Wednesday, January 13, 2021

Masih Tidak Faham Kehendak Negara Sendiri?

TINDAKAN sebuah restoran makanan Cina untuk menghiasi dindingnya dengan karikatur Mao Tse Tung berserta tentera komunis China, adalah amat malang dalam konteks aspirasi, sentimen dan gagasan nasional yang dipupuk sekian lama.

Ini kerana sudah menjadi dasar negara bahawa kita tidak sesekali mengiktiraf, apatah lagi membenarkan sebarang bentuk fahaman komunisme wujud di negara ini.

Hal ini sepatutnya tidak berlaku kerana salah seorang daripada pasangan suami isteri yang mengendalikan restoran itu ialah rakyat Malaysia. Dia seharusnya bukan sahaja peka, tetapi dapat berfikir tentang akibatnya apabila perkara subversif begini dilakukan.

Seperti yang berlaku pada banyak kejadian lepas seumpama ini, pihak dari satu etnik yang terlibat itu menyatakan mereka tidak mengetahui tindakan mereka itu boleh menggugat kedaulatan negara, selain salah di sisi perundangan negara.

Natijahnya di sini ialah bagaimana rakyat yang melalui pelbagai sistem negara sebagai proses sosialisasi kerakyatan Malaysia, boleh begitu alpa tentang matlamat, sikap dan keunggulan negara, sehingga tidak mengetahui tindakannya itu telah membelakangkan negara dari pelbagai segi. Antaranya ialah kedaulatan negara dan semangat kebangsaan.

BUTA HATI

Persoalan lebih besar dan parah lagi ialah bagaimana proses pembentukan negara bangsa kita tidak berjaya menghasilkan rakyat daripada golongan tertentu yang rata-ratanya didapati jahil tentang banyak ehwal negara. Sehubungan ini, mereka tidak mengetahui bahawa menyanyi lagu kebangsaan dalam bahasa lain dan mengherotkan jata negara dengan memasukkan lukisan tidak senonoh adalah salah.

Kejahilan ini bukan sahaja wujud dalam kalangan ahli etnik biasa, ia juga memaparkan buta hati para pemimpin mereka. Ini dapat dilihat apabila pemimpin etnik ini cuba melindungi tindakan antinasional, yakni yang bertentangan dengan kepentingan negara, yang telah berlaku.

Sehubungan ini, pemimpin ini bukan sahaja mahu menegak benang basah, yakni mempertahan sesuatu yang salah, mereka ikut memperlihat sikap etnosentrik etnik mereka.

Ini ketara apabila kejadian di restoran terbabit dianggap mereka sebagai perkara remeh sahaja tentang hiasan dinding dan pinggan sebagai seni serta pengiklanan nakal yang penuh dengan kelucuan, dan tidak lebih daripada itu.

Selain ini, tindakan memaparkan imej Mao Tse Tung itu cuba disamakan dengan imej Tunku Abdul Rahman yang boleh ikut dipaparkan di restoran milik orang Malaysia di luar negara. Dalil begini sebenarnya memperlihat bukan sahaja betapa ceteknya pemikiran pemimpin ini, ia ikut mempersoal semangat kebangsaan mereka.

SELAR
Seterusnya, pemimpin ini didapati tidak sensitif kepada kontroversi yang boleh tercetus daripada pemaparan sesuatu imej ini. Apabila imej seseorang itu dipaparkan secara awam, mahu tidak mahu, ia akan dikaitkan dengan penyanjungannya sebagai wira untuk sesuatu, selain merupakan perlambangan kepada sesuatu itu.

Tindakan pihak berkuasa yang menurunkan hiasan dinding dan merampas pinggan juga diselar pemimpin etnik ini sebagai bodoh dan mengacau, selain agresif yang boleh menjejaskan hubungan diplomatik antara China dan Malaysia. Sebenarnya itulah caranya yang lazim dilakukan di mana-mana tempat dalam konteks protokol penguatkuasaan. Oleh itu, ia prosedur operasi standard yang tidak perlu dipertikai.

Sesungguhnya tindakan serbuan ini tidak pun diperlukan langsung jika pemilik restoran, khususnya yang rakyat Malaysia, mengetahui dan lebih penting lagi memahami sistem politik negara ini.

Seperkara daripada tindak balas para pemimpin Cina daripada parti politik berbeza terhadap serbuan ini ialah masih terdapat perasaan persaudaraan Cina Malaysia yang kuat terhadap rakyat China, biarpun setelah sudah lama tiada lagi kerakyatan Tanah Besar China.

Cara pemimpin Cina Malaysia mempertahan tindakan pemaparan imej Mao Tse Tung dengan dalil yang dikemukakan itu, ikut menegaskan bahawa kesedaran leluhur etnik Cina masih tidak dapat dihapuskan sepenuhnya.

Barangkali ini sesuatu yang lumrah, iaitu bukan sahaja berasa bangga terhadap sesuatu yang ada kaitan dengan etnisiti sendiri, ia ikut melibatkan simpati dalam bentuk keprihatinan, sokongan dan penyanjungan. Ia ibarat air dicencangkan tidak akan putus dan cubit paha kiri paha kanan terasa juga.

GAGAL
Namun, kita semua perlu mempunyai kesatuan dalaman yang cekal sebagai rakyat Malaysia dalam hal sebegini. Untuk ini, pemaparan imej watak yang tiada kaitan langsung dengan negara ini, dan yang boleh pula mencetuskan kontroversi, perlu dielakkan sama sekali.

Dalam hal ini, ia tidak boleh sama sekali bersifat busuk-busuk daging dikincah makan, busuk-busuk ikan dibuang, iaitu walaupun tindakan ahli etnik kita itu salah, kita masih tidak mahu menyalahkan mereka. Dengan ini, perkara yang berlaku di restoran itu yang sudah terang lagi bersuluh kesalahannya tidak boleh sesekali dilindungi sebagai persoalan seni, geli hati dan sebagainya.

Ia harus diakui serius kerana setelah berdekad-dekad membentuk negara bangsa, kita gagal melahirkan rakyat yang nasionalisitik untuk bukan sahaja mengetahui selain memahami aspirasi negara, tetapi bijak membezakan perkara yang nasional dengan yang antinasional.

Sehubungan ini, nampaknya kita sangat memerlukan pembentukan semula agar rakyat Malaysia lebih peka kepada kehendak negara sendiri dan tidak terhadap kesukaan negara lain.

Oleh : PROFESOR Datuk Dr. Teo Kok Seong 

No comments:

Post a Comment