TUN Dr. Mahathir Mohamad dalam memoir A Doctor In The House sekali lagi mengakui betapa sukarnya untuk beliau mempercayai orang yang bakal menggantikannya telah dikaitkan dengan perlakuan tidak bermoral.
Tambah tidak mudah apabila orang itu berpenampilan Islamik, petah menyampaikan tazkirah dan khutbah.
Dr. Mahathir mengakui mengambil masa yang lama untuk meyakinkan dirinya. Beliau membuat siasatan sendiri. Selain mangsa liwat, yang turut ‘disoal siasatnya’ adalah empat orang wanita yang diperkenalkan oleh lelaki bernama Nalla kepada timbalannya itu.
Selepas tindakan dibuat, Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudiannya berarak ke seluruh negara, bahkan dunia. Karismanya membuatkan ada yang percaya beliau adalah mangsa konspirasi kerajaan. Anwar mahu memperlihatkan seolah-olah tiada keluhuran undang-undang di negara ini.
Apa yang mahu disimpulkannya, tanpa beliau demokrasi Malaysia tidak akan hidup subur. Tanpa beliau, Malaysia tidak akan mampu melakukan perubahan. Topik ini memang disukai oleh media Barat, yang sentiasa skeptikal dengan gaya kepimpinan Dr. Mahathir.
Ini cerita lama – kisah 14 tahun lalu. Tetapi kesannya bermula tahun itu pada 1997 – semasa Dr. Mahathir berhasrat melepaskan jawatannya, politik Malaysia telah beranjak menjadi lebih terfokus kepada budaya adu bomba, fitnah memfitnah dan keji mengeji.
Kita pun tidak tahu bila ini akan berakhir. Sepertinya ada persoalan serius yang menimpa politik Malaysia. Sepertinya politik Malaysia hanya mengurus dan menjurus kepada satu orang ini.
Selepas dakwaan liwat pada 1999, Anwar terus terpalit dengan persoalan yang sama.
Tahun 2008 lalu, beliau sekali lagi didakwa meliwat. Kali ini terhadap pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan. Kesnya ini akan sampai ke penghujung jua apabila 24 Mac lalu pendakwa raya dan pasukan peguam bela menyatakan kesediaan untuk ke peringkat bela diri.
Seperti kes liwat pertamanya, pendakwaan kali ini juga bukan mudah. Terlalu banyak hiruk-pikuk di luar mahkamah. Demonstrasi, ceramah, solat hajat dan campur tangan asing mewarnai perbicaraan. Terlalu banyak tenaga dan waktu dihabiskan untuk mengurus seorang ini.
Dan tiba-tiba tanpa angin dan entah dari mana, sahabat lamanya Datuk Sharzyl Eskay Abdullah dibantu oleh Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan Datuk Shuib Lazim mendedahkan rakaman video seks membabitkan seorang pemimpin pembangkang. Hari yang sama juga, pada 21 Mac itu, Anwar menafikan beliau adalah lelaki dalam rakaman video tersebut.
Sekali lagi Anwar menggunakan alasan konspirasi kerajaan dengan tujuan untuk mengekang kemaraan pembangkang. Sentimen pilihan raya Sarawak dan pilihan raya umum yang dikatakan tidak lama lagi dijadikan hujah. Kononnya juga rakaman video seks itu satu senjata kerajaan selepas mendapati bukti kes liwatnya lemah.
Seperti kes D.P Vijandran dan Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek, isu sensasi ini akan berlarut panjang. Mungkin akan dipertontonkan di Parlimen dan mungkin juga akan ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja. Atau mungkin juga akan dihadapkan ke mahkamah.
Sampai bila, rakyat Malaysia akan terus terperangkap dalam isu-isu dan skandal seks ini?
Jawapannya ada di tangan parti pembangkang dan Anwar sendiri yang pengaruhnya pun dilihat semakin memudar.
Tentu sekali kita juga mengharapkan ada dalam kalangan kepimpinan pembangkang yang berkelas negarawan. Pemimpin berjiwa besar yang mahu menghentikan apa yang dianggap oleh bekas-bekas rakan Anwar sebagai ‘sandiwara dan lakonan’ ini.
Tidak adakah dalam kalangan mereka yang mahu berkata, cukuplah Anwar. Sudah sampai waktunya untuk beliau berundur, sekurang-kurangnya bagi jawatan Ketua Pembangkang.
Senarai kepincangan Anwar selaku seorang pemimpin terlalu panjang. Beliau dipalit dengan pelbagai masalah. Dalam tahun-tahun kebelakangan ini terlalu banyak resah yang tercipta akibat kerenah beliau. Yang masih segar diingati ialah sandiwara pembentukan kerajaan 16 September.
Negara ini memerlukan pemimpin berkualiti negarawan sama ada di pihak kerajaan atau pun pembangkang. Atas pelbagai kepincangan dan pelbagai masalah peribadi yang menimpanya, Anwar seharusnya dengan rela hati melepaskan jawatan utamanya.
Lebih daripada itu, pemimpin yang berjiwa besar sepatutnya menunjukkan contoh mereka sentiasa bersungguh-sungguh menguruskan diri sendiri. Bukan membuka diri dan ruang dengan pelbagai masalah dan skandal. Malah tentu sekali bukan menjadi sebahagian daripada masalah itu.
Tetapi sayang, setakat ini belum ada tanda-tanda ada pemimpin pembangkang yang dilihat mampu melaksanakan tugas negarawan itu. Masing-masing haus kekuasaan. Masing-masing takut kehilangan kekuasaan. Yang dipimpin, takut menegur. Yang memimpin, tidak mahu ditegur.
Kalau ada orang berkata, negara ini mengalami inflasi pemimpin bersifat negarawan mungkin ada benarnya. Jika tidak, mungkinkah orang yang dihimpit dengan pelbagai isu peribadi terus diangkat menjadi pemimpin utama?
Oleh : Zulkefli Hamzah
No comments:
Post a Comment