IKATAN cinta yang dibina bertahun-tahun sebelum disimpul dengan ikatan perkahwinan bukan jaminan kepada keutuhan rumah tangga.
Malah banyak perkahwinan yang cuma bertahan beberapa bulan mahupun hari, biarpun pasangan sudah saling mengenali dan bercinta berbelas tahun.
Ada pula suami isteri hanya sekadar pada nama sedangkan makan tidak semeja, tidur tidak lagi sekatil.
Apabila ditanya, mereka akan menjawab, semua itu berlaku kerana sudah tidak ada persefahaman.
Benarlah kata orang alam percintaan dan perkahwinan sangat berbeza.
Pasangan suami isteri perlu menyedari pentingnya untuk mengenali dan memahami segala perkara mengenai pasangan masing-masing.
Bukanlah sesuatu yang susah untuk menjaga hati seorang lelaki atau sebaliknya dan memastikan si dia setia dengan anda.
Tidak banyak yang si dia inginkan dari anda. Cukuplah sekadar memahami apa yang mereka impikan dari seorang wanita mahupun lelaki.
Malangnya, tidak ramai para isteri atau suami berjaya memahami pasangan, gagal menawan hati si dia dan sebagainya.
Ini kerana anda tidak pernah mengetahui dan mengenali sikap dan perilakunya sebenar.
Setiap orang mempunyai keistimewaan dan kelemahan masing-masing, begitu juga dengan si dia.
Semasa di alam percintaan dan pertunangan mungkin tidak dapat mengesan kekurangan dan kelemahannya. Setelah berumah tangga baru keadaan ini terserlah.
Sudah tentu keadaan ini amat mengecewakan, lama-lama kekurangan keadaan itu akan menjadi api dalam sekam dalam kehidupan.
Inilah antara punca keretakan rumah tangga di mana rasa tidak puas hati akan mengganggu keharmonian suami isteri.
'Menerima' bermakna mengiktirafkannya seperti mana diri kita sendiri yang ada keistimewaan dan kelemahan, dengan pandangan terbuka di samping saling mengagumi nilai-nilai baik yang ada pada diri pasangan, segala konflik yang timbul akan dapat diatasi.
'Penerimaan' bermaksud sekadar menerima pasangan sebagai diri beliau seadanya. Kita menerima cara, harapan dan impiannya atau mungkin juga sebagai seorang yang tiada impian.
Kita juga perlulah menerima idea, minat dan juga kelemahan suami, termasuklah juga menerima kekurangan dalam personaliti atau apa-apa pegangan terhadap agama atau politik.
Dalam situasi ini, suami atau isteri perlu menerima hak pasangan untuk menjadi dirinya yang sebenar. Kita mungkin tidak setuju dengan ideanya, tetapi kita hormati hak si dia terhadap pandangannya itu.
Secara ringkas, penerimaan bermaksud menerima si dia sebagai manusia biasa yang memiliki nilai baik dan ada pula kelemahan. Isteri atau suami tidak berasa bimbang dengan kelemahan pasangan kerana dia hanya melihat kebaikan yang dimiliki.
Oleh : Zuhayati Yazid
iNeedSell.com - no cost online classifieds. A site to Buy, Sell and Swap.
No comments:
Post a Comment