SAYA agak terkilan membaca satu pendapat yang mempersoalkan peranan alim ulama dalam menjaga kedudukan hak asasi wanita di Malaysia. Pendapat itu menggambarkan seolah-olah pemimpin agama di negara ini tidak berminat untuk memainkan peranan dalam menambahbaik amalan hak asasi di negara ini.
Fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan berkaitan prosedur berkhitan dijadikan contoh kepada ‘peranan’ yang dimainkan oleh pemimpin agama mengenai hak asasi wanita di Malaysia. Dalam konteks ini saya fikir penulis itu merujuk kepada peranan pemimpin agama Islam.
Saya tidak menolak perlunya pembabitan pemimpin agama (termasuk pemimpin agama Islam) dalam menegakkan hak asasi. Sememangnya pemimpin agama harus memainkan peranan tertentu di dalam menentukan hala tuju hak asasi di negara ini.
Tetapi, hakikatnya, ada dua perkara yang perlu diambil kira; pertama, persepsi masyarakat dan keduanya perbezaan antara hak asasi menurut perspektif Islam dan sekular.
Mengenai persepsi masyarakat, sebahagian besar masyarakat mahukan pemimpin agama memberikan perhatian kepada perkara berkaitan keagamaan. Pendapat yang menyebut mengenai peranan pemimpin agama dalam mengamalkan hak asasi juga membayangkan pendirian negatif terhadap peranan pemimpin agama di dalam soal berkaitan hak asasi.
Peranan Majlis Fatwa Kebangsaan ialah untuk mengeluarkan hukum agama. Adakalanya hukum agama yang dikeluarkan tidak sealiran dengan pandangan yang dibawa oleh ‘pejuang’ hak asasi. Dalam keadaan ini, ‘pejuang’ hak asasi ini melihat apa yang diputuskan oleh institusi agama ini tidak selari dengan prinsip hak asasi yang dibawa mereka. Oleh itu pemimpin agama ini dikatakan tidak berminat untuk menegakkan hak asasi.
Sebenarnya ini bukanlah kali pertama pendapat yang sealiran disiarkan media negara kita. Begitu juga dengan pandangan saya ini. Ini juga bukan kali pertama saya menulis mengenai isu yang sama. Namun, saya mesti menulis lagi mengenai isu ini kerana saya percaya, pendapat yang disiarkan itu mendatangkan kesan mendasar kepada peranan pemimpin agama dan institusi agama di negara ini.
Mengenai perkara kedua, iaitu perbezaan di dalam falsafah hak asasi Islam dan sekular. Saya perlu tegaskan bahawa ia adalah perkara penting yang kita perlu berikan perhatian yang mendalam. Perbezaan berkenaan merangkumi tiga perkara utama, iaitu perbezaan dari segi falsafah, sumber dan objektif hak asasi.
Ketiga-tiga aspek ini, sebagaimana ajaran Islam secara umumnya, amat berkait rapat antara satu sama lain.
Falsafah hak asasi Islam berlandaskan sumber yang disandarkan kepada wahyu Allah; sama ada menerusi al-Quran dan Sunnah. Ia bukan bergantung kepada pemikiran manusia semata-mata seperti sistem sekular. Oleh itu, terdapat beberapa prinsip hak asasi di dalam Islam yang tidak dapat diubah sewenang-wenangnya.
Seperti juga yang sudah dimaklumi pembaca, Islam adalah agama yang meliputi perkara berkaitan keimanan dan juga sistem kehidupan. Kedua ini berkait rapat dan keduanya juga disandarkan kepada ajaran yang terdapat di dalam al-Quran dan Sunnah. Oleh itu, ramai cendikiawan Islam telah menyatakan bahawa mengamalkan hak asasi adalah juga mengamalkan Islam. Selain daripada itu, hak asasi juga bergantung kepada falsafah keimanan di dalam Islam.
Disebabkan hak asasi adalah sebahagian daripada ajaran Islam, mengamalkannya juga adalah satu ibadah. Oleh itu objektif hak asasi di dalam ajaran Islam secara umumnya ialah untuk mencapai reda Allah SWT.
Saya tidak menafikan bahawa kebanyakan hak adalah bersifat universal atau sejagat. Pada dasarnya Islam juga mengiktiraf hak asasi yang sama. Tetapi saya perlu tegaskan juga bahawa skop dan sekatan terhadap hak itu tidak bersifat universal.
Sebagai contoh, Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 meletakkan Hak Kebebasan Beragama di dalam Perkara 18. Perlu saya tekankan bahawa Islam juga mengiktiraf hak kebebasan beragama. Tetapi, skop dan sekatan terhadap hak kebebasan beragama sebagaimana kehendak dokumen 1948 itu tidak sama dengan skop dan sekatan yang disandarkan kepada falsafah, sumber dan objektif Syariah.
Islam meletakkan skop dan sekatan yang berbeza daripada sistem sekular. Bagi menentukan skop dan sekatan terhadap hak ini, Islam berdasarkan kepada prinsip agama itu sendiri. Oleh itu, adalah menjadi kewajipan kita semua untuk memahami secara keseluruhan falsafah, sumber dan objektif hak asasi menurut perspektif Islam dan juga hukum di dalam ajaran Islam.
Kita tidak harus dipengaruhi oleh permasalahan atau metodologi pihak sekular. Ini kerana ajaran agama Islam mengikat umat Islam daripada menerima sebarang falsafah atau amalan yang bertentangan dengan hukum Islam.
Oleh itu, perjuangan hak asasi tajaan sistem sekular dan hukum Islam dalam banyak keadaan tidak sekata dan tidak dapat bersama.
Sebagai penutup, suka saya sebutkan bahawa, semangat hak asasi di negara ini harus menghormati hukum agama Islam dan hukum Islam tidak sesekali, atas apa dasar sekalipun, harus dikendurkan untuk memuaskan hati pendukung hak asasi tajaan sekular.
Oleh : Shamrahayu A Aziz
Penulis ialah Penolong Profesor di Kulliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, UIAM
No comments:
Post a Comment