Tuesday, February 28, 2012

Belajar Setia Dengan Pasangan

Menjalin hubungan cinta jarak jauh bukan sesuatu yang luar biasa di kalangan pasangan muda hari ini.

Bagaimanapun hubungan jarak jauh sebenarnya menuntut pengorbanan dan kesetiaan yang lebih tinggi .

Mencabar dan sukar mungkin ungkapan paling sesuai untuk digambarkan bagi hubungan seperti ini, namun adalah tidak mustahil hubungan ini dapat bertahan dan kekal lama.

Memang bukan sesuatu yang mudah untuk berjauhan yang tersayang. Apabila teringatkan si dia pasti timbul rasa curiga, prasangka dan pelbagai persoalan lain yang muncul.

Sebenarnya, kepercayaan adalah satu perkara penting untuk hubungan ini. Bina sifat percaya antara kedua-dua belah pihak kerana ia penting untuk mengelakkan diri daripada sentiasa berfikiran negatif antara satu sama lain.

Dalam situasi sedemikian, tanamkan pemikiran positif antara satu sama lain dan sentiasa berfikiran positif kunci, ia merupakan kepada kebahagiaan kita dan pasangan.

Jangan mudah percaya sesuatu dari mulut kawan anda selagi belum lihat dengan mata dan dengar dengan telinga sendiri. Usah jadikan itu perkara yang terlalu penting sehingga mengatasi perkara-perkara dalam hidup kita sehingga mengganggu keharmonian hubungan itu sendiri.

Tidak guna bertunjangkan cemburu dalam melayari perhubungan jarak jauh. Perasaan prasangka dan tak percaya hanya akan merosakkan perhubungan.

Daripada merungut tentang kesukaran apabila berjauhan, mulakan perbualan dengan bertanya khabar tentang dia dan apa aktiviti yang dia lakukan. Sentiasa ceria dan kekalkan positif agar anda tidak bosan walaupun berjauhan.

Apabila berjauhan, jangan murung dan berteman airmata ketika berjauhan akibat dibuai rindu yang amat sangat.

Dia berada jauh dari sisi, tentu sekali perasaan rindu begitu kuat sekali. Ketika berjauhan daripada pasangan anda, hargai kebebasan yang dikecapi dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang membuat anda ceria seperti menonton wayang dengan teman-teman, membaca buku kegemaran ketika sunyi.

Menghargai kebebasan ketika berjauhan akan membentuk diri anda untuk menjadi seorang individu yang matang dan dalam pada masa yang sama membina komitmen anda terhadap perhubungan

Secara ringkasnya, bukan jarak yang menjadi sebab terputusnya hubungan, tetapi kurang memahami pasangan dan kurang komitmen dalam perhubungan sering menjadi faktor penyebab.

Tidak ada apa yang perlu digusarkan apabila berjauhan jika masing-masing komited dengan pasangan masing-masing dan berusaha untuk memastikan perhubungan yang sihat dan berkekalan.

Dalam situasi sedemikian jangan mudah tergoda sebaliknya belajarlah untuk setia kepada pasangan. Setiap kali anda rasa tergoda dengan orang lain, cuba elak daripada terus mesra. Katakan awal-awal pada si dia, anda telah berpunya.

Sentiasa ingatkan diri sendiri bahawa anda masih cintakan dia. Ingat, manusia tak akan pernah puas dengan apa yang manusia ada. Jadi tanamkan rasa syukur itu dalam diri. Elakkan keluar berdua dengan jantina berbeza.

Dengan pemikiran ini, anda akan dapat mengharungi cabaran jika dalam tempoh bercinta jarak jauh,

Malah dalam masa yang sama, cuba kreatifkan pemikiran anda, siapa kata hubungan jarak jauh tidak boleh bermesra dan romantik?

Di sinilah pemikiran kreatif anda memainkan peranannya. Dengan kemudahan teknologi semuanya di hujung jari, malah jika kena caranya, hubungan anda akan menjadi hangat dan romantik lebih dari hubungan biasa yang membosankan.

Untuk suami isteri yang berjauhan, jangan malu bercerita tentang seks atau berkongsi fantasi ketika berjauhan. Dengan berkongsi fantasi dan keinginan, pasangan suami isteri akan dihujani chemistry yang mengujakan!
 
Oleh : Zuhayati Yazid

No comments:

Post a Comment