Sunday, January 24, 2021

Tanah Rizab Melayu Hilang

KUALA LUMPUR: Seluas 641.6 hektar tanah rizab Melayu di Perak didakwa telah dipindah milik kepada bukan Melayu akibat penyelewengan sindiket yang didakwa didalangi oleh pegawai kerajaan.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hami­dah Osman mendedahkan, sindiket itu menyasarkan tanah di daerah Sitiawan yang telah digazetkan sebagai tanah rizab Melayu pada 1930.

“Tanah ini asalnya diwartakan sebagai rizab Melayu pada 7 Januari 1930 melalui gazet kerajaan dalam dokumen rizab berjudul F.M.S Go­vernment Gazette, British yang te­lah merizabkan tanah seluas 16,800 hektar,” katanya.

Katanya, pada 21 November 1997, kerajaan Negeri Perak telah memberi pajakan selama 99 tahun sebahagian tanah tersebut, yang berkeluasan 641.6 hektar kepada sebuah syarikat.

“Dalam dokumen Hak Milik Sementara tanah itu, ada satu catatan memorial pengisytiharaan yang mengesahkan tanah itu merupakan sebahagian daripada tanah seluas 16,800 hektar yang telah digazetkan,” ujarnya.

Menurutnya, kemusykilan timbul apabila pada 3 Februari 2005 apabila pihak berkuasa negeri telah mengeluarkan satu dokumen Pajakan Ne­geri ke atas tanah yang sama, namun memadamkan status tanah tersebut sebagai rizab simpanan Melayu.

“Di sinilah kita musykil, bagaimana satu perkara yang amat penting iaitu rizab Tanah Melayu boleh hilang dengan tiada sebarang prosedur yang dibuat melalui enakmen dan Akta Kanun Tanah Negara,” jelasnya.

Lebih memeranjatkan, katanya, dalam dokumen itu, tanah 641.6 hektar telah dipindah milik kepada syarikat lain beralamat di Sitiawan, Perak yang pengarahnya ialah seorang bukan Melayu.

Sehubungan itu, pihaknya telah menubuhkan satu pasukan forensik tanah bagi menyia­sat penyelewengan tersebut.

Hasil siasatan mendapati, tanah tersebut kini telah dipecah kepada 317 plot berbeza yang 100 peratus dimiliki orang bukan Melayu, yang mana ia dibangunkan sebagai ladang kelapa sawit.

Susulan itu, beliau berkata, pada 24 September 2020, pihaknya membuat laporan polis dan meminta siasatan terhadap penyelewengan tersebut dibuat.

Pihak polis, pada 12 Januari 2021, mengesahkan kepada Mingguan Malaysia bahawa mereka menerima laporan tersebut.

Justeru, Hamidah berkata, sindiket itu perlu dibongkar dan dalang haruslah diheret ke muka pengadilan.

“Kami harap sindiket tanah rizab Melayu ini dapat dibongkar dan semua tanah yang telah dipindah milik secara tidak sah dibatalkan kelulusan tersebut, seterusnya dikembalikan kepada kerajaan negeri,” tegasnya. – UTUSAN

No comments:

Post a Comment