Saturday, January 30, 2021

Penyeliaan Kertas Siasatan....

Tiada tindakan hampir 7 bulan pendakwa raya bagi arahan tuduh, dedah ketua polis Johor
JOHOR BAHRU: Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay memberi amaran akan mengambil tindakan tatatertib terhadap pegawai di ibu pejabat polis daerah, jika kelemahan dari segi penyeliaan kertas siasatan berterusan.

Beliau memberi contoh tiada tindakan diambil pegawai penyiasat selepas hampir tujuh bulan mendapat arahan tuduh daripada timbalan pendakwa raya.

Katanya, hasil semakan dan pemeriksaan mengejut Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor mendapati ada kelemahan penyeliaan kertas siasatan oleh ketua polis daerah dan ketua bahagian.

“Pegawai penyiasat tidak menghantar kertas siasatan untuk edaran pertama dalam tempoh 24 jam dan ada kes tertentu tiada pengedaran dalam tempoh tiga bulan, selain tidak edarkan ke pejabat timbalan pendakwa raya, walaupun sudah mendapat laporan kimia dan patologi,” katanya dalam teks laporan prestasi 2020 dan amanat.

Ayob Khan berkata, beliau akan menghantar pasukan khas dari IPK Johor membuat pemeriksaan mengejut ke atas kertas siasatan di semua daerah mulai bulan depan.

“Sekiranya masih terdapat kelemahan dari segi penyeliaan kertas siasatan, sama ada di peringkat pegawai penyiasat, pegawai penyiasat kanan, ketua bahagian dan ketua polis daerah, semua akan dikenakan tindakan tatatertib. Tiada tolak ansur.

“Apa yang jelas di sini adalah kurangnya penyeliaan di peringkat daerah. Tuan-tuan semua (ketua polis daerah) berpengalaman luas dalam bidang dan tanggungjawab masing-masing, sepatutnya tiada lagi alasan dan saya juga tidak mahu lagi menerima apa-apa alasan dalam konteks kelemahan penyeliaan di peringkat daerah.”  - freemalaysiatoday.com

No comments:

Post a Comment