Monday, January 25, 2021

Apabila Pemimpin Hanya Pentingkan Politik....

‘Kalaulah semua wakil rakyat macam Ebit Lew’
“Kalau semua atau sebahagian wakil rakyat seperti Ebit Lew, selesai masalah.” Itu seloroh penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Rusdi Omar.

Namun, katanya, perkara itu tidak berlaku kerana ramai pemimpin dikatakan lebih mementingkan politik daripada betul-betul menyelami dan membantu rakyat memerlukan bantuan sama ada di kawasan bandar atau luar bandar.

Menurutnya, wakil rakyat perlu segera melupakan seketika soal politik, sebaliknya mencari pendekatan dalam membantu rakyat yang memerlukan bantuan di kawasan masing-masing.

Katanya, ramai mengeluh khususnya penduduk di kawasan luar bandar mengenai kesukaran anak-anak belajar secara dalam talian kerana tidak mempunyai kemudahan gajet yang sesuai dan mencukupi terutama bagi keluarga yang mempunyai anak ramai.

“Selain kerajaan, wakil-wakil rakyat di kawasan masing-masing perlu memainkan peranan bukan hanya buat ‘live’ di Facebook bercakap politik sahaja. Sekarang ini, masalah berkaitan isu pendidikan terutama dalam soal proses pembelajaran di rumah ini perlu segera diberikan perhatian.

“Mungkin wakil-wakil rakyat ini boleh sediakan pusat khidmat masing-masing dengan menyediakan kemudahan peranti dan internet. Saya faham, hendak membantu semua penduduk di kawasan masing-masing dengan memberi kemudahan komputer riba dan internet agak mustahil dilaksanakan namun satu pendekatan terbaik mesti dicari.

“Selain dana diterima untuk kawasan, mereka juga boleh berusaha cari dana sendiri bagi membantu penduduk yang memerlukan ini. Mereka kena cari apa juga pendekatan dan kurangkan berpolitik. Kalau semua macam Ebit Lew, saya rasa selesai masalah ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sementara itu, Rusdi berkata, di peringkat universiti sahaja lebih 70 peratus penuntut terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) dan sudah pasti murid serta para pelajar di sekolah jauh lebih ramai dalam golongan berkenaan.

Justeru, katanya, Kementerian Pendidikan seharusnya mengkaji dengan lebih mendalam sebelum membuat sesuatu keputusan termasuk berbincang dengan guru-guru atau persatuan ibu bapa termasuk mereka yang di kawasan luar bandar agar input yang diperolehi itu lebih menyeluruh. – UTUSAN

No comments:

Post a Comment