Sunday, February 5, 2012

Syukur Kepada Allah, Terima Kasih Sesama Manusia

Allah melimpahkan rahmah dan nikmah yang banyak kepada manusia. KepadaNya manusia dididik bersyukur. Allah maha pengasih dan maha penyayang. Kasih Allah kepada semua makhluk yang diciptaNya. Orang yang tidak beriman juga diberikan rezeki.

Limpahan rahmah dan nikmah yang Allah berikan kepada manusia dalam pelbagai bentuk. Ada yang sifatnya ketenangan jiwa dan kebahagiaan diri. Ada yang bentuknya sumber-sumber rezeki yang terdapat diatas perut bumi.

Orang yang jiwanya sentiasa bersyukur, lafaznya menyebut Allah. Rezeki yang diterima dimanfaatkan kepada yang lain. Ia memiliki jiwa sakinah yang tinggi dan merasakan rezeki itu dicari yang pada hakikatnya adalah milik Allah.

Sumber rahmah dan nikmah itu sebahagiannya diuruskan oleh manusia. Namanya individu, keluarga, masyarakat, kepimpinan negara dan rakyat, ilmuwan dan ulama, perancang dan pentadbir negara semuanya bergerak kearah menjadikan pengurusan sumber suatu taklif atau amanah.

Kekuatan ihsan dan insan yang ada pada manusia menyebabkan rasa syukur sentiasa subur dan lafaz dan tasdiq (membenarkan) sentiasa terjadi. Orang yang bersyukur menghubungkan apa yang diterima sebagai hak dan milik Allah. Lalu kepada Allah dikembalikan supaya ada pegiktirafan bahawa semuanya itu adalah anugerah Allah.

Sebahagian rahmah dan nikmah dari Allah itu diuruskan oleh manusia. Seorang bapa dan ibu bekerja mencari rezeki untuk membesarkan anak-anak dan mendidik mereka. Rasa syukur kepada Allah tetap dilafazkan dan rasa terima kasih kepada ayah dan ibu tetap diucapkan. Ia membayangkan nilai budi yang tinggi terhadap Allah dan manusia. Ia adalah penting membentuk sifat adab kepada Allah dan kepada manusia.

Jangan ada anak-anak yang berkata, “Memang dah tanggungjawab kamu mendidik dan membesarkan kami dan membelanjai kami. Kami bukan minta dilahirkan”. Kata-kata ini membayangkan adab anak yang rendah.

Terima kasih harus diberi kepada ibubapa dalam bentuk kasih sayang dan pesan nasihatnya yang baik harus diikuti. Ada anak yang selalu menempelak ibubapa bahawa mereka lebih cerdik daripada ibubapanya.. Benar, dari segi pelajaran dan kelulusan terdapat anak-anak yang lebih tinggi kelulusannya. Kelulusan tidak sama dengan pengalaman. Ibubapa sudah menempuh pengalaman yang banyak dalam hidup. Anak-anak masih mentah dalam pengalaman dan pengamatan. Lalu keputusan yang diambilnya selalu tidak cukup kukuh untuk memahami keadaan.

Beradab dengan ibubapa adalah suatu tuntutan. Tidak ada ibubapa yang ingin menjadikan anak-anaknya rosak. Usahanya mencari rezeki untuk kepentingan anak-anak dan membesarkan anak-anak dengan susah payah harus dilihat dengan rasa terima kasih.

Sekiranya rasa terima kasih itu pupus daripada anak-anak, tunggulah masanya apabila anak-anak menjadi ibubapa nanti, anak-anaknya pula bakal melakukan kebiadapan dan langsung tidak ada rasa syukur kepada Allah dan terima kasih kepada ibubapa.

Seorang guru mendidik anak muridnya menjadi pandai dan berpengetahuan. Ilmu yang datangnya dari Allah itu patut disyukuri dan usaha guru menyampaikan ilmu dan membentuk peribadi murid harus diikuti dengan lafaz terima kasih. Seorang guru yang berjaya medidik anak muridnya tidak mengharapkan balasan yang berbentuk kebendaan. Jangan ada murid-murid yang berkata, “Dia jadi guru kerana digaji oleh kerajaan. Memang dah kerja dia mengajar dan mendidik”. Kata-kata begini membayangkan akal budi yang rendah. Siapalah kita kalau tidak ada guu yang mendidik kita menjadi manusia?

