parti yang terhad untuk menggerakkan aktiviti parti, pihak media yang selalu memberi laporan negatif kepada partinya selain ramai orang yang suka mengkritik kepimpinannya.

Paling mahal sekali, beliau telah mengakui bahawa dirinya telah banyak melakukan kesilapan dalam hidup. Antara kesilapan itu ialah penubuhan parti KITA itu sendiri. Pengajarannya ialah berhati-hati dalam melontarkan kritikan dan cemuhan. Setiap pengikut mesti faham antara tugas seorang pengikut dan seorang pemimpin. Jika kita tidak mampu menjadi pengikut yang baik sudah pasti terlebih sukar untuk menjadi pemimpin yang hebat. Lambat laun orang akan tahu juga kemampuan dan kebolehan kita yang sebenar.


Oleh : Mat Luwi
          Pasir Puteh, Kelantan

No comments:

Post a Comment