Monday, January 25, 2021

Mana Wakil Rakyat, Sampai Bila Nak Harapkan Ebit Lew?

PETALING JAYA: Sesi persekolahan yang baharu bermula melalui kaedah pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) menimbulkan polemik terutama berkaitan masalah ketiadaan peranti dalam kalangan murid kurang berkemampuan serta isu capaian internet yang lemah.

Kedua-dua isu itu bukanlah perkara baharu malah berlanjutan sejak negara mula melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu sehingga sekolah dan institusi pengajian tinggi juga terpaksa ditutup.

Kini hal yang sama timbul lagi namun lebih hangat diperkatakan selepas baru-baru ini pendakwah bebas, Ebit Lew memuat naik gambarnya dalam media sosial bersama 100 tablet untuk diberikan kepada murid dan pelajar yang benar-benar memerlukan peranti tersebut untuk mengikuti pembelajaran dalam talian.

Bantuan dan sumbangan Ebit itu menimbulkan persoalan, di manakah peranan wakil-wakil rakyat, adakah mereka tidak ambil kisah masalah yang sedang dihadapi masyarakat?

Pengerusi Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang, Sophian Mohd. Zain berkata, sumbangan tradisi seperti baju sekolah dan sebagainya daripada ahli Parlimen dan ADUN wajar dihentikan buat sementara memandangkan keperluan pelajar pada masa ini adalah komputer riba, telefon pintar dan data internet.

“Setiap wakil rakyat mempunyai peruntukan masing-masing, dahulu sumbangan baju sekolah adalah antara yang kerap disalurkan.

”Namun dalam keadaan kebiasaan baharu ini keperluan pelajar berubah yang mana mereka lebih memerlukan gajet yang sesuai bagi mengikuti sesi PdPR,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini semalam.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan mengenai keluhan ibu bapa dan pelajar yang mengalami kesukaran untuk meneruskan sesi PdPR akibat ketiadaan gajet yang sesuai.

Selain itu, ibu bapa juga terpaksa menanggung kos tambahan yang tinggi memandangkan data internet masih mahal di negara ini.

Pengerusi Muafakat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) daerah Barat Daya, Pulau Pinang, Ismail Kassim turut mendesak semua wakil rakyat daripada pelbagai parti politik berganding tenaga membantu menyediakan kemudahan peralatan peranti seperti gajet kepada anak-anak golongan kurang berkemampuan.

“Hentikan perbalahan atau perbandingan parti politik sedia ada demi masa depan anak bangsa. Cari inisiatif atau jalan terbaik bagi menyediakan kemudahan gajet atau komputer riba untuk digunakan mereka dalam sesi pembelajaran online,” katanya.

Naib Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah, Amirul Syahir Musa pula berkata, kerajaan negeri dan wakil rakyat sepatutnya mengambil tindakan segera dengan mengenal pasti ibu bapa yang perlu dibantu dalam menyediakan peranti untuk kemudahan anak-anak mereka mengikuti PdPR.

Menurutnya,mereka sepatutnya menyediakan peruntukan khas untuk keluarga yang kurang berkemampuan membeli gajet sekurang-kurangnya satu gajet sebuah keluarga untuk kemudahan anak-anak.

Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohd. Yusrizal Yusoff berkata, pihak kerajaan dan wakil rakyat sepatutnya membantu menyediakan kemudahan WiFi di pusat komuniti di kawasan-kawasan yang mempunyai masalah capaian internet yang lemah.

Katanya, pelajar di kawasan tersebut boleh memanfaatkan kemudahan internet itu di pusat komuniti untuk mengikuti sesi PdPR dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan kehadiran terhad pada satu-satu masa.

Bagi Setiausaha Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kedah, Zainol Abidin Mohamad, ini merupakan masa terbaik buat kalangan ahli politik menjadi juara rakyat dengan tampil memberi bantuan.

Terdahulu Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, Kementerian Pendidikan digesa mendapatkan peruntukan khas bagi membantu keluarga pelajar yang terkesan untuk mengikuti kaedah PdPR.

Di SEREMBAN, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab Malek berkata, pihaknya juga mengambil inisiatif sendiri dengan memberikan bantuan komputer riba selain menyediakan kemudahan pembelajaran lengkap dengan komputer dan capaian internet di tempat awam seperti balai raya.

Sementara itu Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya juga menyedari tentang kebimbangan ibu bapa mengenai tahap pendidikan anak-anak selepas sekolah ditutup terutama yang tidak mempunyai gajet di rumah masing-masing.

“Untuk merapatkan jurang digital ini, pejabat saya telah memulakan inisiatif mengumpul komputer terpakai untuk disumbangkan kepada keluarga yang kurang mampu. Sejak dimulakan hampir 500 buah komputer telah diserahkan melalui pihak sekolah,” katanya. – UTUSAN

No comments:

Post a Comment