Hal yang sama berlaku terhadap kerajaan yang memerintah. Soal bersetuju atau tidak dengan kerajaan adalah sesuatu yang lazim dalam proses demokrasi. Tetapi sebagai seorang warga Islam rasa terima kasih perlu ada. Yang baik dikatakan baik dan yang tidak dikatakan dengan tidak, secara adab dan berhemah terutamanya dikalangan generasi muda. Jangan biarkan emosi dan sentimen mengambil tempat.


Kerajaan yang memerintah sentiasa memikirkan kebaikan untuk warganya. Kelemahan pemerintah tetap ada kerana pemerintahan itu dikendalikan oleh manusia yang bersifat lupa (nasiyya) dan lalai (ghafla).

Pemerintahan kena memikirkan bagaimana ekonomi menjadi lebih stabil, peluang pekerjaan kepada rakyat tersedia, peluang pendidikan dalam negara dan ke luar negara diberikan dengan adil, kemudahan prasarana terbina dengan baik, program pembiayaan dalam berbagai bentuk diwujudkan, pendekatan mensejahterakan rakyat dilakukan. Dan ia tidak datang bergolek. Ia perlu dirancang dengan bijaksana dan berhemah.

Memang benar ada kelemahan disana sini. Rasuah masih ada dan ketirisan dalam pelaksanaan dasar tetap terjadi. Yang pentingnya ada tidak usaha pencegahan dibuat dan pembaikan strategi memperkemas pelaksaan dasar berlaku? Jawapannya ada.

Anak-anak muda yang diberi peluang belajar dalam negara dengan bantuan PTPTN adalah bernasib baik. Program ini tidak dibuat oleh mana-mana Negara Islam lain. Kadang-kala berlaku kelemahan yang disifatkan teknikal dalam mengendalikan PTPTN dan ia perlu diperbaiki. Bayangkan berapa ramai yang lupa membayar kembali hutang-hutang PTPTN walaupun sudah bekerja dan bergaji besar.

Apakah ia membayangkan rasa terima kasih terhadap kerajaan supaya menjelaskan hutang dapat membantu pelajar-pelajar lain pula? Sikap tidak bertanggungjawab ini boleh menyebabkan perjalanan system bernegara menjadi terjejas. Sekiranya ini menjadi tabiat generasi muda bayangkan apa akan terjadi jika generasi muda bakal mengambil kepimpinan negara nanti.

Begitu juga peluang pelajar cemerlang untuk belajar diluar negara diberikan kepada generasi muda khususnya anak orang Melayu. Pemilihan mereka tidak dibuat atas pertimbangan parti. Anak orang pembangkang juga dipilih dengan syarat ada merit dan kebolehan. Ia adalah suatu dasar yang adil.

Berapa ramai dikalangan pelajar-pelajar ini yang ada rasa syukur dan berterima kasih dengan pihak yang membantunya? Kedapatan perangai tangan menghulur, jari digigit. Maka berkatalah sebahagian daripada mereka, “Itu memang sudah tanggungjawab kerajaan!”. Bayangkan kerajaan yang memerintah tidak ada upaya kewangan yang tinggi, bolehkah program menghantar pelajar berlaku? Tentunya kerajaan yang bertanggungjawab dan punya sumber kewangan mampu melakukan sesuatu.

Bangsa yang tidak berterima kasih adalah bangsa yang lupa diri. Bangsa yang lupa diri bakal mengahdapi generasi hari depan yang bakal melupakan peranannya. Balasan itu tetap datang. Tradisi Islam mengajarkan kita supaya menjadi mata rantai perubahan yang beradab dan beretika.


Kepayahan yang dilalui oleh orang terdahulu menyebabkan nikmat kesenangan sampai kepada kita pada hari ini. Jadilah insan yang sentiasa mengenang budi baik orang supaya kita pula bakal dikenang oleh orang lain.
 
Sumber : MalaysiaRia

No comments:

Post a Comment