Sunday, January 31, 2021

Siasat Modus Operandi Pindah Milik Tanah Rizab

PETALING JAYA: Modus operandi tukar hak milik tanah rizab Melayu kepada bukan Melayu semakin banyak dan dilakukan dengan sangat halus bagi menghalalkan pemilikan yang sebenarnya tidak boleh berlaku.

Presiden Jaringan Bertindak Tanah Pemilikan Melayu (JTM), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, perkara itu terbukti apabila semakin banyak aduan mengenainya diterima pihaknya.

“Kami masih mengesahkan aduan-aduan tersebut kerana tidak mahu membuat kenyataan palsu dan enggan menuduh tanpa bukti,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Menurut Mohd. Azmi, pihak berkuasa perlu bertindak segera mengenal pasti modus operandi digunakan pihak tertentu untuk menipu pemilikan tanah rizab Melayu.

“Ada tanah yang dimiliki bukan Melayu tapi rupanya ia tanah rizab. Ia dimiliki sebuah syarikat Melayu yang memegang saham 51 peratus tetapi apabila diperiksa yang membangunkan tanah itu bukan Melayu. Ada juga setinggan mendiami tanah rizab tetapi mereka terpaksa berpindah apabila ia didapati telah dijual kepada pemaju bukan Melayu,” katanya.

Pada masa sama, beliau mendakwa, kebanyakan aduan mengenai perpindahan milik tanah rizab Melayu banyak membabitkan pengadu di Kedah, Perak, Johor, Pahang dan Selangor.

“Kebanyakan pindah milik berlaku di kawasan bandar antaranya di Kedah yang mempunyai banyak tanah rizab Melayu terutama di Sungai Petani, Kulim dan Alor Setar,” katanya.

Justeru, kata beliau, pihak berkuasa serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG) perlu bekerjasama bagi menyekat `kerja jahat’ tersebut.

Beliau juga mahu Majlis Tanah Negara dan suruhanjaya khas memainkan peranan dalam melaporkan angka sebenar peratusan tanah rizab Melayu ketika ini.

“Penasihat Majlis Perundingan Melayu (MPM), Tun Hanif Omar pernah mendedahkan tanah rizab Melayu kini tinggal cuma 12 peratus dan keluasan tersebut disifatkan sangat kecil dan memeranjatkan.

“Ada juga kata ada tanah rizab yang diambil sudah diganti tetapi kita perlukan pengesahan tersebut,” katanya.

Menurut beliau lagi, peranan PTG sangat penting untuk tentukan nasib tanah orang Melayu manakala pihaknya cuma badan bukan kerajaan (NGO). - Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment