Tuesday, January 19, 2021

Segera rombak pimpinan UMNO – Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan

PUTRAJAYA: Seluruh kepemimpinan UMNO perlu dirombak semula termasuk Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dengan mengadakan pemilihan parti pada tahun ini.

Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi berkata, ini termasuk menukar ahli Majlis Tertinggi (MT) dan pemimpin di semua peringkat untuk memilih pemimpin yang bukan hanya diterima ahli malah disenangi rakyat.

Beliau berkata, pemilihan parti perlu dibuat segera apatah lagi tempoh penggal kepemimpinan parti berakhir pada tahun ini sekali gus dilihat mampu meredakan suhu ketidakpuasan hati mana-mana pemimpin atau ahli akar umbi.

“UMNO perlu rombakan secara total. UMNO perlukan pemimpin ‘Avengers’, iaitu yang bukan hanya diterima oleh ahli tetapi diterima oleh rakyat,” katanya sambil mengakui pemilihan parti tidak akan menyelesaikan 100 peratus masalah yang berlaku.

Beliau mengulas beberapa suara akar umbi UMNO yang mahukan perubahan terhadap pucuk pimpinan sekali gus memberi isyarat parti Melayu itu sudah bersedia atau perlu diterajui muka baharu menjelang PRU-15 bagi memastikan UMNO terus relevan.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Subang, Mohd. Alfie Zainal Abidin berkata, sekurang-kurangnya 50 peratus pemimpin UMNO di semua peringkat perlu dalam kalangan orang muda atau parti bakal ditolak sekali lagi oleh rakyat.

Katanya, ini termasuk pemilihan calon dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) memandangkan majoriti pengundi kini adalah dalam kalangan golongan itu yang menjadi penentu kalah menang parti.

Justeru, kata beliau, pemilihan parti sewajarnya diadakan secepat mungkin kerana retorik kemahuan akar umbi UMNO telah disalah gunakan oleh pemimpin yang mempunyai kepentingan peribadi.

“Dengan adanya pemilihan parti yang disahkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan akan diadakan tahun ini, kepemimpinan baharu pasti membawa suara sebenar akar umbi,’’ katanya.- UTUSAN

No comments:

Post a Comment