JIRAN selang sepintu rumah hamba ialah seorang pesara kerajaan beragama Hindu. Setelah lebih 15 tahun berjiran, saya menilainya sebagai jiran yang baik.
Kami selalu bertegur sapa dari halaman rumah masing-masing. Jika tidak berborak pendek, sekurang-kurangnya mengucapkan ''selamat pagi atau tengah hari".
Jika keluar ke kedai dia selalu membawa pulang akhbar berbahasa Inggeris percuma yang akan diselitkan di celah pintu pagar rumah hamba. Begitu jugalah hamba jika ke kedai 7-Eleven, di samping mengambil naskah akhbar percuma untuk bacaan sendiri, juga tidak lupa membawa pulang untuknya.
Kami tidak pernah saling mengunjungi rumah masing-masing. Bagaimanapun, pada setiap Deepavali dia tidak pernah lupa menghantar sedulang kuih-muih kering orang India seperti muruku ke rumah hamba. Saya yakin dia sentiasa memastikan hanya makanan yang halal diisi dalam dulang itu.
Dan hamba juga menghantar sedulang kuih-muih Melayu termasuk lemang ke rumahnya pada setiap Hari Raya Aidiladha. Dan hamba tidak pernah menghantar rendang daging lembu ke rumahnya. Hamba tidak ingat siapa yang memulakan tradisi menghantar kuih-muih pada setiap hari perayaan itu kerana telah diamalkan sejak kami mula menghuni kawasan perumahan di Kuala Lumpur ini.
Diceritakan hal ini kerana kita tinggal di negara yang majmuk. Perbezaan agama tidak wajar menjadi tembok pemisah keharmonian. Pokoknya masing-masing saling memahami budaya dan batas agama masing-masing.
Katakanlah: Hai orang-orang kafir, aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah, dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. Untukmu agamamu, dan untukku agamaku. - Al Kaafiruun
Jika kita memahami dan mematuhi firman Allah ini, insya Allah kita tidak akan rugi di dunia dan akhirat. Dan kita juga berharap, rakyat bukan Islam di Malaysia turut mempunyai kesedaran yang sama tentang pantang larang agama kita.
Bercanggah
Malangnya, atas nama politik, pada hari ini ada kecenderungan sebilangan orang Islam terlalu mudah untuk berbuat sesuatu yang diragui tidak bercanggah dengan ajaran agama. Disebabkan keterlajakan kita dalam keghairahan untuk mengambil hati mereka, bukan Islam kemudian melihatnya sebagai satu isyarat untuk mengajak kita melakukan perkara-perkara yang lebih buruk. Ini berlaku mungkin kerana kejahilan.
Ambil contoh amalan mengunjungi rumah terbuka kaum Cina pada majlis sambutan Gong Xi Fa Cai. Sering disiarkan dalam media para pemimpin Islam melakukan amalan menggaul ye sang beramai-ramai. Tidak bolehkah orang-orang Islam tidak menyertai upacara menggaul yee sang?
Mungkin hamba akan diselar sebagai tidak tahu membezakan antara amalan budaya dan amalan agama. Adakah benar menggaul yee sang itu sekadar amalan budaya yang bersih daripada sebarang kepercayaan yang bertentangan dengan ajaran Islam?
Menurut Wikipedia, yee sang yang juga disebut yusheng atau yuu shang itu berasal dari China, tetapi kini lebih popular di Malaysia dan Singapura. Ramuan kemestian yee sang ialah ikan yang dagingnya berwarna kemerahan (misalnya salmon), diracik bersama sayur berwarna merah atau oren kerana orang Cina percaya warna itu adalah simbol kekayaan atau kemakmuran.
Sudah tentulah tidak sukar untuk memastikan bahan yee sang itu halal, tetapi tujuan amalan tersebut meragukan kerana kaitannya dengan kepercayaan untuk mendapat kekayaan atau kemakmuran. Semasa menggaul yee sang dengan penyepit beramai-ramai, dipercayai kononnya siapa yang melambung lebih tinggi bahan yee sang itu akan memperoleh kekayaan.
Mungkin orang-orang Islam yang turut dijemput menggaul yee sang tidak memahami apakah makna di sebalik amalan tersebut. Jika mereka faham dan mengetahui asas akidah, tentulah mereka tidak begitu mudah menerima pelawaan untuk menggaul yee sang. Kita orang Islam percaya bahawa rezeki dan kemakmuran adalah daripada Allah yang perlu dicapai hanya dengan cara yang tidak menyalahi syarak. Apa bezanya menggaul yee sang dengan mandi safar untuk menolak bala?
Pada hari ini, atas nama politik, semakin ramai pemimpin beragama Islam yang turut melakukan perkara-perkara yang sebahagiannya jelas bertentangan dengan tuntutan agama dan sebahagian lagi masuk dalam kategori was-was. Tidakkah Rasulullah SAW telah berpesan kepada umatnya supaya menjauhi perkara yang was-was atau bersifat subahat?
Jahil bukanlah satu alasan. Dalam hal-hal agama, jika kita tidak memahami sesuatu perkara atau ada unsur was-was, silalah merujuk kepada mereka yang tahu. Dan mereka yang tahu, apabila melihat sesuatu perkara yang tidak betul, cepat-cepatlah menegur dengan ikhlas. Mereka yang ditegur hendaklah juga ikhlas menerima teguran.
Bagaimanapun, pada hari ini lebih banyak orang yang menegur bukan kerana ikhlas, tetapi kerana tujuan politik. Ternyata dalam banyak hal, kepentingan politik didahulukan daripada kepentingan agama. Di sinilah letaknya peranan ulama. Mereka mestilah menegur tanpa rasa takut kepada sesiapapun, kecuali kepada Allah.
"Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah ulama. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun,". - Faathir 35: 28
Pada hari ini terdapat ramai orang berilmu yang menganggap diri mereka ulama. Dan sangat ramai orang kurang berilmu menganggap orang-orang yang lebih berilmu sebagai tokoh ulama. Tetapi melalui ayat di atas Allah menakrifkan ulama sebagai hamba-hamba yang takut kepada-Nya.
Bolehlah kita menilai siapakah orang-orang berilmu yang benar-benar takut kepada Allah berbanding dengan ketakutan mereka kepada yang lain. Ada yang takut hilang jawatan, tidak kurang yang bimbang partinya akan kehilangan pengaruh jika menyatakan sesuatu yang benar. Ada juga yang mencerca sesama ulama yang tidak sefahaman politik dengan mereka. Ada yang gemarkan kereta Mercedes, rumah besar dan gelaran. Ramai juga yang riak dengan pujian dan pujaan.
Yang umat Islam benar-benar perlukan ialah ulama tulen yang mengutamakan kepentingan agama daripada kepentingan yang lain.
Mereka ini juga perlu memberikan panduan kepada umat Islam, khususnya pemimpin-pemimpin politik tentang apa 'yang boleh dan tidak boleh' dilakukan dalam keghairahan untuk mengambil hati atau mencari pengaruh di kalangan bukan Islam. Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia adalah platform yang sesuai untuk menggariskan panduan ini.
Jangan biarkan keadaan semakin melalut!
Oleh : Maulana Arrif
No comments:
Post a Comment