Saturday, January 9, 2021

Kenapa EXCO, Pemimpin Tempatan Takut Tegak Kedaulatan Tanah Air Sendiri?

Hanya diam membisu, kerajaan Pahang terus ‘dibuli’ penceroboh haram
KUANTAN – Senario kawalan ketat di setiap penjuru kawasan termasuk sekitar simpang masuk ke tanah pencerobohan di Raub, Pahang seperti didakwa Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA) dalam laporan sebelum ini, hanya menggambarkan kegagalan kerajaan Pahang menjaga kedaulatan negeri.

Apa yang rakyat negeri ini boleh lihat dalam situasi ini adalah kerajaan Pahang telah ‘dibuli’ oleh penceroboh tanah kebun durian Musang King, demikian kata Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kuantan, Ustaz Norman Mohd Nor.

Lebih dikesali, katanya, sehingga kini tiada seorang pun Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) mahupun pemimpin-pemimpin tempatan membuka mulut membicarakan isu ini.

“Kita sebagai rakyat negeri Pahang berasa risau dengan kebisuan mereka. Takut sangatkah untuk menegakkan kedaulatan tanah air sendiri? Masih berfungsikah unit penguat kuasa Pejabat Tanah dan Galian (PTG)?

“Apakah fungsi Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 (yang menyebutkan bahawa tanah yang sedang dipohon tetapi masih tiada keputusan/kelulusan masih berstatus tanah kerajaan dan sesiapa yang mengusahakannya boleh dijatuhi hukuman maksimum denda maksimum RM500,000 dan satu tahun penjara).

“Apakah yang menjadikan kerajaan Pahang begitu naif dan tidak mampu menyelesaikan masalah ini?,” soalnya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Ustaz Norman berkata, dengan kuasa yang telah diamanahkan oleh rakyat Pahang, kerajaan negeri sepatutnya bertindak mengarahkan atau berbincang dengan pihak keselamatan seperti polis atau tentera untuk menjaga tanah yang diceroboh sementara menunggu keputusan rayuan mahkamah.

“Tetapi mereka telah hilang patriotisme. Mereka tak nak berjuang mempertahankan tanah air. Mereka sanggup biarkan sahaja tanah diceroboh. Mereka diam dan lihat sahaja.

“Sebenarnya, mereka mempertaruhkan maruah dan kewibawaan mereka di hadapan pengundi-pengundi mereka. Rakyat Pahang sedang menilai mereka.

“Rakyat mengharapkan pemimpin yang baik dan tegas, namun apa yang terjadi di depan mata sebaliknya,” katanya.

Kecewa dengan situasi itu, beliau mendakwa bahawa pengundi-pengundi di Pahang telah tersalah pilih pemimpin yang sepatutnya boleh diharapkan untuk menjaga kedaulatan negeri.

“Kita berharap, peristiwa pencerobohan tanah seperti ini membuka minda para pengundi dan rakyat Pahang untuk memilih pemimpin yang berani, tegas dan berwibawa dalam pilihan raya yang akan datang tak berapa lama lagi.

“Apa yang berlaku di depan mata kita hari ini biarlah menjadi pengajaran.

“Sekali lagi, kita mendesak kerajaan Pahang bertindak tegas ke atas penceroboh tanah secara haram di

Raub dengan menguatkuasakan Akta Kanun Tanah Negara (KTN) 1965,” katanya. - ismaweb.net
‘Penceroboh tanah Raub kawal di setiap penjuru macam mereka punya’
BANGI – Penceroboh tanah kerajaan negeri Pahang di daerah Raub didakwa mengawal ketat setiap penjuru kawasan diceroboh termasuk sekitar simpang masuk.

Perkara berkenaan didedahkan Pertubuhan Pembela-Pembela Islam Malaysia (PEMBELA) selepas meninjau kawasan yang dijadikan kebun durian Musang King secara haram itu.

“Melihat keadaan di sini memang menyakitkan hati kerana setiap penjuru kawasan termasuk di setiap simpang masuk sekitar kawasan tersebut dikawal ketat oleh puak-puak penceroboh tersebut.

“Gaya mereka mengendap-ngendap dan mengambil gambar secara sembunyi di setiap sudut tidak ubah seperti kita masuk menceroboh kawasan mereka pula, padahal kita lalu di luar sahaja, jalan raya tempat awam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Naib Pengerusi PEMBELA, Ustaz Masrizi Sat, PEMBELA Pahang serta pimpinan veteran tentera negeri ke lokasi tanah yang diceroboh di Raub buat pertama kali setelah penceroboh mendapat kebenaran untuk terus ‘menduduki’ tanah itu oleh Mahkamah Rayuan.

Selasa lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan 204 pekebun durian Musang King di sekitar Raub supaya menangguhkan notis arahan pengosongan tanah yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri Pahang sehingga rayuan mereka diselesaikan.

Panel tiga hakim dianggotai Datuk Yaacob Md Sam, S. Nantha Balan dan Datuk M.Gunalan membuat keputusan tersebut pada prosiding yang dijalankan menerusi aplikasi zoom.

Menurut peguam Siew Choon Jern yang mewakili semua plaintif itu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan untuk menangguhkan semua prosiding berhubung notis pengosongan sementara menunggu rayuan selesai terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak kebenaran untuk semakan kehakiman.

Sementara itu, PEMBELA kesal apabila pihak berkuasa seolah-olah tiada keupayaan untuk bertindak berhubung masalah yang dihadapi.

“Malang sungguh nasib kerajaan negeri Pahang, Jabatan Perhutanan dan penguat kuasa yang lain dibuli sebegini seperti tiada upaya padahal berkuasa. Sangat sedih dan mengecewakan.

“Anak kecil main api hanya tinggal lagu yang didendangkan dalam mesyuarat-mesyuarat agung sahaja nampaknya.

“Namun, kita akan sedaya upaya memikirkan cara untuk terus lawan di atas platform undang-undang sehingga maruah kita terutamanya rakyat Pahang ditebus kembali,” katanya. - ismaweb.net

No comments:

Post a Comment