Tuesday, January 5, 2021

Hukum Mereka Yang Terbabit

PUTRAJAYA: Marah tindakan dua restoran di Pulau Pinang yang bangga ‘menghias’ premis itu dengan imej komunis, seorang pakar sejarah menyarankan mereka yang terlibat dihalau.

Prof. Datuk Dr. Ahmad Murad Merican yang juga anak jati Pulau Mutiara turut meluahkan perasaan malu apabila membaca berita mengenai kebiadaban restoran itu meng­agungkan komunisme.

“Saya cadangkan mereka ini dihukum,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Kelmarin, tular dalam media sosial mengenai restoran yang menjadikan karya lukisan semasa era revolusi kebudayaan China sebagai hiasan di dinding premisnya di Auto City, Juru, Seberang Perai Tengah.

Perbuatan pemilik premis itu mendapat kecaman daripada netizen yang berang de­ngan perbuatannya dan satu kertas siasatan dibuka oleh polis semalam terhadap pemilik premis tersebut.

Ahmad Murad berkata, walaupun atas nama demokrasi, tidak semestinya apa-apa ideo­logi luar dapat dipaparkan dalam sesebuah negara merdeka berdaulat.

“Ini berlaku di semua negara yang mempunyai nilai, moral, peraturan, adab dan ideologi­nya sendiri manakala jati diri yang bukan norma tidak boleh diarusperdanakan,” tegasnya.

Pakar Sejarah Sosial di Institut Ketamadunan dan Pemikiran Islam Antarabangsa (Istac) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu beranggapan, kalau mahu berfikiran terbuka dan kritis pun mesti ada adab­nya kerana setiap negara itu tidak boleh terus wujud dalam keadaan cacamarba.

Sebaliknya, kata beliau, budaya asing yang secara berterusan digembelingkan dengan gejala liberal mula terserlah dari awal tahun 2000 lagi, mesti ditangani dengan wajar oleh semua pihak.

“Topeng yang konon tidak bersifat komunal itu adalah pe­nipuan besar. Secara halus, pada tahun 2000, sejarah negara dipesong dan muncul usaha mempopularkan ideologi komunis.

“Ia dibuat melalui pembacaan dan pelbagai buku yang bersifat revolusioner serta memuja pemberontakan sudah pun dijual bebas oleh pihak berkenaan di Pulau Pinang,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment